Jejak Negara Matahari Terbit

Share

Tarikan budaya masyarakat Jepun

Tatkala melihat pokok-pokok sakura telah mula bertunas dan mengeluarkan bunga yang indah lagi harum ia memberi satu gambaran mengenai keindahan negara Jepun.

Bangunan serta bandar-bandar sepanjang perjalanan kelihatan amat bersih dan segar selain warga bandar yang sibuk dengan urusan sendiri.

Kesempatan yang ada baru-baru telah membuatkan saya amat bersyukur kerana dapat melancong ke negara matahari terbit tersebut.

Melancong secara backpacker tanpa pakej atau secara berkumpulan yang ramai amatlah berbeza sama sekali.

Seawal enam bulan, tiket penerbangan ditempah termasuk menguruskan beberapa perkara sebelum memulakan lawatan tersebut.

Berlepas dari Kuala Lumpur ke Haneda, Tokyo memakan masa hampir enam jam perjalanan.

Perjalanan dari lapangan terbang ke sebuah hotel bajet di pinggir Asakusa sebuah pekan kecil dalam Tokyo memberikan tarikan panorama alam yang begitu indah terutama ketika musim salji yang bakal berakhir.

Beri pengalaman percutian yang bermakna walaupun pertama kali sampai

Pengalaman bercuti ke negara matahari terbit sesuatu yang sangat istimewa. Berkesempatan berada di sana selama 11 hari terasa sangat sekejap.

Walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke sana, semuanya cukup memberi kepuasan. Lokasi pertama yang menjadi pilihan adalah bandar Asakusa dalam daerah Sumida.

Melihat keindahan bangunan penyiaran tertinggi di Tokyo-Skytree dengan ketinggian 634 meter amat menakjubkan.

Berlatar belakangkan bangunan tersebut, dengan berjalan kaki kurang lima belas minit kita boleh menikmati kuil Buddha antara tertua di Tokyo iaitu Kuil Sensoji.

Dua buah kuil besar dipenuhi dengan pelancong luar selain pengunjung tempatan dengan pakaian kimono dan yukata amat mengujakan.

Hari kedua, perjalanan di teruskan di sebuah pekan kecil jauh dari kesibukan kota – Echigo Yuzawa; sebuah lokasi bagi peminat ski iaitu kira-kira 200 kilometer dari Tokyo yang memakan masa hanya sejam setengah dengan kereta api laju Shinkansen.

Menaiki keretapi laju di Tokyo adalah suatu kemestian sekiranya berada di Tokyo.

Jadual yang sangat tepat serta destinasi yang saling berhubung dan komprehensif amat memudahkan perjalanan di Tokyo.

Walaupun sesak pada waktu puncak, tiada adegan tolak menolak mahupun memotong barisan.

Menikmati hujan salji di penghujung musim sejuk adalah satu pengalaman yang amat menyentuh perasaan.

Kepingan-kepingan salji yang jatuh seolah-olah menyambut ketibaan pengunjung yang memang ingin menikmati pengalaman dalam musim dingin.

Menetap di sebuah Ryokan iaitu rumah inap ala tradisi Jepun, ia memberikan pengalaman yang menakjubkan sepanjang berada di sini.

Dari teknik memakai yukata agar tidak kedinginan, meminum teh ala Jepun, pekerja ryokan tidak lokek mengajar cara menghangatkan badan dengan alat-alat pemanas tradisional Jepun termasuk waktu yang sesuai mandi di onsen (bilik mandi kolam air panas dari aktiviti gunung berapi berdekatan).

Di Bandar Echigo Yuzawa ini terdapat pelbagai tarikan berkaitan salji seperti bermain ski, papan seluncur serta permainan berasaskan salji untuk kanak-kanak.

Pelancong Malaysia tidak perlu bersusah payah mendapatkan maklumat di sini kerana terdapat ramai pelajar Malaysia yang bekerja di resort bandar tersebut.

Ia sebuah lokasi yang amat berdekatan dengan beberapa universiti dan terdapat ramai pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di sana.

Mereka banyak membantu pengunjung khususnya menunjukkan lokasi kedai makanan halal selain memberikan khidmat terbaik apabila diperlukan.

Lawat tempat bersejarah

Setelah puas bermain salji, perjalanan hari kelima diteruskan kembali ke beberapa destinasi Tokyo yang menarik seperti Takeshita Street iaitu lokasi flea market seakan Jalan Petaling di Kuala Lumpur.

Turut tidak dilupakan untuk melawat tapak Istana Maharaja Meiji berdekatan dengan bandar fesyen Harajuku dan Shibuya.

Sebuah kompleks dan kuil lama kepada kerajaan yang mengasaskan Tokyo moden hari ini.

Tidak lupa juga untuk meninjau pemandangan Tokyo dari tingkat 45 Menara Kerajaan Tokyo di Shinjuku dengan ketinggan 202 meter.

Shinjuku Gyoen Garden turut memberikan pemandangan hutan dan alam semula jadi yang indah ketika musim sejuk.

Di sepanjang perjalanan, makanan halal tidak begitu sukar apabila banyak sahaja kedai-kedai kebab Turki, nasi briyani Pakistan serta kedai serbaneka menjual makanan dan minuman halal.

Terdapat aplikasi khusus untuk lokasi dan makanan yang disediakan dan boleh dimuat turun di telefon bimbit dan ia amat membantu.

Tatkala berkunjung ke Ueno Park dalam daerah Taito, bunga-bunga sakura menghiasi permandangan mata menuju ke zoo dan kuil Buddha serta Shinto yang berdekatan.

Tidak lupa juga ke daerah Shinagawa bagi menyaksikan kesan peninggalan Samurai menuntut bela atas majikannya dan telah dirakamkan dalam filem 47 Ronin.

Lawatan tidak lengkap tanpa melawat sekitar stesen kereta api lama Tokyo di Marunochi, Tokyo yang kelihatan hampir sama seperti bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.

Terdapat juga sebuah bekas Istana lama iaitu Tokyo Imperial Palace, bekas istana kota di zaman Shogun di bina pada tahun 1600-an sebelum musnah dalam kebakaran.

Di hari terakhir berada di bumi Tokyo, lawatan terakhir adalah ke Gunung Fuji iaitu kira-kira 108 kilometer dari Shinjuku, Tokyo.

Walaupun terdapat shinkansen dan kereta api ke sana, namun saya memilih untuk menaiki bas bagi menikmati pemandangan dalam perjalanan ke sana.

Kira-kira dua jam perjalanan, terlihat gunung berapi yang diselaputi ais di puncaknya. Bersiar-siar di sekitar tasik sekitar Gunung Fuji adalah suatu pengalaman yang amat mengujakan.

Terdapat lima tasik yang merentangi pemandangan di sekitar Gunung Fuji iaitu Tasik Yamanaka, Tasik Kawaguchi, Tasik Saiko, Tasik Motosu dan Tasik Shoji.

Lawatan di sekitar tasik tersebut sambil menikmati keindahan panorama hanya mengambil masa sekitar sejam dengan bas khusus untuk tujuan tersebut.

Berakhirnya perjalanan hampir dua minggu di sini suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Dari makanan, budaya, gaya hidup serta disiplin masyarakat Jepun benar-benar memberi kesan dalam diri.

Oleh
Epul