Jangan Sesekali Berani Nak Kutip Batu Di Pantai Amroth, Wales

Share

Jika bersiar-siar di pantai, menjadi perkara biasa aktiviti orang awam mengutip batu-batu yang cantik di persisiran pantai. Rutin itu kadangkala sekadar suka-suka untuk melengkapkan acara normal percutian di mana sahaja pantai di dunia. Tiada undang-undang sebelum ini yang mengatakan amalan mengutip batu di pantai adalah salah. 

Berlainan pula di pantai peranginan Amroth di Pembrokeshire, Wales. Pengujung telah dikejutkan dengan larangan daripada mengambil atau mengambil batu di kawasan berkenaan. Mengalihkan batu-batu pantai adalah kesalahan jenayah. Pesalah boleh dikenakan hukuman!

Papan amaran keras mengenai peraturan ‘pelik’ itu telah dipasang di pantai itu menyatakan bahawa mereka yang berbuat demikian berdepan denda sebanyak £1,000 (RM5,280). Papan tanda larangan itu turut menegaskan bahawa batu-batu di pantai tersebut merupakan benteng pertahanan pantai daripada hakisan laut.

Kesalahan itu dikatakan tertakluk di bawah Akta Perlindungan Pesisir 1949 dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga £1,000 kerana menyebabkan kawasan pantai terdedah kepada hakisan. Bagaimanapun, wakil Majlis Daerah Pembrokeshire mengesahkan bahawa pihaknya bukan orang yang bertangungjawab memasang papan tanda itu.

Menurut seorang penduduk tempatan, Ben Williams, perbuatan mengambil batu itu sukar untuk dibendung.

“Apabila anak anda yang berusia tiga tahun mahu menyimpan batu cantik yang ditemuinya, saya tidak boleh katakan tidak kepadanya. Bukan apa yang diambil dari pantai menjadi masalah tetapi apa yang ditinggalkan di sana oleh pengunjung,” katanya.

Pantai tersebut popular dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan di Pembrokeshire. Namun penduduk sekitar yang mendiami di lokasi tumpuan pengunjung itu sedikit bimbang dengan kesan hakisan yang semakin jelas kelihatan. Oleh itu, banyak benteng-benteng diwujudkan disekitar persisiran pantai untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sumber: Independent

Oleh
Husna