Pulau Pinang menawarkan pelbagai macam keistimewaan yang pasti membuatkan sesiapa saja teruja sekiranya berkesempatan menjejaki kaki ke sini. Selain percutian tepi pantai, kunjungan ke Pulau Mutiara membolehkan pelancong mengenali budaya dan menyaksikan pelbagai bangunan warisan yang unik. Bahkan anda turut berpeluang mengunjungi pelbagai tarikan yang tidak kurang menariknya seperti muzium kaca.
Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa turut teruja jika berada di muzium ini. Itu gambaran jujur sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam iBox Glass Museum.
iBox Glass Museum diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai muzium kaca pertama di Malaysia, iBox Glass Museum memberi kelainan berbanding muzium lain yang selalunya kelihatan suram dan tidak ceria. Reka bentuk luaran muzium ini yang unik membuatkan ramai tertanya, apa yang terdapat di dalamnya.
Cukup mempersonakan tatkala kaki melangkah masuk ke iBox Glass Museum ini, dekorasi berasaskan kaca yang berwarna-warni dan datang dalam pelbagai bentuk melatari segenap ruang muzium. Setiap pengunjung yang datang ke sini bakal disambut oleh kakitangan muzium untuk diberi penerangan dari sejarah penubuhan muzium hingga ke sesi D.I.Y (do it yourself).
Pelbagai produk menarik yang dihasilkan daripada kaca dipamirkan di sini seperti jam dinding, cermin muka, hiasan dinding, panel penghadang dan banyak lagi. Pengunjung dibenarkan untuk membeli apa jua produk yang dipamirkan di muzium ini untuk di bawa pulang sebagai kenangan. Tanpa bayaran dikenakan kepada pengujung, iBox GlassMuseum dibuka setiap kecuali Ahad dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang.
Ilham Kreatif
Pada sesi D.I.Y (do it yourself) pengunjung tidak kira dewasa atau kanak-kanak diberi kesempatan untuk mempamirkan bakat dengan melukis dan mewarna di atas botol kaca yang dileperkan. Pewarna khas diperkenalkan agar hasil kreatif yang dihasilkan tampak cantik di atas permukaan kaca.
Lokasi: iBox Glass Museum, 80-O Jalan Mt.Erskine, 10470 Tanjong Tokong, Pulau Pinang | www.iboxglass.com
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
21 Kedai Makan Di Melaka Yang Dapat Rating Review 4 Bintang Oleh Local Guide Google
Negeri Melaka adalah salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia. Boleh dikatakan, setiap minggu Melaka pasti dipenuhi dengan pelancong tak kira dari dalam mahupun luar negara.
Selain daripada tempat-tempat bersejarah yang menjadi tarikan kepada setiap kunjungan pelancong ke negeri itu, Melaka juga menjadi destinasi kepada penggemar makanan. Ada yang datang ke Melaka hanya semata-mata untuk memburu juadah yang sedap di sana.
Kepada anda yang suka memburu kedai-kedai makan sedap lagi-lagi di Melaka, di sini Libur nak kongsikan kepada anda 23 destinasi makan yang mendapat rating review 4 daripada 5 bintang dan ke atas oleh wargamaya di Google.
Cengkerang Seafood Jumble
Kalau anda memang minat makanan laut, boleh datang ke kedai ini kerana di sini, mereka menyediakan juadah makanan laut yang pelbagai seperti lobster, king crab, udang, ketam dan makanan laut bercengkerang yang lain.
Alamat: No 10, Jalan KLJ 1A, Taman Kota Laksamana Jaya, 75250 Melaka.
Waktu Operasi: Pukul 5 petang hingga 11 malam
Mee Sup Tengkera
Lokasi mee sup ini juga dikenali dengan panggilan mee gian. Kalau anda terasa nak makan aneka mee sup yang ada di sini, boleh Google mee sup tengkera. Kedainya berdekatan dengan Masjid Tengkera. Cadangan Libur, selain anda makan mee sup, pesan juga popia basah, highly recommended.
Alamat: Lot, 460, Jalan Tengkera, 75200 Melaka
Waktu Operasi: Pukul 2.30 petang hingga 6 petang
Pak Putra Restaurant
Kedai special untuk anda yang suka lepak mamak dan makan roti naan bersama ayam tandoori. Kedai mamak ini adalah kedai mamak yang sangat popular dikalangan orang tempatan di Melaka. Menu paling digemari di sini adalah ayam tandoori.
Alamat: 56 & 58, Jalan 4, Taman Kota Laksamana, 75200 Melaka
Waktu beroperasi: Pukul 5.30 petang hingga pukul 1 pagi
Cendol Jam Besar
Anda yang nak basahkan tekak selepas pusing Bandar Hilir, boleh singgah di kedai Cendol Jam Besar yang terletak di tengah-tengah Bandar Hilir berdekatan dengan jam besar. Ada pelbagai menu candol yang disediakan kepada anda dan, selain cendol anda kena cuba air tembikai yang disediakan dengan cara yang paling mengiurkan sekali.
Alamat: Bandar Hilir, 75200 Melaka
Waktu operasi: pukul 9 pagi hingga 6 petang
Floyd Kitchen Melaka
Selalunya orang yang food hunting ke Melaka ni nak cari makanan resipi asli tempatan kan? Tapi dekat Google pun naik juga kedai yang menjual hidangan makanan barat. Ini mesti sebab orang tempatan dekat Melaka suka makan kedai ni. Kalau anda cari kedai makanan barat di Melaka, boleh singgah ke Floyd Kitchen Melaka.
Alamat: No 5, Jln Lagenda 3, Taman 1 – Lagenda, 75400 Melaka
Waktu operasi: pukul 12.30 tengahari hingga 11.30 malam
Mango Float Royale Melaka
Kedai yang menjual mangga susu sampai orang ramai kena beratur panjang di Melaka. Dekat KL pun ada jual mangga susu tapi, bila anda sampai ke Melaka, anda kena cuba mangga susu yang disediakan di sini. Sangat sedap. Kalau tidak, masakan orang sanggup beratur panjang hanya untuk mangga susu.
Alamat: Kampung Sungai Putat, 75350 Batu Berendam
Waktu operasi: pukul 11 pagi hingga 11.30 malam
Klebang Original Coconut Shake
Kedai yang menjual coconut shake yang asal di Pantai Klebang. Sambil-sambil jalan dekat Pantai Klebang tu sedut coconut shake, alahai sedapnya. Ada banyak kedai yang jual coconut shake tapi kedai Klebang Original Coconut Shake antara kedai yang dicadangkan kepada anda untuk singgah mendapatkan segelas coconut shake segar dari dalam buah kelapa.
Alamat: Lot 130, Solok Kampung Bahagia, Klebang Besar, Melaka, Kesibang
Waktu Operasi: 11 pagi hingga 6 petang
Hadramawt Palace
Lokasi kedai makan ini adalah untuk anda yang nak cuba menu makan bertemakan Arab dan Yaman di Melaka.
Alamat: No.15,jalan pnbb 2,pusat Niaga Bukit Baru, Mukim Bukit Baru
Waktu operasi: 11 pagi hingga 11.30 malam
Cendol Kampung Hulu @Makan Avenue
Cendol Kampung Hulu – tengok gambar saja dah cukup untuk menceritakan kesedapan juadah yang disediakan kepada pelanggan yang datang ke sini. Landmark yang paling senang untuk anda yang ingin pergi makan Campung Kampung Hulu ini adalah Masjid Kampung Hulu. Ada pelbagai jenis cendol yang ada daripada cendol biasa hingga cendol durian. Anda kena cuba cendol durian, sangat sedap waktu panas lit lit.
Alamat: No 26, Jalan Kampung Hulu, Melaka
Waktu operasi: 12 tengahari hingga 12 malam
Calanthe Art Cafe
Kafe ini sangat sesuai untuk anda yang nak lepak makan tempat-tempat hipsturr. Juadah makan dia sedap juga dan persekitaran dalaman kedainya selesa dan nyaman. Kalau anda bermalam di Bandar Hilir, boleh singgah ke kedai ni untuk sarapan pagi.
Alamat: 11, Jalan Hang Kasturi, 75200 Melaka
Waktu operasi: 9 pagi hingga 11 malam
Botanist Cafe
Kafe ini berkonsepkan sehijau warna daun dan juadah makanan yang disediakan di sini adalah istimewa untuk anda yang hanya makan sayur-sayuran atau vagetarian. Sekalipun makanan di sini untuk vagetarian, tapi sedap tau. Kalau anda suka makan sayur, anda boleh datang ke sini.
Alamat: 41&43, Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya, 75000 Melaka
Waktu operasi: 10 pagi hingga 10 malam
Seri Erra Roti John
Penggemar roti john kena datang sini. Inilah syurga roti john. Tak percaya? Anda tonton video ni. Saduran telur yang menyaluti kepingan roti john tu betul-betul nampak menyelerakan.
