Macam-macam ragam keadaan cuaca di negara yang tercinta ni. Ketika musim hujan, maka akan berlakulah banjir di beberapa tempat seluruh negara. Apabila tiba musim panas seperti sekarang, timbul pula keadaan jerebu di sesetengah tempat.
Tapi, dek kerana keindahan bumi Malaysia yang tercinta ni, tak kira apa musim sekalipun, akan tetap ada orang yang keluar untuk bercuti demi menikmati kecantikkan alam semulajadi di negara kita ni.
Peduli la apa nak jadi sekalipun, cuti tetap cuti. Stress sehari-hari di tempat kerja perlu dilepaskan kerana peluang cuti ini lah peluang keemasan yang ada untuk dimanfaatkan.
walau bagaimanapun, Libur suka untuk mengingatkan kepada semua yang berada di luar sana untuk sentiasa menitikberatkan soal kesihatan semasa bercuti ya. Sekarang dah tiba musim panas dan ada beberapa tempat yang sudah menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat.
Sekarang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang memantau secara rapi keadaan cuaca di beberapa kawasan tarikan pelancong kerana bacaan IPU menunjukkan kualiti yang tidak sihat.
Buat masa sekarang, bacaan IPU tidak sihat di tempat-tempat pelancongan adalah di Banting, Selangor dan Rompin, Pahang. Jadi buat anda yang berada di sana atau ingin ke sana kelak, sentiasa bersedia dengan perubahan cuaca yang akan berlaku nanti ya.
Pastikan anak-anak kecil yang mempunyai penyakit asma tidak terdedah terlalu lama di luar bangunan kerana Libur khuatir kesihatan mereka mungkin terjejas, langsung membantutkan mood anda untuk bercuti.
Bukan saja kanak-kanak, orang dewasa yang mempunyai masalah pernafasan juga Libur nasihatkan agar sentiasa jaga kesihatan anda. Sediakan ubat-ubatan yang bersesuaian supaya anda sentiasa bersedia untuk segala kemungkinan.
Lagi satu pesan Libur, apabila tiba musim panas sebegini, sentiasa peka dengan kualiti udara di tempat yang anda ingin melancong kelak. Dapatkan maklumat bacaan IPU di laman sesawang Air Pollutant Index of Malaysia (APIMS).
Sedikit info untuk anda, IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas adalah berbahaya.
Jadi, pastikan kepulangan anda dari bercuti tidak dibelenggu dengan masalah kesihatan. Selamat bercuti.