Beberapa kawasan di Perak dikejutkan dengan fenomena hujan batu yang turun bersama hujan lebat dan ribut pada petang 27 Ramadan (20 Mei 2020).
Fenomena alam yang jarang berlaku itu turut menarik perhatian orang ramai apabila ada yang mengutip ketulan ais berkenaan dan berkongsi gambar di media sosial. Hujan batu yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang di sekitar Manjoi dan Jelapang itu mengejutkan banyak pihak kerana ia jarang berlaku.
Beberapa penduduk yang kongsikan di laman sosial berkata mereka dikejutkan dengan bunyi kuat dari atap rumah, malah ada yang berlari keluar rumah kerana menyangka ada pokok tumbang. Berdasarkan rakaman visual yang diperolehi daripada media sosial, seorang penduduk dipercayai di Manjoi melaungkan azan ketika berlaku hujan batu itu. Kejadian itu hanya berlaku kira-kira 15 minit dan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan lain.
Perkongsian daripada warganet:
Fakta Hujan Batu
- Hujan lebat, ribut petir, banjir kilat dan angin kencang adalah antara fenomena alam yang sering berlaku di negara ini. Namun, fenomena hujan batu jarang sekali berlaku di Malaysia sehinggakan apabila ia berlaku, kejadiannya akan mengejutkan banyak pihak.
- Hujan batu yang biasanya berbentuk bulat atau gumpalan ais yang tidak sekata adalah pepejal yang terhasil oleh awan ribut petir (kumulonimbus).
- Pada paras ketinggian tertentu, suhu adalah di bawah takat beku dan proses pemeluwapan berlaku pada debu-debu atau partikel-partikel lain yang dikenali sebagai nuklei kondensasi.
- Hujan air batu terbentuk ketika arus angin yang kuat membawa bersama titisan air ke lapisan atmosfera yang cukup tinggi untuk titisan air tersebut membeku.
- Ketulan air batu terbentuk apabila semakin banyak titisan air membeku lalu menyebabkan saiznya menjadi besar.
- Hujan air batu juga berlaku disebabkan ais yang terbentuk dalam awan gagal cair sebelum ia mencecah bumi.
- Kebanyakan ribut petir mengandungi air batu tetapi bukan semua ribut petir menyebabkan hujan air batu.
- Suhu di bahagian atas ribut petir adalah di bawah takat beku yang menyebabkan air batu terbentuk tetapi kadang kala air batu mencair sebelum ia jatuh ke permukaan bumi.
- Keadaan landskap seperti kawasan berbukit juga antara faktor penyebab arus angin menolak lebih kuat titisan air naik ke lapisan atmosfera yang tinggi.
- Disebabkan Malaysia beriklim khatulistiwa, dan musim tengkujuh sering melanda negara ini setiap tahun, maka peluang untuk mengalami hujan air batu sebenarnya sangat tinggi. Jadi, tidak hairanlah jika ia berlaku di negara ini kerana hujan lebat dan ribut petir disertai air batu sebenarnya fenomena biasa dalam musim peralihan monsun.
Sumber: astroawani