Persatuan Pencinta Alam Malaysia akan menganjurkan program Raptor Watch kali ke-21 di Tanjung Tuan, Alor Gajah dekat sini, selama dua hari bermula 14 Mac dan 15 Mac 2020 ini.
Penganjuran program itu bagi meraikan penghijrahan burung pemangsa melintasi Selat Melaka dari Indonesia ke Tanjung Tuan sejauh 38 kilometer untuk pulang ke tempat pembiakan mereka di Hemisfera Utara.
Setiap tahun, puluhan ribu burung pemangsa atau ‘raptor’ merentasi Selat Melaka untuk pulang ke Hemisfera Utara sejauh lebih 10,000 km seperti Jepun, Korea, Siberia dan India serta pergerakannya dibantu angin dari arah barat atau barat daya.
Burung pemangsa mempunyai badan yang berat, mereka meluncur di udara sekali gus menjimatkan tenaga melintasi Selat Melaka dan ia hanya berlaku sekali dalam setahun dengan kemuncaknya melintasi Selat Melaka pada Mac.
Program yang akan diadakan di Rumah Api Tanjung Tuan dan PNB Ilham Resort serta di sekitar Hutan Simpan Tanjung Tuan itu bukan sahaja untuk pendidikan dan penghayatan dalam kalangan pelajar, tetapi juga untuk kepentingan sektor pelancongan.
Orang ramai dijemput hadir dengan mengambil peluang keemasan ini untuk melihat sendiri pemandangan yang amat mempesonakan dan bersama-sama merasakan kemeriahan program ini.
Raptor ialah burung jenis maging bercirikan pemburu dan pemangsa seperti sayap ringan, mata tajam, paruh bercangkuk, kuku besar dan tajam. Pada musim sejuk di Hemisfera Utara, ketika sumber makanan dalam kawasan pembiakan menurun, ia akan berhijrah ke selatan yang panas kerana makanan lebih mudah didapati.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI