Beca di Melaka merupakan produk pelancongan yang sangat sinonim dalam kalangan pelancong luar juga pengunjung tempatan.
Suasana malam yang bergermerlapan dengan sinaran lampu sentiasa dinanti pelancong untuk mencuba menggunakan khidmat beca. Disamping itu, ia diserikan lagi dengan kehadiran ratusan beca yang dihias indah dengan pelbagai bunga-bungaan, lampu berwarna-warni dan diiringi lagu popular masa kini. Dengan bayaran bermula serendah RM25 untuk sebuah beca, pengunjung akan dibawa menaiki beca berhias itu di sekitar bandar raya sambil pengayuh ini menjadi pemandu pelancong tidak rasmi kepada pelancong.
Namun, ketika negara dilanda wabak COVID-19, perkhidmatan ini turut dihentikan dan menyebabkan kesemua pengayuh beca terkesan. Mana tidaknya, itu hanya merupakan satu-satunya mata pencarian golongan ini sejak sekian lama.
Keputusan kerajaan membenarkan pengoperasian pelancongan domestik dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) antara lain turut membawa kelegaan buat golongan pengayuh beca di Melaka. Selepas tiga bulan kelibat mereka ‘hilang’ dari kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sekitar negeri Melaka, kini mereka mula menjalankan rutin biasa dalam normal baharu, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Lebih menarik, menyedari senario pandemik COVID-19 yang menjadi kerisauan ramai pihak, pengayuh beca di Melaka bukan sahaja menyediakan cecair pembasmi tangan bagi kegunaan pelanggan, malah menyediakan bekas berisi air bersih dan sabun pencuci tangan yang telah diubah suai dan diletakkan di dalam beca.
Jika dahulu, pelancong dari luar negara menjadi antara penyumbang sumber pendapatan mereka, kini golongan itu berharap rakyat tempatan dapat membantu membangunkan semula ekonomi pengayuh beca dengan menggunakan perkhidmatan mereka. Jom cuti-cuti Malaysia dan naik beca Melaka!
Sumber: astroawani