Berita

Jangan Panik Jika Terserempak Haiwan Liar Ketika Musim COVID-19

Share

Beberapa hari sebelum ini tular di media sosial satu video berdurasi 21 saat yang memaparkan empat ekor gajah berkeliaran di sekitar kawasan stesen minyak Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu yang dipercayai dirakam pekerja stesen minyak itu.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menerima beberapa laporan mengenai kehadiran haiwan liar di kawasan berpenduduk baru-baru ini, menasihatkan orang ramai supaya tidak panik jika berhadapan dengan situasi itu.

Orang ramai juga diminta supaya berhati-hati dan tidak ghairah untuk mengambil gambar sekiranya terserempak lagi dengan gajah tersebut atau haiwan liar lain seperti harimau bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

Sekiranya terserempak dengan haiwan liar, orang ramai diminta supaya melaporkan segera kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut. Perhilitan akan menghantar petugas untuk mengenal pasti dan membantu sekiranya wujud ancaman terhadap penduduk sekitar.

Kemungkinan kewujudan haiwan liar tersebut di kawasan awam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) aktiviti manusia yang semakin berkurang secara tidak langsung mengurangkan ‘gangguan’ terhadap haiwan liar, menyebabkan ia ‘selesa’ untuk keluar mencari makanan memandangkan, habitatnya bersempadan dengan penempatan penduduk.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof mengesahkan pihaknya ada menerima laporan itu dan siasatan mendapati laluan itu sudah lama tidak digunakan oleh gajah liar. Menurut beliau lagi ada kemungkinan juga lokasi itu hanya menjadi laluan persinggahan haiwan liar berkenaan sahaja.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna