Tenang dan memiliki bentuk muka bumi istimewa menjadi faktor tarikan utama dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun pelancong luar untuk menerokai Perlis. Jolokan ‘Negeri Permai Lagi Mempesona’ sememangnya sangat sesuai dengan negeri Perlis yang aman dan indah.
Perlis merupakan negeri terkecil di utara Semenanjung, sering menjadi persinggahan sementara untuk pelancong ke Pulau Langkawi ataupun memasuki negara jiran, Thailand. Pelbagai tarikan pelancongan di Perlis pastinya memberikan pengalaman hebat dan menyeronokkan. Berikut antara tarikan istimewa negeri mangga harumanis:
KAWASAN EKO PELANCONGAN
Perlis menyimpan khazanah hutan yang amat berharga. Kawasan hutan di Perlis menjadi satu-satunya negeri di Malaysia mempunyai spesies Pokok Bogak terbanyak untuk dinikmati pencinta alam. Hutan Simpanan Kekal, Mata Ayer dan Hutan Simpan Kekal Wang Mu merupakan hutan simpan tertua di negara ini dengan sebahagian besar Banjaran Nakawan terdiri daripada formasi batu kapur berusia kira-kira 500 juta tahun.
Gua Kelam merupakan satu daripada gua batu kapur tertua di Malaysia terletak di Kaki Bukit. Gua ini dahulunya terkenal dengan lombong bijih besi selain menjadi laluan antara penduduk Wang Kelian dengan Kaki Bukit. Sejarah perlombongan di sini dianggarkan berusia kira-kira 100 tahun yang lampau dan Gua Kelam dikatakan merupakan satu-satunya aktiviti perlombongan dalam gua yang dijalankan.
Gua Kelam 1
Gua Kelam 1 atau dikenali sebagai Taman Rekreasi Gua Kelam terkenal dengan laluan di dalam gua melalui jambatan kayu tergantung. Panorama di dalam perut gua ini begitu indah dibantu dengan sorotan lampu berwarna-warni menemani pengunjung sepanjang perjalanan. Gua Kelam 1 boleh dikatakan sebagai ‘bintang’ di Perlis, jika tidak sampai ke sini, umpama anda belum jejakkan kaki di Perlis. Pada hujung minggu, lokasi ini agak meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang gemar melakukan aktiviti perkelahan dan mandi air sungai yang mengalir dari gua ini.
Gua Kelam 2
Kini terdapat tarikan terbaru di Gua Kelam 2, orang ramai diberi peluang untuk menyusuri laluan dalam terowong bekas kerja-kerja perlombongan sejauh kira-kira 3.8 meter. Jujur penulis kata kan ini merupakan satu pengalaman menarik yang sukar dilupakan. Laluan ke dalam Gua Kelam 2 diterangi dengan sedikit cahaya lampu jingga yang malap, namun disepanjang perjalanan masih kelihatan jelas kesan tapak aktiviti pemindahan bijih besi masa lampau. Hampir semua kesan peninggalan aktiviti perlombongan dapat dilihat dalam keadaan baik kerana barangan yang terdapat di situ tidak mengalami proses pereputan. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai formasi batuan, stalaktit serta stalagmit dalam bermacam rupa dan bentuk.
Stesen Penyelidikan FRIM Perlis
Stesen Penyelidikan FRIM Perlis merupakan pusat penyelidikan perhutanan jati, yang memiliki landskap sesuai menikmati panorama flora hutan dan beriadah. Terletak di Hutan Simpan Mata Ayer, FRIM Canopy Walk sepanjang 100 meter dengan ketinggian 17 meter pada aras laut merupakan tarikan utama pengunjung singgah ke sini. Dari aras ketinggian ini anda boleh menikmati kehijauan semula jadi hutan hujan tropika dan mengenali secara lebih dekat flora hutan. Jika bernasib baik, terdapat juga beberapa haiwan yang bermain-main berhampiran kawasan ini seperti monyet, tupai dan burung.
