Sebanyak 150 kartun unik bertemakan ‘Cintai Warisan Kita’ hasil karya pelukis dari pelbagai negara dipamerkan di Pameran Kartun Antarabangsa Malaysia 2020 yang sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Kelantan.
Kartun yang dipamerkan itu merupakan karya terpilih daripada 400 karya yang dihantar oleh kartunis dari 44 negara dalam pertandingan menerusi laman web sebelum ini. Karya seni kartun dilihat mampu menaikkan imej Kelantan di mata dunia apabila kartunis dapat menterjemahkan warisan dan budaya negeri itu dengan unik selain menepati hasrat kerajaan negeri dalam memelihara warisan dan budaya Kelantan.
Setiap peserta mengirim penyertaan melalui laman web pertandingan, dan para pemenang sudah diputuskan oleh juri pada Julai lepas. Daripada jumlah itu hanya 150 karya yang dipilih untuk dipamerkan di Balai Seni Kelantan sehingga akhir bulan ini.
Tempat pertama dimenangi oleh peserta dari Indonesia Iaitu Jilet Kustana, 53, peserta kedua dari China iaitu Liang Weichi, 46, dan tempat ketiga dimenangi oleh Makhmudjon Eshonqulov, 62, dari Uzbekistan.
Jika berkelapangan, ambil masa untuk melawat dan melihat sendiri hasil kreatif ini. Pameran ini sedang berlangsung dari 1 Ogos sehingga 30 September 2020. Program pameran ini merupakan hasil usahasama Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan Balai Kartun Rossem.
image via FB Balai Seni Lukis Kelantan | sumber: Bernama