Selepas tamat PKP kawasan pantai di sekitar negeri selatan semenanjung Malaysia kembali bernyawa dan menjadi tumpuan apabila kembali dibuka kepada kunjungan orang ramai dan peniaga untuk beroperasi.
Bagi yang bercuti ke negeri Johor atau Negeri Sembilan bolehlah singgah ke pantai-pantai ini yang turut jadi tumpuan penduduk sekitar untuk bersantai bersama teman dan keluarga.
Pantai Port Dickson
Pantai ini cukup popular dalam kalangan warga Kuala Lumpur dan Selangor kerana jaraknya yang agak dekat. Malah ia juga menjadi tumpuan penduduk dari negeri jiran terdekat Melaka dan juga ‘orang nogori’ sendiri yang suka berlibur di pantai ini. Terdapat beberapa pantai yang popular di sini seperti Pantai Teluk Kemang dan Blue Lagoon yang terletak arah selatan dari bandar Port Dickson.
Mencari lokasi penginapan ideal? Ada deretan hotel di sepanjang 18km pantai Port Dickson, dari hotel lima bintang hingga ke hotel bajet. Pelbagai restoran dan gerai juga tersedia menjual makanan dan minuman pada harga yang berpatutan.
Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini selain daripada mandi laut seperti menunggang jetski, menaiki banana boat atau pun mencuba sukan parasailing. Lautan manusia di pantai Port Dickson setiap kali hujung minggu sebelum ini membuktikan ia merupakan pantai kesukaan pelancong domestik.
Pantai Tanjung Bidara
Untuk merehatkan fikiran, lokasi percutian yang menarik dan menyajikan panorama indah pastinya menjadi pilihan. Selalunya percutian di pantai menjadi pilihan ramai kerana suasana persekitarannya yang tenang sambil mendengar alunan bunyi ombak yang damai.
Jika anda berkesempatan singgah di Melaka Bandaraya Bersejarah, jangan lepaskan peluang singgah di Pantai Tanjung Bidara yang terletak di daerah Alor Gajah.
Terletak lebih kurang 70 km dari Masjid Tanah, Pantai Tanjung Bidara turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, padang permainan kanak-kanak, surau, medan selera, tandas awam dan bilik mandi untuk keselesaan para pengunjungnya.
Bagi yang gemar memancing pula, Pantai Tanjung Bidara tetap menjadi destinasi tumpuan memancing pesisir pantai dengan habuan seperti ikan gelama, siakap, kerapu, jenahak dan pari.
Walaupun usia kewujudan kawasan Pantai Tanjung Bidara dipercayai sama dengan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan berusia lebih 500 tahun, persekitaran kawasan di sini masih tetap terpelihara. Malah, jika dulu ia terkenal sebagai kawasan yang digeruni lanun dan perompak, kini Tanjung Bidara menjadi lokasi percutian menarik di Melaka.
Pantai Desaru
Merupakan kawasan pesisiran pantai di Johor, dua kilometer dari Bandar Penawar. Pantainya putih dan bersih. Pelbagai aktiviti pantai boleh dilakukan di sini untuk seisi keluarga yang ingin lari dari kesibukan kotaraya.
Setiap minggu kelihatan ribuan warga Singapura menjadikan destinasi ini sebagai tempat riadah hujung minggu mereka. Terdapat berpuluh pilihan tempat penginapan yang menawarkan kira-kira 5000 bilik daripada pusat peranginan terkemuka hingga hotel bajet yang mesra keluarga.
Ia juga kian menjadi tempat pilihan peluncur ombak semasa musim monsoon Laut China Selatan. Aset utamanya tentulah pantai yang bersih sepanjang 25 kilometer sesuai untuk sebarang aktiviti rekreasi air dan sukan pantai.
Jom cuti-cuti Malaysia~
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI