Memilih Phu Quoc di Vietnam, ini merupakan pulau terbesar dan bersempadan dengan Cambodia.
Sesuai untuk anda yang suka melakukan aktiviti pantai, tempatnya cukup cantik dan banyak boleh dirakam sebagai kenangan.
Menerusi perkongsian Eady MH, percutian selama 5 hari 4 malam di sana merupakan satu pengalaman indah dan tidak dapat dilupakan.
Hah, kalau nak ke sana, boleh ikut itinerari yang dikongsikan di bawah.
Itinerary Penuh Ke Phu Quoc Di Vietnam
Ini itinerary penuh ke Phu Quoc, dari 29 Julai hingga 2 Ogos 2023. Secara tepatnya, terletak di hujung selatan Vietnam.
Trip ini bermula dari Ho chi minh, Trip bersama keluarga di Ho Chi Minh dan berpisah di Airport Tan Son Nhat.
29 Julai, Sabtu
– Terbang pada 2:00PM HCM – 2:55PM PQC sampai di lapangan terbang (Vietjet)
– Grab ke hotel 110k vnd (kalau nak naik grab di airport untuk ke hotel make sure book dalam aplikasi Grab sahaja sebab di luar airport ramai yang mengaku driver grab, harga mgkin akan jadi mahal)
– Check in Lucky Phu Quoc Hotel (Long Beach – Duong Dong) Booking menggunakan aplikasi Agoda.
Restaurant Halal Foods Phú Quốc:
Sri Mutiara Restauran
Pantai Long Beach
Night market Phu Quoc
Kingkong mart
30 Julai, Ahad
– Sewa motor di hotel 150k vnd sehari.
– Sun World Hon Thom Cable Car Terminal.
– Tiket beli dekat Klook.
– Boleh bawa masuk makanan.
– Cable car terpanjang di dunia,merentasi lautan.
– Wajib cuba rollercoaster kayu.
– Sunset Town
– Pusing-pusing dengan motor baru puas hati, banyak tempat ootd
– Sejukkan diri dalam Starbucks
– Cau Hon – Kiss Bridge (tempat tarikan terbaru dan akan dibuka nanti)
31 Julai, Isnin
– Grand World Phú Quôc
– Free entrance and parking
– Muzium Teddy Bear
– Vinpearl Safari
– Sunset Sanato- Bäi biên Sunset Sanato
– Tiket beli dekat Klook
– Night market Phu Quoc
– Restaurant Halal Foods Phú Quốc ( Sri Mutiara Restaurant)
1 Ogos, Selasa
– Vinwonder (sehari dalam ni)
– Ticket beli dekat Klook
– Boleh bawa masuk makanan
– Grand World Phú Quôc (night view)
– Restaurant Halal Foods Phú Quốc ( Sri Mutiara Restaurant)
2 Ogos, Rabu
Check out dan grab ke airport (4:05PM PQC- KL 16:55PM)
Info tambahan:
1. Bekalan dari Malaysia nasi goreng sharifah, mi segera dan snack.
2. Souvenir, snack halal beli dekat King Kong Mart (dekat hotel)
3. Fridge magnet saya beli dekat King Kong Mart sebab banyak pilihan.
4. Tshirt Phu Quoc boleh beli di night market.
5. Sewa motor 150k sehari
6. Restaurant Halal Foods Phú Quốc (Sri Mutiara Restaurant satu2nya restaurant halal dekat Phu Quoc)
7. Servis tour guide, sewa motor, kereta dan lain-lain lagi juga disediakan.
8. Currency VND 1juta = RM198
9. Bawa motor di Phu Quoc selamat tak sesibuk di Ho Chi Minh.
10. Phu Quoc ramai pelancong korea.
11. Ticket flight, hotel dan lain-lain booking sebulan awal.
Total Hangus RM833
Tiket penerbangan dari Ho Chi Minh – Puo Quoc RM120
Tiket penerbang Puo Quoc – KL RM100
Lucky Phu Quoc Hotel 5H4M RM120 (Agoda)
Vinwonder RM167 (www.vinwonders.com)
Sun World Hon Thom RM110 (Klook)
Bãi biển Sunset Sanato RM18.00 (Klook)
Tukaran duit 1Juta VND/RM198
Nampak best dan cantik, bukan? Lepas ini boleh masukkan tempat ini dalam senarai percutian anda!