Ads
IKON KUALA PERLIS
Masjid Al Hussain
Kuala Perlis dikenali sebagai satu daripada pintu masuk utama ke Pulau Langkawi. Destinasi ini sentiasa sesak dengan kunjungan ramai tidak kira masa. Terdapat sebuah masjid ikonik menjadi ikon Kuala Perlis iaitu Masjid Al Hussaini juga digelar ‘masjid terapung’. Masjid ini tersergam indah dengan pandangan struktur jambatan berukuran 50 meter yang berfungsi menghubungkan masjid utama dibina di atas perairan Selat Melaka. Dibina pada tahun 2006 masjid terapung ini mula beroperasi pada 8 Oktober 2011. Disekeliling masjid ini juga seringkali menjadi ‘port’ menarik untuk orang ramai bergambar sambil melihat view matahari terbenam.
Jambatan Tuanku Syed Putra
Jambatan ini adalah jambatan yang menghubungkan dua kampung iaitu Kampung Seberang Tuk Pi dan Kampung Seberang Ramai. Pemandangan di atas jambatan ini sangat memukau.
Berhampiran dengan jambatan ini terdapat sebuah premis menjual produk tempatan dan luar. Antara barang yang wajib dibeli seperti belacan Perlis, ikan masin, ikan pekasam, dan kuah rojak dengan harga yang sangat berpatutan.
MAKAN-MAKAN
Di Perlis terdapat banyak destinasi makanan yang menarik menyajikan pelbagai jenis hidangan yang menggamit selera. Bukan sahaja warung dan kafe hipstur yang bercambah di sana sini menyediakan pilihan sajian tradisi juga moden malah restoran besar yang terdapat di sekitar negeri Perlis juga menghidangkan pilihan menu yang aneka rupa dan rasa.
Ads
Restoran Kak Su Laksa Beras Asli & Segar
Perlis sendiri tidak ketinggalan untuk mempunyai resepi dan hidangan laksa negeri yang tersendiri. Dari jauh, aroma kuah laksa ikan sudah menusuk ke rongga hidung. Sebaik melangkah ke ruang dalam Restoran Kak Su Laksa Beras Asli & Segar, aromanya terus meningkatkan darjah nafsu yang mula membuak-buak. Fokus semakin terganggu apabila berterusan menghirup wangi aroma kuah laksa dan isinya. Restoran Kak Su Laksa sudah terkenal dan beroperasi di Kuala Perlis sejak tahun 2002 lagi. Istimewanya Laksa di sini dihasilkan dan diproses sendiri dari A ke Z bermula dengan menguli tepung untuk menghasilkan laksa hingga ke kuah.
Ada yang lebih istimewa, hidangan laksa ini dicadangkan untuk dimakan bersama kuih ‘spera’ dan pulut panggan. Terasa aneh pada awalnya, tetapi setelah mencuba pasti anda jatuh cinta!
Restoran Asputra Seafood
Kuala Perlis sudah sinonim menjadi pilihan penduduk tempatan sebagai destinasi yang ideal untuk bersantai pada hujung minggu dek keadaan pantai yang nyaman. Selain dikenali sebagai tempat beriadah, ikan bakar dan makanan laut yang segar juga merupakan daya tarikan utama Kuala Perlis. Seperti menu lain, masakan berasaskan makanan laut mempunyai penggemar dan pengikutnya sendiri.
Oleh itu, semakin banyak restoran berkonsep santai yang menghidangkan menu makanan laut dibuka terutama di sekitar ini. Bagi penggemar makanan laut, apa kata mencuba makanan laut di Restoran Asputra Seafood. Yang pasti, segala jenis masakan yang dihidangkan akan membangkitkan selera pengunjung. Soal harga usah dipertikaikan kerana ia sememangnya berbaloi dan berpatutan.
MEMBELI-BELAH
Arked Niaga Padang Besar
Ads
Padang Besar tidak perlu lagi diperkenalkan, destinasi ‘shopping’ wajib dikunjungi jika sampai Perlis. Dikenali juga sebagai ‘Pekan Siam’ kerana kedudukan geografinya berdekatan sempadan wilayah Selatan Thailand. Arked Niaga Padang Besar sering menjadi tumpuan pada hujung minggu dan musim cuti panjang. Paling menyeronokkan jika anda hebat dalam kuasa tawar-menawar anda bakal menjadi ‘pembeli yang menang’ mendapatkan variasi produk dari negara jiran terutama kraf tangan, makanan, pakaian, aksesori wanita, mainan kanak-kanak, beg, peralatan dapur dan set bilik tidur pada harga berpatutan. Waktu operasi perniagaan di Padang Besar, Perlis adalah sekitar pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang.
PENGINAPAN
Homestay Felda Mata Air
Percutian ke Perlis, bakal memberikan pengalaman yang berlainan buat anda yang jarang berkunjung di negeri paling Utara Semenanjung Malaysia lebih-lebih lagi dapat menginap di Homestay Felda Mata Air. Tersergam indah, sebuah perkampungan dengan pemandangan gaya tropika yang amat sesuai bagi mereka yang cintakan keindahan alam. Penanaman getah merupakan kegiatan ekonomi sebahagian besar penduduknya yang peramah, murah senyuman serta ‘hemoi’ ini. Lokasinya berhampiran dengan Padang Besar, tetapi dipisahkan oleh bukit-bukit yang menjadikannya lebih tenteram serta dingin.
Pelbagai aktiviti menarik akan disajikan kepada tetamu, antaranya seperti persembahan hiburan, berzanji, pembuatan produk tradisional dan pembuatan ikan serta daging pekasam. Jika datang pada musim mempelam harumanis, tetamu berpeluang untuk merasai kelazatan buah ini yang banyak ditanam di sekitar kawasan Homestay Felda Mata Air. Seperkara lagi yang terpahat di ingatan tetamu ialah layanan tuan rumah serta orang kampung yang terlibat melayan tetamu tak ubah seperti sanak saudara sendiri.
PENGANGKUTAN
Stesen KTM Arau, Bukit Keteri & Padang Besar
Kereta, bas atau motosikal sering menjadi pengangkutan utama penumpang untuk travel dari satu tempat ke negeri Perlis. Namun, kereta api juga menjadi satu pengangkutan wajib bagi sesetengah daripada mereka kerana dikatakan lebih praktikal. Perjalanan menaiki kereta api sering menjadi pilihan kerana ia pengangkutan darat yang lebih selamat, cepat dan selesa untuk digunakan terutama untuk jarak jauh. Jika anda ingin ke Perlis, dicadangkan untuk menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus ke stesen Arau, Bukit Keteri atau Padang Besar.
Tatkala menggunakan khidmat kereta api, penumpang bakal menikmati pengalaman yang menarik kerana ‘dihidangkan’ dengan pemandangan indah nan luas menyusuri celah-celah hutan, bukit bukau, sawah padi dan sungai. KTMB juga menyediakan kemudahan tandas, kantin, ruang solat, selain katil di koc kereta api terpilih untuk keselesaaan pengguna.
Jom pakat mai Perlis!
Terima kasih: Tourism Malaysia Wilayah Utara, Tourism Malaysia Perlis, Tourism Malaysia Wilayah Tengah & KTMB
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Empat bulan perancangan awal dibuat untuk camping di Pos Kuala Mu yang sering menjadi buah mulut rakan-rakan camper yang pernah ke sana. Perkhemahan yang dirancang selama 3 hari 2 malam terpaksa dipendekkan kerana akur dengan arahan pihak berkuasa yang tidak membenarkan sebarang aktiviti perkhemahan ekoran tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember lalu.
Memang pada mulanya setelah mendapat perkhabaran tentang kejadian di Batang Kali itu membuatkan hati Noorsuzaimi Noordin dan keluarga berbelah bahagi sama ada meneruskan perjalanan mereka atau tidak. Namun setelah mengambil kira beberapa faktor perjalanan diteruskan.
Berkongsi pengalaman perjalanan untuk sampai ke sana yang agak mencabar namun berbaloi. Meskipun terpaksa pulang awal, kenangan manis tetap tersimpan dalam memori keluarga camper yang dikenali sebagai ‘thekamizz’ ini.
Tiada hubungan internet dan dapat menghayati keindahan alam ciptaan tuhan secara total, Noorsuzaimi amat berpuas hati dengan perkhemahan mereka kali ini. Dapat lepak tepi sungai sambil minum secawan kopi panas dan mendengar deruan air sungai, tiada kata-kata yang dapat digambarkan tentang indahnya perasaan.
Ikuti perkongsiaannya:
Camping di Kg Gepeh Hulu, Pos Kuala Mu
16-18 Dec 2022 tapi jadi 16-17 Dec 2022 sahaja
Camping penutup 2022
Perancangan nak ke Kuala Mu ni dah dibuat 4 bulan awal. Punya la excited tengok kawan-kawan dah sampai dulu dari kami. Ambik info depa sebagai rujukan. Alhamdulilah banyak info yang dapat, terima kasih kawan-kawan.
14/12/2022 kami gerak dari Jitra ke Lenggong terlebih dulu, stay di Kuak Hill Resort satu malam, dan esoknya 15/12/2022 kami stay 1 malam di pekan Sg Siput. Pada 16/12/2022 waktu Subuh, kami dapat berita kes tanah runtuh di Batang Kali, masa ni dah berbelah bahagi nk teruskan atau batalkan perjalanan ke Kuala Mu. Lepas berbincang, kami decide untuk masuk juga ke Kuala Mu selepas ambil kira beberapa faktor.
Perjalanan daripada Pekan Sg Siput ke Kuala Mu ambil masa lebih kurang 1jam 30minit (mengikut Google Maps) tapi kami slowkan perjalanan ambil langkah berhati-hati. Sepanjang perjalanan akan melalui Perlop, kemudian akan sampai ke Kg Bawong (disini pekan terakhir dan line data terakhir bagi Maxis). Di Kg Bawong ni ada sekolah dan masjid. Bolehlah singgah di masjid Kg Bawong ni utk buang air kecil dan sedekah lah di Tabung Masjid Pandu Lalu (inisiatif yang baik daripada pihak JK Masjid).
Daripd Bawong nak ke Kuala Mu lebih kurang 38km, Pos Yum 31km, melalui Pos Legap. Selepas simpang Pos Yum-Kuala Mu jalan makin kecil dan corak jalan lebih banyak mendaki, sharp turn dan ada kerosakan berlubang. Berhati-hati. Skill pemanduan perlu lebih kurang 3/5. Jalan adalah bertar.
Sesampainya di Kuala Mu, kita akan melalui Kg Bersah terlebih dahulu. Kami meneruskan perjalanan lagi untuk ke Kg Gepeh iaitu destinasi kami pada kali ni. Trademark tanda dah sampai Kg Gepeh adalah nampak jambatan besi yang merentasi sungai. Lintas sungai tu dan akan jumpa pintu gerbang. Boleh maklumkan pada staff atau pada En Johari sendiri mengenai booking yang dah dibuat dan boleh buat pilihan tapak camping. Tapak pilihan tak boleh booking, konsep 1st come 1st serve.
Tapak dengan view sungai memang cantik dan awesome. Disediakan plugpoint di pondok, ada tong sampah, sinki, toilet dan bilik mandi. Juga ada kedai runcit dan kedai kopi di sekitar. Chalet pun ada bagi yang malas set up tent. Disini ada anjing berkeliaran tapi tak mengganggu, ada juga kucing dan ayam.
Bab keselamatan, ada staff en Johari meronda memakai vest pantul cahaya dan ada juga khidmat kutip sampah pd jam 10malam (kena dinner awal dan uruskan sampah sendiri lebih awal). Sempat sembang, diaorang kata sampah kena kutip setiap malam sebab nanti anjing selongkar tong sampah.
Cuaca sepanjang ada di sana baik, tak hujan cuma gerimis manja. Suhu waktu malam memang sejuk, kipas tak ada fungsi waktu malam, haha.. Minyak masak yang diletak di luar, keesokanya nampak ada mendapan beku.
Overall review sangat puas hati, tambah pulak terputus hubungan tak ada internet. Jadi banyak masa boleh tengok dan hayati keindahan alam. Bersatu dengan alam. Lepak tepi sungai dengan kerusi healing, aduh feel nya susah nak gambar. Pekena pula kopi panas sambil dengar bunyi air sungai fuh, syulittttt.
Tapi keesokannya 17/12/2022 kami dapat berita daripada yang masuk ke Kuala Mu (kami terputus hubungan sebab tak ada internet), bahawa arahan penutupan campsite dan larangan berkhemah berkuatkuasa serta merta, jadi kami pun bersiap-siap untuk keluar pada hari yang sama. Sempat bermalam hanya 1 malam sahaja (sepatutnya keluar 18/12/2022).
Perjalanan keluar dari Kuala Mu hujan sepanjang jalan, keadaan jalan agak licin dan berkabus, pandangan agak terhad dan bahaya di sharp turn sebab perjalanan lebih banyak menuruni bukit dan keadaan agak gelap.
Alhamdulilah, kami tiba di Kg Bawong lebih kurang jam 6.30ptg. Berehat sekejap 10minit sambil baca notification yg masuk cecah 500++ (disini last dapat data internet untuk Maxis). Kemudian teruskan perjalanan ke Pekan Sg Siput.
Cadangnya nak stay di Ipoh 1 malam dan esoknya nak paw isteri mkn Menate Steak, tapi hotel penuh di Ipoh. Jam 9malam decide terus balik Jitra dan sampai lebih kurang jam 2pagi. Banyak berhenti berehat dan kenderaan banyak di Alor Pongsu, Bandar Baharu, Juru dan Sg Dua.
Alhamdulilah selesai camping penutup 2022 bagi The Kamizz. Hingga jumpa lagi di tahun 2023. Kekalkan berhati-hati sepanjang musim Monsun ini dan kami juga bersimpati dengan insiden tanah runtuh di Father Organic Farm, semoga semua mangsa dapat dijumpai, bagi yang selamat semoga dapat bertenang. Kepada pihak penyelamat, jasa dan pengorbanan anda amatlah dihargai.
Semalam dunia digemparkan dengan kejadian di Jepun apabila Taufan Hagibis melanda negara matahari terbit itu. Ribut taufan yang dikategorikan sebagai ‘besar dan amat kuat’ itu yang pertama melanda Jepun sejak dari tahun 1991.
Beberapa jam sebelum ribut taufan itu melanda Jepun, telah tular di media sosial langit Jepun yang bertukar menjadi ungu, seolah-olah memberikan alamat bahawa satu bencana yang amat besar akan terjadi.
Video ni menunjukkan langit Jepun bertukar ungu beberapa jam sebelum Taufan Hagibis melanda.
Dikategorikan sebagai ribut taufan yang sangat dahsyat, Taufan Hagibis menjejaskan ratusan ribu penduduk di Jepun dan memusnahkan banyak harta benda seperti rumah, kenderaan, kapal, kereta api laju, lapangan terbang dan sebagainya.
Melalui laporan berita antarabangsa, dianggarkan lebih 600,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat dan terkini, angka korban akibat ribut taufan itu telah mencecah seramai 35 orang.
Selain daripada mangsa yang terkorban, dianggarkan hampir 20 orang masih hilang sehingga kini.
Untuk pengetahuan anda, Taufan Hagibis yang melanda Jepun itu bergerak pada kelajuan 216 kilometer per jam. Anda bayangkan angin dicampur dengan hujan yang berpusar menghempas tingkap, pintu dan dinding rumah anda selaju itu. Pasti ianya satu pengalaman yang paling ngeri pernah kita rasakan.
Di sini, Libur kongsikan kepada anda kompilasi gambar-gambar yang berjaya dirakamkan di Jepun selepas ribut Taufan Hagibis itu melanda beberapa kawasan sekitar Jepun.
Jika kita lihat, kemusnahan yang berlaku bukan biasa-biasa. Sama-sama kita doakan semoga rakyat Jepun kembali pulih seperti sediakala.
Kota A Famosa bermaksud Yang Termasyhur dalam bahasa Portugis. Kota ini dibina Portugis selepas berjaya menawan Melaka pada 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan antara seni bina Eropah tertua yang masih wujud di Asia.
Sejarah A Famosa
Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar A Famosa, atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.
Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.
Kota A Famosa yang mempunyai empat menara, atau katelum (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.
A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.
Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh dan membantu Portugis menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang mati. Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate, yang menjelang masa itu mengalami korban lebih 7,000, akibat kebuluran, penyakit dan tembakan senjata api.
Kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran “Anno 1670”.
Kedatangan British tanpa bertempur
Apabila tentera Napoleon menjajah Belanda (Holland) pada tahun 1795, Putera William of Orange melarikan diri ke London, di mana dia memerintah semua penempatan Belanda untuk menerima tentera British, bagi menghalang mereka dari jatuh ke tangan Perancis. Akibatnya, pihak British berjaya menguasai Melaka pada 1795 tanpa sebarang pertempuran.
Selepas menguasai Melaka, pihak British tidak berminat menyimpannya, atau membiayai penempatan tentera bagi mempertahankan Melaka yang dianggap milik sementara dan perlu dipulangkan kepada pihak Belanda selepas perang. Sebaliknya meninggalkan kota sekukuh itu tanpa pertahanan yang mencukupi adalah mengundang mara bahaya, sekiranya ia ditawan oleh pihak musuh. Tambahan lagi, mereka tidak berminat bagi memulangkan Melaka ke tangan Belanda dengan kota A Famosa dalam keadaan utuh sebagai saingan kepada penempatan Inggeris di Pulau Pinang dan Singapura. Dengan sebab itu,William Farquhar iaitu Leftenan Gabenor Pulau Pinang dan juga Gabenor Melaka antara 1803 hingga 1818, telah membuat cadangan bagi memusnahkan kota A Famosa kepada Kerajaan Inggeris di India.
Beliau menyatakan bahawa penyelenggaraan dan pertahanan kubu tersebut hendaklah dikecilkan dan memberikan dua sebab utama, iaitu hasil yang diperolehi oleh Melaka tidak mampu membantu membiayai kos penempatan tentera ‘sepoy’ dan pengecilan itu akan membantu memajukan Pulau Pinang dengan memindahkan penduduk Melaka ke Pulau Pinang. Maka pada awal 1804, beliau dengan tegas mencadangkan agar Melaka dihapuskan dari muka bumi dengan semua penduduk Melaka diarah supaya dipindahkan ke Pulau Pinang dan Kota Famosa dimusnahkan bagi mengelak ia dikuasai oleh pihak lawan.
Dengan cadangan tersebut, Kerajaan Inggeris di India mengarahkan Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka dihancurkan. Kerja merobohkan Kota A Famosa bermula pada 10 Ogos 1807. Pada awalnya dia memerintahkan pesalah untuk merobohkan Kota A Famosa batu demi batu dengan menggunakan pemungkis dan besi penyungkil. Apabila tembok yang sesetengahnya mencecah 4.5 meter kelihatan terlalu kukuh untuk ditanggalkan, dia memutuskan bagi memusnahkan Kota A Famosa dengan menggunakan ubat bedil. Dia memerintah lubang digali di sekeliling kaki kota dan meletupkan Kota A Famosa, menyebabkan batu sebesar rumah berterbangan dan jatuh ke laut. Hampir kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletup dan diratakan.
Semasa kerja-kerja pemusnahan telah pun berlaku dengan rancaknya, Sir Stamford Raffles seorang kakitangan kerajaan yang bercuti sakit telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar. Apabila mengetahui mengenai perobohan Kota A Famosa, beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan. Beliau telah memberi sebab-sebab tertentu, pertamanya jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya, sudah pasti ia akan merugikan Pulau Pinang, kedua Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan mentadbirkannya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak, manakala yang ketiga penduduk-penduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di situ. Beliau turut menyatakan bahawa Inggeris tidak perlu meninggalkan Melaka hanya kecuali dipaksa.
Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah. Pemusnahan Kota ‘A Famosa’ pada hari ini dalam tahun 1807, telah memusnahkan hampir seluruh kota itu, dan hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago.
British kekal di Melaka sehingga tahun 1818. Apabila berakhirnya peperangan Napoleon, Melaka dikembalikan ke tangan Belanda (tanpa Kota A Famosa). Melaka kekal di tangan Belanda selama tujuh tahun berikutnya, sehinggalah perjanjian London 1824, apabila mereka menukarkan Melaka dengan Bangkahulu (Bencoolen) di Sumatra.
Penemuan arkeologi
Pada akhir November 2006, sebahagian struktur kota, dipercayai Kubu Middelsburgh dijumpai secara tidak sengaja semasa pembinaan menara berputar 110 meter di bandar Melaka. Pembinaan menara ditangguhkan selepas penemuan tersebut. Koperasi Muzium Melaka mensyaki struktur tersebut dibina oleh Belanda semasa pendudukan Belanda ke atas Melaka dari 1641 hingga 1824.
Lebih awal lagi pada Jun 2003, menara kawalan digelar Kubu Santiago dijumpai semasa pembinaan Dataran Pahlawan.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!