Alamat: 42, Jalan Tun Sri Lanang, Kampung Durian Daun, 75100 Melaka
Waktu operasi: 6.30 petang hingga 11 malam
Yong Tau Foo Pantai Puteri
Kedai yong tau foo ni dekat hujung Medan Selera Pantai Jering atau nama dia Gerai Mesraria Yong Tau Foo. Ada banyak jenis pilihan yong tau foo yang anda boleh pilih dan yang menariknya adalah ada pilihan-pilihan di situ yang boleh membuatkan anda rambang mata nak pilih. Yong tau foo ni yang paling penting kuah dia, dan kuah yang ada di kedai sangat menepati citarasa orang ramai.
Alamat: Gerai No.1 Medan Selera Pantai Jering, 76400 Tanjong Kling
Waktu operasi: 5 petang hingga 11 malam
Ikan Bakar Muara Sungai Duyung
Melaka ada banyak kedai yang jual makanan laut tapi di Restoran Ikan Bakar Muara Sungai Duyung ini adalah antara yang terbaik di sana. Suasana yang selesa di restoran ini sangat sesuai untuk anda bawa keluarga makan malam. Bukan sahaja keluarga, kalau anda datang bercuti bersama teman sekalipun, kedai makan ini antara yang perlu ada dalam senarai cadangan makan malam anda bersama.
Alamat: Jalan Padang Temu, 75050 Melaka
Waktu operasi: 4.30 petang hingga 11 malam
Mee Besen Original
Nama dah gempak kan? Makan mee dalam besen. Haha bukan macam tu. Maksud mee besen ni adalah kuantiti makanan yang dihidangkan kepada anda umpama makan dalam besen sebab banyak! Kuantiti makanan dekat sini boleh makan berdua. Kalau anda jenis tak jaga badan main sebat kecuali batu dengan kayu, boleh la try makan sorang. Tapi untuk yang perut kecil, boleh kongsi bersama teman anda. Ada pelbagai jenis menu yang ada di sini dan yang pasti, rasanya cukup untuk membuatkan anda repeat setiap jenis hidangan yang ada.
Asam Pedas Pak Man
Melaka memang terkenal dengan asam pedas dan Restoran Asam Pedas Pak Man ini adalah yang popular di kalangan warga Melaka dan semestinya, pilihan asam pedas yang paling laku adalah asam pedas ikan pari.
Alamat: 202, Ujong Pasir, 75050 Melaka
Waktu operasi: 8 pagi hingga 10 malam
Roti Terbang Asam Pedas Banjir
Kueh Keria Gula Melaka Batu Berendam
Kuih keria Batu Berendam ni agak terkenal bukan saja dekat orang Melaka tapi, orang luar pun suka juga makan kuih keria Batu Berendam ni. Panjang barisan orang beratur semata nak beli kuih keria tu. Tapi kalau anda sendiri nak beratur, Libur rasa berbaloi sebab rasa yang ada pada kuih keria tu membuatkan hasil beratur tu rasa berbaloi. Bukan sekadar menjual kuih keria sahaja, kedai ini juga ada menjual beberapa juadah yang lain seperti goreng pisang.
Alamat: Ruang Niaga Terbuka, Taman Cergas, 75350 Batu Berendam, Melaka
Waktu operasi: 10 pagi hingga 7 petang
Ikan Bakar Parameswara
Satu lagi menu makan yang best kalau anda nak makan makanan laut dan kepakaran kedai ini adalah pada juadah ikan bakar yang disediakan. Ada pelbagai jenis ikan yang dibakar di atas dapur arang yang marak membara-bara, membuatkan aroma bau ikan bakar itu menyelerakan dan menyebabkan anda terasa lapar dan ingin makan semua jenis ikan bakar yang ada di situ. Anda boleh pilih apa jenis makanan laut yang anda nak, kemudian dibakar dan dimakan dengan air asam. Halamak!
Alamat: Medan Ikan Bakar, Pengkalan, Kampung Umbai, 75460 Ayer Molek, Melaka
Waktu operasi: 5 petang hingga 12 malam
Kocik Kitchen
Nak rasa makanan style Cina? Jom datang kedai Nyonya ni untuk rasa juadah makanan Chinese style yang sedap. Kedai ni tak jauh pun kalau anda nak pergi. Ada di Jonket Street saja.
Alamat: 100, Jalan Tun Tan Cheng Lock, 75200 Melaka
Waktu operasi: 11 pagi hingga 6.30 petang
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Taman Kucing Dungun, ‘Mahligai Impian’ Buat Si Bulus Jalanan Di Terengganu
Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun sinonim sebagai pusat riadah dan aktiviti pendakian. Tetapi hari ini, destinasi alam ini mempunyai satu lagi daya tarikan baru kepada pengunjung terutam peminat si bulus iaitu Taman Kucing Dungun.
