Jangan Bersantai Di “New Zealand” Malaysia, Polis Pantau Lokasi Viral Ini

Share

Pantang viral, habis diserbu. Inilah sebahagian mentaliti orang kita hari ini tanpa menyedari perbuatan itu salah di sisi undang-undang.

Lebih menakutkan mereka membuat “undang-undang rimba” sendiri tanpa menyedari perbuatan itu boleh menyusahkan banyak pihak termasuk kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain selepas berkumpul beramai-ramai di lorong kecemasan lebuhraya tersebut.

Terkini, memetik laporan Harian Metro, pihak polis akan membuat pemeriksaan berkala di Lebuhraya Temiang-Pantai, di sini, yang mendapat jolokan ‘New Zealand’ Malaysia bagi memastikan tiada aktiviti bersantai di lorong kecemasan terutama pada hujung minggu.

Pemandangan indah di lebuhraya Pantai-Temiang ini menarik minat ramai orang untuk berkumpul dan bergambar di sini.
Keadaannya yang agak berkabus seolah-olah kita berada di New Zealand

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, pemandangan menghijau di lokasi itu seolah-olah di luar negara menjadi tumpuan pengguna jalan raya untuk berhenti dan mengambil gambar.

“Meletakkan kenderaan di lorong kecemasan lebih-lebih lagi dalam jumlah yang banyak tidak dibenarkan dan ia menjadi satu kesalahan.

“Justeru polis akan melakukan rondaan pemeriksaan bagi memastikan tiada kenderaan diletakkan di lorong kecemasan dan melakukan aktiviti berbahaya lain.

“Saya difahamkan ada juga yang mengambil kesempatan untuk berniaga, ia memang tidak dibenarkan kerana menjadi kesalahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya tadi.

Di hujung minggu, lebuhraya ini menerima jumlah kehadiran orang ramai yang tinggi semata-mata untuk bergambar

Shafiei berkata, pihaknya akan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai lokasi sesuai yang dibenarkan bergambar.

“Orang ramai diminta tidak melakukan sesuatu aktiviti di lokasi terbabit yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Menjadi satu kesalahan meletakkan kenderaaan di lorong kecemasan tanpa sebab kukuh.

Harian Metro  melaporkan beberapa gambar menunjukkan sekumpulan individu daripada kelab kereta berkumpul di lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang- Pantai di sini.

Tindakan itu tular di media sosial sebelum polis memanggil sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta untuk memberi keterangan.

Difahamkan polis sudah mengenal pasti 48 kereta terbabit dalam insiden itu.

Oleh
almaswa Haji Che Ros