Sumber: Facebook Eady MH
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ini Haa.. 7 Buah Pulau Di Terengganu Yang Menawarkan Penginapan Berhadapan Laut
Pulau di Terengganu kembali meriah setelah tamat musim tengkujuh.
Waktu yang ideal untuk kembali masuk ke pulau-pulau sekitar Terengganu adalah dari bulan Mac hingga Oktober setiap tahun. Pulau-pulau disekitar Terengganu boleh dilabelkan antara yang paling indah dan menarik di negara ini. Apa lagi, anda boleh mula merancang awal untuk ke pulau-pulau sekitar Terengganu ini dengan segera.
Ini antara 7 buah pulau yang anda di Terengganu yang menyediakan lokasi penginapan sesuai untuk semua peringkat umur. Bayangkan buka pintu bilik terus nampak view laut yang terbentang luas. Memang best teruk la!
Pulau Redang
Pulau Redang terkenal dengan pantai yang berpasir putih dengan pemandangan air laut yang membiru. Pulau Redang merupakan antara pulau pilihan terbaik untuk pelancong yang inginkan pengalaman percutian di pulau tropika. Kawasan perairan Pulau Redang telah digazetkan sebagai Taman Laut bagi memastikan kelestarian alam semulajadi dikekalkan. Terdapat sebuah resort bertaraf 5 bintang di Pantai Teluk Dalam. Mempunyai 16 resort yang menawarkan 1,177 bilik
Masa yang diambil untuk sampai ke Redang adalah dalam sekitar 1 jam sekiranya bertolak dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang. Di Pulau Redang terdapat dua lokasi kapal karam iaitu kapal H.M.S Prince of Wales dan kapal H.M. Repulse yang tenggelam sewaktu Perang Dunia Ke-2. Kini ia menjadi antara lokasi menyelam yang terbaik di dunia.
Pulau Kapas
Pulau kecil ini merupakan sebuah pulau yang cantik, sunyi dengan pantai yang bersih, air laut jernih membiru, pepohon kelapa yang melambai dan gua dengan sarang burung layang-layang. Perairannya menjadi habitat kepada ikan, penyu, terumbu karang dan lain-lain.
Seperti pulau-pulau lain, pulau ini merupakan destinasi yang harus dilawati terutamanya kepada peminat sukan menyelam dan skuba untuk menikmati keindahan terumbu karang dasar laut, ikan, kerang-kerangan dan penyu. Pelbagai jenis penginapan tersedia, daripada calet bajet hingga mewah dengan penghawa dingin atau kipas.
Lokasinya tidak jauh dari jeti Marang, dengan jarak yang hanya 6 km dan mengambil masa selama 10 minit sahaja dengan menaiki bot laju. Terdapat 9 resort yang menawarkan 256 buah bilik. Teringin untuk menikmati sotong yang segar? Apa kata kalau pergi mencandat sotong di Pulau Kapas? Inilah salah satu aktiviti yang terkenal di pulau kecil ini. Lokasi yang sangat sesuai untuk aktiviti mencandat sotong dari bulan Mac hingga Ogos. Namun bulan Jun hingga Julai adalah waktu terbaik untuk mencadat!
Pulau Perhentian Kecil & Pulau Perhentian Besar
Terletak 21 km dari pesisir pantai Terengganu. Pulau Perhentian terbahagi kepada dua pulau yang dipanggil Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Pulau ini pernah dipilih sebagai pulau yang ke-13 tercantik di dunia melalui kajiselidik yang telah dijalankan oleh CNN dan The Lonely Planet Travel Book memilih perhentian sebagai pulau yang ke-5 terbaik di dunia. Di sini mempunyai 45 resort di Pulau Perhentian yang menawarkan 1,376 bilik.
Antara dua pulau ini, Pulau Perhentian Kecil lebih digemari oleh ‘backpacker’. Di sini, anda akan menemui pelbagai pilihan makanan dan penginapan bajet. Pulau Perhentian Kecil, ia merupakan sebuah pulau indah yang menawarkan dua kawasan pantai dengan atmosfera yang berbeza iaitu Long Beach (Pantai Panjang) dan Coral Bay. Pantai Panjang memiliki pantai yang berbentuk bulan sabit ini menjadi pilihan ramai untuk berenang, berkelah dan bersnorkeling. Manakala, di Coral Bay pengunjung boleh menikmati pemandangan matahari terbenam yang sungguh mengujakan pandangan mata.
