Jom Cuti-Cuti Penang! Tetamu Tidak Akan Dikenakan ‘Caj Hotel’ Sehingga Jun 2021

Share

Ada berita baik buat anda yang bakal bercuti atau akan menginap di hotel sekitar Pulau Pinang sehingga 30 Jun tahun 2021.

Kerajaan Pulau Pinang telah melanjutkan lagi tempoh untuk mengetepikan caj hotel selama enam bulan lagi. Lanjutan itu dibuat berikutan pengumuman Fi Hotel sebelum ini yang berkuat kuasa 1 Julai hingga 31 Dis 2020 sahaja.

Fi Hotel (dahulunya dikenali sebagai Fi Kerajaan Tempatan) dikenakan ke atas hotel empat dan lima bintang pada kadar RM3 sebilik untuk satu malam, manakala bagi hotel tiga bintang ke bawah termasuk asrama (dormitory), hotel bajet, hostel dan rumah tumpangan pula adalah sebanyak RM2 sebilik untuk satu malam.

  • Selain pengecualian caj pelancongan di peringkat Persekutuan, sokongan ini akan dapat memacu minat ke arah mengaktifkan semula pelancongan dan menyokong usaha pemulihan pelancongan untuk bulan-bulan mendatang.
  • Pengecualian enam bulan itu adalah sebahagian daripada pelan pemulihan pelancongan untuk secara berterusan menarik kedatangan pelancong domestik sepanjang bulan akan datang sehingga tahun hadapan. Pelan pemulihan itu turut disertakan dengan pelbagai usaha promosi dan program insentif pelancongan, yang akan diperkenalkan secara berperingkat.
  • Ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk menyokong proses pemulihan industri pelancongan seiring dengan usaha yang dibuat untuk mengekalkan pelbagai sektor dan kumpulan yang terkesan dalam industri.

Keputusan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 11 November 2020 lepas. Semua pihak diharap dapat menyokong penggiat industri untuk menghadapi cabaran norma baharu dalam usaha mereka membangunkan semula sektor pelancongan Pulau Pinang.

image via google | Bernama

Oleh
Husna