Video atas keretapi merentasi Sungai Kelantan melalui Jambatan Guillemard
Jambatan sepanjang 609.6m ini, adalah jambatan keretapi terpanjang di Malaysia dan merupakan yang kedua tertua selepas Jambatan Victoria di Perak. Jambatan Guillemard hasil kehebatan seni bina British yang menggunakan besi padu disalut warna hitam dan dibina kerangka tulang yang hebat.
Tapak jambatan dibina dari bata merah dan disalut konkrit dan setiap satu dianggarkan setinggi 10-15 meter. Merentasi Sungai Kelantan, jambatan hitam ini menghubungkan Kusial di Tanah Merah dan Paloh Rawa di daerah Machang.
Jambatan ini diguna oleh semua jenis kenderaan, basikal, kereta, lori kecil sehinggalah ia ditutup kepada kenderaan lain pada Februari 1988. Jambatan Tanah Merah yang dibina beberapa kilometer dari Jambatan Guillemard digunakan untuk kegunaan kenderaan lain.
Sejak itu, Jambatan Guillemard hanya digunakan oleh Keretapi Tanah Melayu namun pengguna motorsikal dan pejalan kaki boleh akses jambatan melalui jalan tepi.
Tahun 1988 juga merupakan tahun bermula kesuraman antara Kampung Kusial Bharu dan Paloh Rawa. Penduduk mula berhijrah ke tempat lain selepas aktiviti ekonomi menjadi lembab. Sebelum itu, Jambatan Guillemard membantu penduduk kampung meraih pendapatan tambahan yang berniaga pelbagai hasil kampung kepada mereka yang mahu menyeberang ke seberang. dan juga di pasar berdekatan.
Hari ini, jambatan ini hanya diguna oleh Keretapi Tanah Melayu, dan menjadi sebahagian laluan keretapi hutan dari utara Tumpat ke Gemas di selatan Negeri Sembilan. Lokasi ini kini sering menjadi rakaman foto perkahwinan dan pusat tarikan pelancong.
Rujukan: Malaya Railway
Foto: Muhammad Ismail Ibrahim