Pulau Perhentian Besar pula secara keseluruhannya menawarkan ketenangan yang diimpikan. Pulau Perhentian Besar, lebih maju dan menawarkan kemudahan yang lebih baik. Namun begitu, terdapat juga calet, asrama dan tapak perkhemahan di kedua-dua pulau ini. Setelah seharian bersantai, esoknya, anda boleh merancang untuk aktiviti snorkeling ataupun menyelam skuba untuk menyaksikan keindahan karang dan ikan yang penuh warna-warni. Untuk aktiviti menyelam skuba, kebanyakan resort-resort di pulau ini menawarkan kursus menyelam di pusat-pusat menyelam yang lengkap dengan segala peralatan.
Pulau Lang Tengah
Pulau Lang Tengah terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Pengunjung boleh menggunakan Jeti Pelancongan di Merang yang terletak di utara dari Kuala Terengganu dan perjalanan ke pulau mengambil masa 40 minit dengan bot laju. Pulau Lang Tengah menjanjikan hujan tropika yang masih belum terusik dan masih mengekalkan ekosistem semulajadi. Hanya terdapat 4 resort sahaja yang menawarkan 225 bilik.
Selain itu, sekiranya anda datang ke sini dari bulan Mei ke September, anda mungkin dapat melihat di depan mata kedatangan penyu-penyu yang mendarat untuk bertelur di kawasan pantai.
Pulau Tenggol
Terletak di daerah Dungun, Pulau Tenggol merupakan lokasi pilihan penyelam skuba untuk melakukan selaman malam dan meninjau bangkai kapal. Pulau pilihan untuk penyelam skuba untuk menjadi dekat dan peribadi dengan jerung paus migrasi di habitat semula jadi mereka. Terdapat 3 resort yang menawarkan 50 bilik.
Keunikan tebing menegak di bawah air yang membentuk pelbagai hidupan laut yang tidak pernah berhenti diterokai oleh penyelam. Pulau ini jarang didengari namun pulau ini sebenarnya pernah dikatakan sebagai destinasi menyelam yang terbaik di Semenanjung Malaysia di dalam Asian Diver Magazine Annual Edition. Untuk pengetahuan anda yang bercadang ke sini, Pulau Tenggol terletak hanya 50 minit perjalanan bot dari jeti Kuala Dungun.
Pulau Gemia
Terletak tidak jauh dari Pulau Kapas dengan jarak hanya 800 meter adalah Pulau Gemia. Lokasinya dari tanah Semenanjung pula hanyalah 5 km. Sekiranya anda bertolak ke sini dari jeti Marang menggunakan bot laju, masa yang diambil hanyalah 15 minit. Jika bernasib baik, mungkin anda dapat melihat ketibaan sang penyu daripada spesies Agar yang datang untuk bertelur di kawasan pantai.
Sumber: Tourism Terengganu
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Do and Don’t Sewaktu Travel: Lebih-lebih Lagi Jika Anda Wanita Yang Travel Secara Solo
Memang seronok pergi bercuti sebab kita bebas untuk buat apa sahaja aktiviti seharian tanpa kekangan. Kita sendiri yang akan decide apa yang kita nak buat hari itu – nak pakai pakaian apa, nak makan di mana, nak buat apa, nak naik kenderaan apa dan bermacam-macam lagi.
Walau sebebas mana pun sewaktu travel, kena sentiasa beringat dan berwaspada. Sentiasa beringat dan berwaspada terutama apabila kita travel ke luar negara sebab di sana tak ada saudara-mara dan sahabat-handai yang boleh datang membantu sewaktu kita kesusahan.
Banyak kes yang dah berlaku seperti kena curi dengan penyeluk saku, kena rompak, kena rogol malah ada yang dibunuh. Ish, cukup kejam tapi bukan itu yang nak kita fokuskan sekarang.
Fokus sekarang adalah apa do and don’t yang perlu kita ikut sewaktu travel, supaya anda dapat menikmati percutian sehingga ke tahap maksima.
DO:
1. Pilih Tempat Yang Selamat Untuk Bertemu Orang Tempatan
Sebab apa? Sebab mereka lebih arif tentang keadaan dan selok-belok di tempat mereka. Tempat selamat macam mana? Tak akan nak set appointment di balai polis pula? Bukan begitu. Pilih tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti kedai buku, kampus universiti, restoran, atau berhampiran rumah ibadat. Orang-orang di sana lebih ramah. Selain daripada itu, jika anda kerap makan di satu kedai, anda akan dianggap menjadi pelanggan tetap dan itu membolehkan anda dikenali oleh yang lain yang dapat membantu kalau keadaan memerlukan.