Taman Kucing Dungun adalah satu inisiatif Majlis Perbandaran Dungun untuk memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan dan pada masa sama memastikan haiwan ini terjaga. Ketika ini, sebanyak 30 ekor kucing jalanan yang dijumpai sepanjang operasi Majlis Perbandaran Dungun di pasar, kedai makan dan tempat awam lain telah ditempatkan di Taman Kucing Dungun untuk dirawat.
Inisiatif ini telah dimulakan pada tahun 2012 di Teluk Lipat dekat Sura namun lokasi itu tidak lagi sesuai untuk penempatan Taman Kucing Dungun ini, kemudian terus dipindahkan ke Taman Rimba Bukit Bauk pada Julai 2020 kerana kawasan ini lebih sesuai sekali gus menjadi satu lagi destinasi pilihan bagi pencinta kucing.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan memberi rawatan perubatan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala di Taman Kucing Dungun. Kakitangan JPV Terengganu akan bertugas mengikut giliran yang ditetapkan supaya semua kucing terbiar ini kembali sihat dan comel seperti kucing peliharaan.
- Terdapat lima sangkar pengasingan disediakan mengikut kategori kesihatan haiwan iaitu Unit Rawatan Rapi, Unit Pemulihan, Unit Kucing Bahagia, Wad Keluarga Bahagia serta Wad Rawatan Ibu dan Anak.
- Taman Kucing Dungun ini mampu memuatkan 150 kucing pada satu-satu masa yang dikendalikan dua kakitangan Majlis Perbandaran Dungun ketika ini.
- Tiada sebarang bayaran masuk dikenakan kepada pelancong, malah kawasan ini juga sesuai dijadikan pusat rekreasi untuk keluarga yang cintakan alam semulajadi.
- Namun taman ini juga amat berbesar hati jika pengunjung ingin menyumbang makanan, ubat-ubatan, peralatan dan sumber kewangan untuk menampung keperluan kucing tersebut.
Foto: FB Majlis Perbandaran Dungun | Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sekumpulan Ikan Lumba-Lumba Muncul Di Tanjung Tuan Port Dickson
Rakyat di Malaysia jarang berpeluang untuk melihat kelibat ikan lumba-lumba bermain-main di depan mata dek kerana spesies ini jarang berada diperairan negara kita. Jika ada pun tidak mudah untuk dilihat kecuali kita berada di tengah lautan.
Kehadiran ikan lumba-lumba di perairan Port Dickson merupakan saat emas bagi orang ramai apabila berpeluang melihat sendiri aksi spesies marin itu, sekali gus merakamkan kejadian itu seperti yang tular di laman sosial.
Port Dickson merupakan destinasi pelancongan popular untuk aktiviti beriadah dan sukan air di Negeri Sembilan. Kehadiran sekumpulan ikan lumba-lumba tersebut di pantai peranginan tersebut di kawasan perairan Tanjung Tuan pastinya sesuatu yang sangat istimewa.
Rakaman berdurasi 43 saat itu, memaparkan aksi sekumpulan empat ekor ikan lumba-lumba berenang di perairan Tanjung Tuan dan ia dikongsi menerusi akaun Facebook ‘N9 INFO TRAFFIC’ serta mendapat ribuan ‘like’, ratusan ‘share’ dan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Fenomena itu adalah biasa bagi golongan nelayan dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS). Ikan lumba-lumba spesies itu memang biasa dijumpai di perairan Malaysia dan adalah spesies mamalia marin yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.
Kewujudan ikan lumba-lumba itu sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan nelayan ketika berada di laut. Bagi nelayan kewujudan ikan lumba-lumba itu sudah biasa diihat dan apabila orang awam ternampak buat pertama kali mungkin mereka agak terkejut dan teruja melihat ikan lumba-lumba di permukaan air. Kali terakhir ikan lumba-lumba itu dilihat di laluan kapal kargo di perairan Tanjung Tuan pada bulan Disember tahun lepas. Ikan-ikan lumba suka mengekori kapal sebab suka bermain alun di depan kapal.
Tidak dinafikan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini memberi kesan baik terhadap alam sekitar. Ia menunjukkan dengan ketiadaan aktiviti perikanan rekreasi, aktiviti penangkapan ikan yang tidak bertanggungjawab, aktiviti rekreasi air di Port Dickson dan ketiadaan orang ramai maka hidupan marin itu yang selalunya berkeliaran jauh akan lebih berani menghampiri kawasan pantai.
Jabatan Perikanan Negeri Sembilan berharap agar tiada pihak yang mengganggu haiwan berkenaan kerana ia merupakan haiwan marin yang dilindungi bersama paus, dugong, penyu, yu gergaji, yu sirip putih besar, yu tukul dan pari manta.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI