Berita

Jom Cuti-Cuti Perak! Destinasi Pelancongan Di Perak Masih Selamat Dilawati

Share

Lokasi pelancongan di negeri Perak masih selamat untuk dilawati ketika ini walaupun terdapat lebih 100 kes jangkitan COVID-19 direkodkan di Perak.

Bagaimanapun pelancong ke Perak diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak berkenaan. Kawasan bukan zon merah di Perak masih selamat untuk diteruskan dengan aktiviti ekonomi termasuk pelancongan.

Exco pelancongan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerajaan negeri Perak komited untuk merancakkan sektor pelancongan di daerah Perak Tengah yang kaya dengan keunikan sejarah, aktiviti ekopelancongan dan makanan tradisi. Pihaknya akan melihat strategi sesuai bagi meningkatkan pengunjung ke Kompleks Sejarah Pasir Salak yang ketika ini menerima kunjungan pelawat dalam skala kecil. Selain itu juga untuk mengenal pasti Pulau Semarak sebagai kawasan yang berpotensi dijadikan produk pelancongan baharu di Perak Tengah.

Sementara, Kellie’s Castle pula meneruskan program Dark Tourism dengan penganjuran Kellie’s Night Tour V.3 pada Jumaat dan Sabtu bermula pukul 8 hingga 12 tengah malam sepanjang bulan Oktober ini. Inisiatif baharu itu dapat menggalakkan kedatangan pelancong domestik ke Perak dengan tempoh menginap lebih lama sekali gus membantu ekonomi agensi pelancongan dalam norma baharu.

Buat masa ini hanya satu produk pelancongan di Perak ditutup sementara susulan terdapat pengunjung disyaki positif COVID-19. Penutupan Taman Tema Sunway Lost World of Tambun selama 14 hari bermula minggu lalu adalah pendekatan yang diambil pihak pengurusan dan pentadbiran taman tema berkenaan. Tindakan itu bukan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi pihak pengurusan dan pentadbiran mereka yang memilih untuk menutup taman tema itu bagi tujuan sanitasi dan keselamatan pekerja serta menjamin keadaan selamat.

image via google| Sumber: Bernama

Oleh
Husna