Pulau Mantabuan yang terletak di Sabah tidak kurang indahnya seperti pulau-pulau lain yang ada di sekitar ini. Air lautnya sangat jernih, pasir sangat memutih.
Pulau ini terletak dalam zon Tawau di Pantai Timur Sabah merupakan pulau terkecil di Taman Marin Tun Sakaran. Perjalanan anda ke pulau ini mengambil masa kira-kira antara sejam hingga satu jam setengah dengan menaiki bot laju pasti tidak sia-sia kerana di sepanjang perjalanan mata anda bakal dijamu dengan keindahan laut yang membiru.
Pulau Mantabuan tidak mempunyai sebarang fasiliti tempat penginapan, namun terdapat sebuah perkampungan suku Bajau Asli di persisiran pantai dengan kemudahan kedai runcit jika anda ingin ‘melepak’ minum sebentar sambil menyaksikan panorama indah.
Jangan lepaskan peluang untuk beramah mesra dengan penduduknya yang begitu peramah. Peduduk ini juga terkenal sebagai golongan yang mampu menyelam ke dalam laut untuk satu jangka masa yang lama.
Setiap pengunjung yang ingin singgah dan datang ke pulau-pulau ini perlu mengambil pakej yang telah disediakan oleh pengusaha bot untuk perjalanan sehari. Tidak perlu risau mengenai aspek keselamatan kerana pulau-pulau di sini sentiasa dikawal selia dengan baik oleh anggota keselamatan negara kita.
Sebelum anda berangkat untuk bercuti ke pulau ini, perlu diingatkan supaya semak terlebih dahulu cuaca didestinasi tersebut. Ini kerana pulau-pulau di Malaysia ada ‘bulan’ tertentu tidak beroperasi kerana musim tengkujuh atau monsun.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jenis Yang Suka Aktiviti Lasak, Cebu Island Filipina Destinasi Ideal Untuk Korang
Filipina negara yang terkenal dengan panorama alam semula jadi yang indah. Antara lokasi yang menjadi tumpuan ramai ialah Pulau Cebu.
Keindahan lautan dan panorama pulaunya begitu menawan. Kunjungan ke Pulau Cebu pasti tidak mengecewakan boleh disifatkan satu percutian lasak buat penggemar aktiviti luar.
Lakukan Aktiviti Lasak Di Alegria
Alegria terletak di selatan Cebu dengan keluasan kira-kira 89.5 kilometer persegi dan mempunyai sembilan daerah pentadbiran kecil dipanggil Barangay. Menarik mengenai destinasi ini ialah kisah keindahan pemandangan ngarainya (canyoneering) terutama sekali air terjun yang sering dikongsi dalam media sosial.
Di Alegria, air terjun menjadi kawasan paling popular dan sering menerima kunjungan pelancong. Melihat air yang mengalir kebiru-biruan menjadi satu kepuasan sesiapa yang dapat menjejakkan kaki di sini.
Melihat Matahari Terbit Puncak Osmena
Jangan lupa singgah di puncak Osmena untuk merakam pemandangan matahari terbit. Lokasi ini cukup ideal buat peminat berswafoto apabila boleh merakam pemandangan sekitar kawasan.
Matahari Terbenam Di Tops Lookout
Tops Lookout membolehkan pengunjung melihat pemandangan indah terutama panorama Bandar Cebu yang memukau ketika matahari terbenam. Terdapat kemudahan teropong untuk melihat keseluruhan kawasan, dan kafe kecil untuk bersantai bersama yang tersayang.
Berenang Bersama Whale Shark Di Oslob
Oslob adalah lokasi tumpuan ramai pengunjung untuk melihat whale shark selain itu boleh juga lakukan aktiviti snorkel, berenang dan juga island hoping ke Pulau Sumilon.
Elak datang pada cuti hujung minggu, kerana ramai pelancong akan berasak-asak menunggu giliran untuk menaiki bot.
Pengusaha bot atau operator pusat pelancongan akan mengumpan mamalia terbabit dengan memberi makan agar ikan paus itu timbul menonjolkan diri. Operasi ini hanya berjalan pada waktu pagi sahaja dan berakhir sebelum 10 pagi. Anda perlu merancang jadual perjalanan anda dengan baik jika ingin melihat whale shark di Oslob.
Selam Skuba Di Pulau Pescador
Ia lokasi wajib untuk aktiviti ‘diving’ kerana keindahan taman laut yang mampu menggamit penyelam dari seluruh dunia untuk datang serta meneroka khazanah alamnya. Antara aktiviti lain boleh pengunjung lakukan ialah snokerling atau berkayak.
Sumber Foto: Google Image
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Singgah HL Dragon Fruit Eco Farm, Ladang Buah Naga Dengan Menu Istimewa
Seronok juga kalau singgah HL Dragon Fruit Eco Farm yang terletak di Sepang ini, boleh layan pelbagai menu yang berasaskan buah naga.
Konsepnya dari ladang sehingga ke meja makan, semuanya berasaskan buah naga. Menarik, bukan?
HL Dragon Fruit Eco Farm
Haaa… ada pelbagai variasi buah naga ditanam di sini, antaranya ‘Red Ruby’, ‘Honey White’, ‘Yellow King’ dan yang terbaru, ‘Pink Ruby’.
Kalau sampai sahaja di sini, pengunjung akan diberi penerangan mengenai penanaman serta keistimewaan setiap variasi,” katanya.
Replika Buah Naga Terbesar
Menambah lagi keunikan di ladang terletak di Jalan Besar Batu Satu, Sepang itu, adalah struktur buah naga terbesar di Malaysia dibina pada 2020 dan diiktiraf The Malaysia Book of Records.
Bukan itu sahaja, malah baru-baru ini iaitu pada 19 November 2023, ladang ini turut diiktiraf Guinness World Records sebagai ‘Replika Buah Naga Terbesar Pertama Di Dunia’!
Kedudukannya yang terletak kira-kira 26 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga membolehkan pengunjung melihat secara dekat pesawat terbang rendah sebelum mendarat.
Kalau nak tahu, menu dan produk berasaskan buah naga ini tercetus selepas ladang milik keluarganya itu menghasilkan buah naga yang begitu banyak, ada kalanya melebihi permintaan.
Layan Nasi Lemak Buah Naga
Antara menu kegemaran nasi lemak buah naga dan roti buah naga, lebih dikenali sebagai Jumbo Dragon Bun. Cuba tengok nasi lemaknya itu, warna pun seksi macam buah naga.
Ini contoh Bun Buah Naga, agak besar saiznya yang berwarna merah jambu dan dimasak dengan kari ayam diletakkan di dalamnya.
Ada minuman unik, ‘Dragon Breath’ yang anda boleh cuba. Sudah tentunya terselit buah naga dalam air itu, fresh!
Jadi, kalau anda sudah sampai Sepang, alang-alang itu boleh lah merasa singgah menu buah naga di ladang HL Dragon Fruit Eco Farm. Yang penting semua menu nampak menggoda dan banyak pilihan.
Kredit gambar: halalfoodiemy
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Info Menarik Buat Kaki Travel Bercadang Bercuti Ke Oxford
Perkongsian info percutian ke Oxford ini dikongsiakan oleh saudara Mohamad Idham Md Razak (Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin)
Peluang bercuti ke luar negara bersama sahabat baik merupakan impian setiap kaki kembara. Rezeki penulis mendapat peluang untuk membentangkan kertas penyelidikan bersama sahabat baik Dr. Hj. Abdul Rahim Ridzuan di Oxford, United Kingdom merupakan peluang keemasan yang sukar dilepaskan. Kenalan baik kami, Profesor Madya Dr. Mohammed Hariri Bakri yang menetap di St. Clement banyak membantu di sepanjang tempoh kami berada di sana. Beliau merupakan Fellow di Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford. Kami juga berpeluang melihat fasiliti tempat beliau bertugas, peluang yang jarang-jarang diperolehi.
Berikut penulis kongsikan 10 info menarik buat kaki travel di Oxford:
1. Fakta Sejarah. Oxford ialah bandar raya dan bandar di Oxfordshire, England Tenggara. Mengambil masa sekitar 2 jam dari Lapangan Terbang Heathrow dengan menaiki bas. Bandar raya ini mempunyai jumlah penduduk sekitar 165,000 orang, dengan 151,000 orang tinggal di dalam sempadan daerah di mana Sungai Cherwell dan Sungai Thames mengalir merentasi Oxford dan bertemu di sebelah selatan pusat bandar raya. Bangunan di sekitar Oxford memiliki ciri seni bina British sejak ketibaan orang Saxon, termasuk bangunan Radcliffe Camera di pertengahan abad ke-18 yang ikonik.
2. University of Oxford. Terdapat 39 kolej di University of Oxford. Seperti kata teman penulis, Oxford adalah bandar dalam Universiti. Sepanjang berada di Oxford, kami berkesempatan untuk melakukan kembara ringkas di beberapa buah kolej yang popular di University of Oxford seperti All Souls, Magdalen, St. Cross, St. Edmun Hall. Sebagai peringatan untuk bakal pengunjung, kebanyakan masa lawatan yang dibuka kepada umum adalah pada jam 2.00 petang. Penulis juga berkesempatan melawat ke Said Business School, University of Oxford. Penulis berasa teruja kerana ini merupakan lawatan kali kedua penulis di sini.
3. Tarikan pelancong. Terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati di sekitar Oxford. Di antara tempat – tempat menarik dan unik yang dicadangkan oleh penulis seperti University Church of St. Mary the Virgin, Christ Church Cathedral, Blackwell’s Bookshop, Bodleian Library dan Oxford Botanic Garden. Keindahan senibina dan lanskap pasti membuatkan gambar yang bakal dimuat naik di laman sosial kelihatan mengagumkan.
4. Makanan Halal. Buat bakal pengunjung, usah risau makan halal mudah didapati di sekitar Oxford kerana terdapat banyak restoran Timur Tengah di sini. Sekiranya anda berhajat untuk menikmati makanan segera, Restoran KFC dan Nandos di Cowley Road adalah Halal untuk dinikmati. Bagi penulis, bluberry muffin dan buah-buahan segar yang terdapat di stor Marks and Spencer cukup kena dengan selera penulis sebagai pengalas perut sebelum memulakan ekspedisi.
5. Syurga membeli belah. Selain keindahan senibina dan lanskap, di sepanjang jalan raya di sekitar Oxford terdapat banyak kedai cenderamata murah dan unik seperti The University of Oxford Shop dan Flaggs. Jangan lupa ke kedai Primark berdekatan dengan Pasaraya Westgate. Terdapat pelbagai koleksi seperti haruman, alat solek dan pakaian yang murah keluaran tempatan yang wajib dibeli untuk kegunaan sendiri atau diberi pada kenalan sebagai ole-ole.
6. Kemudahan pengangkutan. Kemudahan pengangkutan di bandar Oxford amat efisien dan selesa. Terdapat banyak perkhidmatan teksi yang disediakan dengan harga berpatutan. Sepanjang berada di Oxford, penulis lebih banyak berjalan kaki. Untuk ke kotaraya London, anda boleh menaiki bas Oxford Tube atau X90. Apa yang menarik ialah bas tersebut mempunyai kemudahan akses wifi percuma dan tempat mengecas gajet.
7. Penginapan. Terdapat banyak tempat penginapan menarik bergantung kepada bajet percutian dan citarasa. Beberapa tempat penginapan yang dicadangkan oleh penulis seperti, Old Bank Hotel, Vanbrugh House Hotel, Remont Oxford Hotel dan Premier Inn Oxford Hotel.
8. Cuaca dan Musim. Seperti kebanyakan bandar di sekitar United Kingdom, cuaca kadangkala tidak menentu. Justeru, adalah dinasihatkan untuk melihat ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan. Penulis mencadangkan untuk melawat bandar Oxford pada musim bunga sekitar Mac hingga Mei atau pada musim luruh sekitar September dan November.
9. Masyarakat sekitar. Masyarakat di sekitar Oxford sama seperti di kebanyakan bandar di sekitar United Kingdom, amat ramah dan murah dengan senyuman. Justeru, jangan berat mulut untuk bertanya sekiranya ingin meminta bantuan atau sebagai penunjuk arah.
10. Kemudahan solat. Untuk pengembara Muslim, jangan gusar banyak kemudahan solat yang terdapat di sini. Penulis dan rakan berkesempatan menunaikan solat Jumaat di OUISoc yang terletak di Bangunan Robert Hooke. Komuniti Muslim yang pelbagai di sini amat mesra terutama dengan pelancong luar.
Peluang explorasi di Oxford pastinya menjadikan kenangan yang terindah buat penulis dan rakan. Banyak lagi program kembara yang kami rencanakan di masa akan datang. Pesan penulis, dalam mencari sahabat sejati carilah yang boleh mengembara bersama, sibuk mencari ilmu dunia dan akhirat, sanggup berkongsi susah payah bersama, serta sentiasa mengingatkan kita kepada Allah swt. Edisi kembara kali ini adalah salah satu medium menghayati kebesaran dan keindahan ciptaan Allah swt serta meraikan persahabatan kami yang telah terjalin hampir 10 tahun lamanya.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI