Teringin menyusuri sungai di Pulau Pinang? Luangkan masa seketika di Sungai Perai.
Sungai Perai yang dahulunya terkenal dengan sungai yang tercemar akibat menjadi lokasi tumpuan pembuangan sisa toksik daripada individu dan industri kilang yang tidak bertanggungjawab, kini telah dibangunkan sebagai antara lokasi agropelancongan di Pulau Pinang.
Menerusi projek 'Agrotourism Tasek Gelugor', pengunjung berpeluang menikmati pengalaman menyusuri Sungai Perai di samping melihat sendiri rutin harian penduduk kampung di sepanjang sungai berkenaan dalam mencari rezeki seperti nelayan, pesawah, petani, penternak dan peniaga.
Projek itu telah dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan kini diusahakan sepenuhnya oleh penduduk Kampung Labuh Banting, Kampung Air Itam Dalam dan Kampung Pengkalan Machang.
- Jika mengikuti trip ke sini, anda akan di bawa menyusuri Sungai Perai dan didedahkan dengan spesies tumbuh-tumbuhan di sepanjang tebing sungai yang terbahagi kepada tiga zon iaitu zon pokok nipah, zon pokok putat dan zon pokok ketapang.
- Selain itu anda berpeluang melihat sendiri cara nelayan menangkap ikan dan udang, merasai sendiri proses pengambilan susu kambing, belajar membuat kuih tradisional serta mendengar pengkisahan sejarah dan asal-usul tempat ini.
Setakat ini sambutan yang diterima adalah menggalakkan namun mereka memerlukan bantuan dari segi promosi terutamanya selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan sumber pendapatan penduduk kampung. Dalam projek ini, nelayan dilatih dan diberi lesen untuk mengendalikan para pelancong dalam river cruise (menyusuri sungai), kemudian pelancong akan dibawa ke jeti-jeti terpilih yang peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) mempromosikan produk mereka.
Sekiranya pengunjung ingin bermalam, ada juga orang kampung yang menyediakan perkhidmatan rumah inap desa berlesen supaya pengunjung dapat merasai pengalaman hidup di kampung.
Sejak tahun 2018, PERDA telah mengenal pasti Sungai Perai dan kawasan kampung di sekitar sungai ini yang berpotensi menjadi pusat tarikan agro pelancongan dan pelancongan pendidikan. Sekaligus industri ini dapat meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat yang majoritinya tergolong dalam kumpulan B40 di samping dapat membangunkan projek itu sebagai pusat kajian dan pendidikan dalam bidang ekologi, agrikultur dan akuakultur.
Jom bantu orang kampung, kita cuti-cuti Malaysia di sini~
Sumber: Bernama | Foto: FB Agrotourism Tasek Gelugor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI