Jangan ‘Confuse’ Ya! Waktu Operasi Kedai Makan Di KL Kekal Hingga 12 Tengah Malam & Selangor Hingga 2 Pagi

Share

Ramai yang menarik nafas lega apabila kedai makan dan premis serbaneka diseluruh negara dibenarkan beroperasi hingga jam 2 pagi. Mana tidaknya, jika sebelum ini kita melancong ke mana-mana lokasi dalam negara, tiba-tiba perut terasa lapar pada tengah malam, terpaksalah berlapar hingga esok pagi. Atau pun ada barang-barang keperluan yang sangat diperlukan, terpaksa menunggu kedai beroperasi keesokkan paginya.


Namun begitu, walaupun sebelum ini kerajaan mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga pukul 2.00 pagi. Ada setengah-setengah negeri masih mengekalkan operasi premis perniagaan sehingga jam 12 tengah malam sahaja. Antaranya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih kekal sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).




Dalam satu kenyataan DBKL, langkah itu akan menyeragamkan waktu tutup perniagaan di ibu negara, dan ini akan memudahkan pemantauan dilaksanakan oleh DBKL dan lain-lain agensi. Sepanjang tempoh PKPP, DBKL bersama lain-lain agensi telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP ke atas 7,200 premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur. Hasil pemantauan yang dilaksanakan setiap hari mendapati tahap pematuhan SOP PKPP ini masih perlu ditingkatkan. DBKL memohon kerjasama pemilik, pengendali premis perniagaan dan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan oleh pihak kerajaan serta kekal mengamalkan kawalan kendiri, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan penjarakan fizikal apabila berada di tempat awam.

Kerajaan Selangor pula membenarkan semua restoran dan kedai serbaneka di negeri itu beroperasi hingga 2 pagi, seiring keputusan Majlis Keselamatan Negara. Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penularan kes COVID-19 di Selangor terkawal sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


image via google | Sumber: Bernama

Oleh
Husna