2. Pakai Pakaian Yang Tidak Menjolok Mata
Fuh bab ini kalau nak dihuraikan memang panjang lebar. Maklumlah ada sesetengah yang bila dah sampai ke luar negara ni, pakaian tu macam tak cukup kain. Tapi tak nak komen lebih part tu, pokoknya, jaga aurat dan jangan pakaian yang mengghairahkan. Bahaya sebab kita tak tahu macam mana behavior sebenar masyarakat di lokasi percutian kita itu. Jangan tarik perhatian orang ramai kepada diri kita.
3. Trick Bijak: Pakai Cincin Kahwin
Trick ini juga untuk mengelakkan perhatian terhadap diri anda, terutamanya daripada si kasanova. euww..
4. Bawa Bersama Gambar Anak Kecil Di Dalam Wallet
Kalau anda anda masih bujang atau tiada anak kecil, boleh sahaja palsukan mana-mana gambar yang ada. Ambil gambar anak saudara atau anak rakan-rakan anda. Tip ini berguna di saat genting. Manusia kebiasaanya mudah bersimpati terhadap orang yang mempunyai anak kecil.
5. Masuk Ke Dalam Kedai Sekiranya Ingin Bertanya Arah
Biasakan diri anda untuk masuk ke dalam kedai atau stesen pam minyak jika ingin bertanya arah ke sesuatu lokasi. Jangan amalkan bertanya di tepi jalan sahaja atau buka peta di tempat terbuka. Anda akan jadi sasaran mudah kerana orang tahu anda tersesat dan bukan warga tempatan di situ.
6. Berjalan Dengan Penuh Yakin
Nak travel lebih-lebih lagi solo kena yakin. Jangan nampakkan diri anda itu baru di situ. Berjalan dengan bersahaja dan yakin lebih-lebih lagi di waktu malam atau di jalan yang sunyi. Jika anda memerlukan bantuan, masuk ke mana-mana hotel atau restoran yang kelihatan cantik dan kemas. Kalau jumpa hotel lima bintang lagi bagus.
7. Simpan Nombor Telefon Pihak Berkuasa Tempatan Di Dalam Smartphone Anda
Kalau anda mempunyai bajet lebih sewaktu travel solo, boleh roaming di negara yang dituju. Just in case for emergency. Atau, kalau ada bajet lebih lagi, boleh sewa telefon satelit. Tapi mahal la.
DON’T
1. Jangan Pandang Remeh Adat Dan Budaya Tempatan
Ambil tahu apa adat dan budaya tempatan terutamanya berkaitan wanita. Perhatikan apa yang wanita tempatan lakukan daripada segi berpakaian dan pergaulan. Ada tak tempat-tempat yang dielakkan oleh mereka? Perhatikan ke mana tempat yang mereka pergi dan mana tempat yang mereka elakkan.
2. Jangan Pakai Barang Kemas
Sewaktu kita travel secara solo ini adalah lebih baik jika kita elakkan daripada memakai apa-apa barang kemas. Simpan semuanya di kampung halaman. Jika tidak, simpan di dalam bagasi di tempat yang tersorok dan tidak mudah dijumpai oleh sesiapa kecuali kita sendiri.
3. Jangan Beratkan Backpack
Amalkan packing beg yang minimalis. Jangan bawa barang yang terlalu berat sehingga menyukarkan pergerakan kita untuk ke mana-mana.
4. Jangan Tinggalkan Beg Tangan Anda Di Lantai
Perkara ini biasa dilakukan di restoran. Jangan letakkan beg anda di bawah atau gantungkan di belakang kerusi. Tindakan ini mengundang bahaya kerana barang anda mudah untuk dicuri. Letakkan di atas riba anda sepanjang masa. Kalau boleh letakkan satu tali yang terikat di badan anda seperti beg selempang. Jangan letakkan cash, kad kredit atau passport di dalam beg, tapi letakkan di dalam kocek anda.
5. Jangan Berjalan Sendirian Di Tempat Gelap
Benda basic. Jangan suka jadi ninja. Pilih hotel di kawasan yang meriah dan cerah di waktu malam.
6. Elakkan Penggunaan Teksi Yang Sebarangan
Minta pihak hotel panggilkan teksi untuk anda. Sebab teksi yang dipilih oleh pihak hotel lebih dipercayai berbanding teksi yang kita panggil merata-rata. Ataupun sekarang dah ada banyak apps untuk hail teksi. Gunakan apps tersebut dan dapatkan review teksi sebelum anda memanggil mereka.
7. Jangan Tinggalkan Hotel Anda Tanpa Business Card Mereka
Bukan apa, senang nanti nak cari jalan balik kalau sesat. Minta staf hotel tu tuliskan juga nama, alamat dan nombor telefon hotel dalam bahasa tempatan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Melbourne Yang Penuh Mengujakan. Terbang Bercuti Bersama AirAsiaX & Visit Victoria
Jemputan daripada Visit Victoria untuk menyertai AirAsia X Rediscover Melbourne hujung tahun 2022, awalnya seperti tidak dapat dipenuhi atas pelbagai perkara yang memerlukan saya untuk berada di pejabat. Sementelah saya telah pernah berkunjung ke Melbourne dan tinggal hampir dua minggu di sana. Banyak tempat tarikan pelancong sudah dilawati. Tetapi seketika melihat itenarari yang diberikan, ternyata, majoriti lokasinya belum pernah saya kunjungi.
Teruja! Bukan sahaja kerana tidak sabar berada di sana, tetapi juga kerana sudah dua tahun tidak terbang akibat pendemik yang melanda dunia. Terbang dengan AirasiaX juga bukanlah kali pertama. Proses pendaftaran berjalan lancar sehinggalah berada di dalam perut pesawat. Sebagai orang media, sebentar sahaja, kami sudah dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain. Jadi dengan siapa kita duduk, bukan satu masalah. Bagai sudah kenal lama, sepanjang penerbangan ada sahaja cerita kami sambil menikmati hidangan yang telah dipesan sebelum berangkat. Nasi Lemak Pak Nasser menjadi pilihan saya. Mengubat rindu. Inilah antara menu kegemaran saya kala terbang bersama AirAsia. Kini AirAsiaX menyediakan penerbangan setiap hari ke Melbourne.
Aktiviti Penuh Mengujakan Bermula Seawal Hari Pertama.
Trip selama lapan hari tujuh ini jatuh pada penghujung musim bunga. Berada dalam suhu antara 11’c-22’c, kami sejak awal sudah diingatkan tentang keadaan cuaca yang tidak menentu. Agak sejuk dan berangin. Bagi anda yang ingin berkunjung ke Melbourne ketika musim begini amat digalakkan untuk membawa baju yang sedikit tebal.
Kami tiba di Melbourne waktu pagi. Setelah segala proses mengambil bagasi selesai, sehagian kami membeli sim kad telefon. Ya lebih murah untuk digunakan sepanjang berada di sana. Sambil menunggu kenderaan yang akan membawa kami, kami diberi secawan kopi . Aduhai, bagi pencinta kopi seperti saya, ini salah satu tarikan pertama untuk jatuh cinta dengan bumi Victoria. Menghirup kopi dalam suasana dingin pagi memang memberi satu energi baru setelah berada lapan jam dalam penerbangan.
GEELONG & THE BELLARINE / GEELONG WATERFRONT
Keluar dari Airport, sudah sedia menanti kenderaan dari Explore Australia Tours. Kami terus berangkat menuju lokasi pertama di luar kota Melbourne. Kami berangkat ke Geelong. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit ini membawa kami ke kawasan santai dengan pemandangan replika seni yang dikenali sebagai ‘Bollards’, hasil seni dari pelukis terkenal Jan Mitchell.
Langit yang biru dan laut yang terbentang luas menyambut kedatangan kami. Jika ke sini kita boleh temui lebih dari 100 replika bollards dengan pelbagai warna dan corak. Kami menyusuri Rippleside Park, Limeburners Point dan Botanic Gardens. Cuaca yang cantik dan cerah serta berangin tidak terasa meletihkan. Apa Istimewanya Geelong Arts & Culture Trails ini? Di sini kita boleh memuat naik app yang disediakan untuk melihat replika bollards tersebut bergerak. Benarkah? Ya, dan tanpa sedar ia membuatkan kami leka. Terlupa seketika keletihan.
