Jalan TAR Kembali Di Buka Sempena Aidilfitri?

Share

Siapa yang tak kenal dengan Jalan Tunku Abdul Rahman atau lebih popular dengan panggilan Jalan TAR, ‘highway shopping’ yang terkenal di Kuala Lumpur. Pelbagai barangan yang dijaja di sini daripada makanan, minuman, permainan kanak-kanak, barang-barang perkakasan dan yang paling mendapat perhatian ramai termasuk dari luar KL adalah kain baju.

Ada ramai peniaga-peniaga pakaian yang di sini memperdagangkan barangan yang dijual oleh mereka. Anda cakap nak kain baju apa, design apa, material apa, warna apa, bajet berapa, semua ada di sini. Malah kalau anda lihat, ada peniaga yang buka kedai, ada yang buka khemah. bermacam-macam jenis peniaga, cukup ramai kerana permintaan pelanggan cukup tinggi.

Cuba anda pergi berjalan-jalan di Jalan TAR ketika bulan Ramadan. Cukup sesak dengan lautan manusia yang berjual beli untuk mencari kelengkapan raya masing-masing. Berbondong-bondong orang memenuhi Jalan TAR kerana ada sesetengah peniaga yang ‘buang harga’ ketika menjelang Aidilfitri.

Keadaan Jalan TAR yang sesak dengan lautan manusia seperti di ‘padang masyar’ itu bukan sahaja membuatkan anda terhimpit-himpit seperti tin sardin, malah laluan kenderaan juga mengalami nasib yang sama. Kesesakan lalu lintas berlaku amat dasyat di kawasan itu terutama sekali seperti yang diperkatakan tadi, menjelang ambang Aidilfitri. Mereka semua akan ‘bertakbir raya’ di Jalan TAR. Suasana yang cukup meriah!

Tapi kemeriahan yang berlaku saban tahun itu berubah baru-baru ini apabila pihak berkuasa tempatan telah mengubah lokasi bazar Ramadan dan tapak-tapak berniaga di Jalan TAR ke lokasi yang baharu. Tapak-tapak berniaga dan bazar Ramadan telah dipindahkan ke Jalan Raja demi memberikan sedikit keselesaan kepada peniaga dan pengunjung yang datangn kerana tapaknya lebih luas berbanding tapak lama.

Bukan setakat peniaga sahaja yang dialihkan ke lokasi yang baharu, tapi pihak berkuasa tempatan juga tidak lagi membenarkan apa-apa kenderaan memasuki jalan tersebut kerana Jalan TAR akan dijadikan kawasan hijau yang bebas daripada pencemaran asap kenderaan dan mesra kepada pengguna jalan kaki.

Kita menyambut baik apa sahaja hasrat yang mendatangkan kebaikan kepada alam sekitar dan masyarakat. Ada baiknya juga sekiranya ada jalan-jalan di sekitar KL yang mesra pejalan kaki. Bukankah itu memberikan peluang yang lebih baik kepada orang awam terutamanya pelancong untuk melihat dengan lebih dekat budaya tempatan terutamanya yang ada di ibukota?

Walau bagaimanapun, kesan penutupan Jalan TAR itu memberikan sedikit kesan kepada perniagaan di kedai-kedai shop lot di sana, terutamanya di bulan Ramadan ini kerana peraturan baharu penutupan jalan itu mengurangkan kehadiran pengunjung.

Tapi jangan khuatir, Sinar Harian melaporkan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan telah memutuskan untuk membuka semula Jalan TAR bermula Sabtu ini kepada laluan kenderaan untuk memberi kemudahan kepada mereka beli-belah barangan keperluan Aidilfitri.

Perbincangan bersama persatuan peniaga dan menteri wilayah mendapat maklumbalas positif dan jangkaan jualan akan meningkat sempena Aidilfitri mendorong pihak berkuasa untuk membuka semula Jalan TAR kepada kenderaan.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup Jalan TAR  kepada kenderaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April bagi menjadikannya sebagai kawasan pejalan kaki bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Jadi kepada anda yang sudah terbiasa membeli kelengkapan Aidilfitri di Jalan TAR, usah khuatir kerana anda masih berpeluang untuk memandu kenderaan dan membeli-belah di sana. Jadi boleh la bawa mak dan mak mentua anda shopping tanpa perlu menjinjit beg plastik beratus meter ke kereta untuk pulang ya. Hehehe.

Oleh
Epul