MINI GOLF DRIVING RANGE CHALLENGE AT CURLEWIS GOLF
Melihat iternari ini dalam list yang diberi. Sejak dari Malaysia lagi saya sudah teruja. Teruja ingin menghayun kayu golf penuh bergaya. Berangan sambil ketawa. Kami kemudiannya dibawa ke Mini Golf Driving Range Challenge di Curlewis Golf. diiktiraf antara Top 50 Australian Golf Course terbaik , The Range @Curlewis ini mempunyai 18 laluan driving range dan akademi latihan golf lengkap dengan makanan.
Paling seronok kami juga diberi task untuk melakukan aktiviti di sini. Sebagai beginer kami semua sangat teruja penuh dengan ketawa dan jeritan apabila pukulan kami masuk tepat ke lubang yang dituju. Mana tidaknya kerana kami dibahagikan kepada grup dan pemenangnya akan mendapat hadiah. Jadi masing-masing cuba untuk membuat pukulan tepat dengan sekali pukulan.
Selesai beraktiviti kami dihidangkan dengan minuman segar serta sneks berupa roti dan kek. Buat kaki golf, ini antara lokasi yang patut anda tuju. Sebelum meninggalkan kawasan ini, kami juga dibawa ke lapangan golf yang turut disediakan hotel dan chalet penginapan yang sangat menarik. Jadi kepada kaki golf tempat ini pasti menjadi salah satu destinasi patut dituju.
MAKAN TENGAHARI DI JACK RABBIT VINEYARD
Kami kemudiannya dibawa makan tengahari diJack Rabbit Vineyard. Kawasan atas bukit yang mempunyai pemandangan indah menghadap laut lepas.
BELLARINE SMOKEHOUSE
Ikan Salmon tentunya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Kalau melancong ke luar negara, mencuba variasi makanan laut adalah antara perkara yang selalu menjadi pilihan. Kami dibawa ke Bellarine Smokehouse yang mengambil berada tidak jauh dari lokasi kami makan tengahari. Bellarine Smoke house menyediakan ‘smoked fish’ secara tradisional dan kualiti rasanya sangat dijaga.
Kami juga diberi smoked salmon dan barramundi untuk dicuba. Ternyata rasanya sangat sedap. Buat penggemar salmon seperti saya, walaupun sudah kenyang tetap teruja mencuba. Apa lagi mereka sudah menyediakan hidangan untuk kami cuba. Selain ikan salmon, Bellarine Smokehouse juga menyediakan ikan barramundi, NZ Ora King Salmon, King Fish, Victorian Rainbow Trout dan belut. Terbuk
R GEELONG HOTEL & MAKAN MALAM DI FISHERMAN’S PIER
Petang menjelang tiba, kami akhirnya dibawa mendaftar bilik di R Geelong Hotel. Setelah seharian ke sana dan ke sini, sememangnya tidak sabar untuk menyegarkan diri. Kala pintu dibuka, teruja seketika. Apa tidaknya bukan sekadar bilik malah lebih seperti apartment satu bilik yang dilengkapi dengan dapur dan ruang makan dan ruang tamu yang luas.
Walau diberi masa yang singkat untuk berehat, tetapi cukup untuk saya merebahkan badan sebentar atas tilam yang empuk. Kemudiannya mandi dan bersiap untuk menikmati hidangan makan malam di Fisherman’s Pier. Restoran yang terletak berhampiran port boat ini rupanya adalah restoran yang telah mendapat Anugerah Restoran Seafood Terbaik selama 40 tahun berturut-turut! Ah, memang teruja betul apa lagi setelah mandi, perut kembali lapar. Saya juga sudah berangan mahu memesan menu berasaskan ikan dan makanan laut. Pasti segar dan enak. Kerana restoran ini tidak jauh dari hotel penginapan, kami berjalan kaki berama-ramai.
Santai dalam cuaca petang yang indah. Angin laut yang bertiup agak dingin tak terasa kami sudah menghampiri restoran yang dituju. Benarlah sesuai dengan gelarannya diterima, setiap ruang tempat duduk sudah penuh. Selesai menikmati makan malam, kami pulang ke bilik. Sambil menikmati hidangan
Banyak lagi tempat menarik yang akan kami kongsikan dalam story yang seterusnya. Jangan lupa nantikan part 2 ya.
SARAPAN DAN KE QUEENSCLIFF
Hari kedua sudah mula, kami bersarapan di kafe berhadpan hotel. Cafe’Go menyajikan hidangan sarapan ‘mat saleh’ yang tidak asing bagi orang Malaysia. Laju sahaja masing-masing membuat pesanan.
Dan kerana kami akan memulakan perjalanan yang agak jauh jadi setelah bersarapan kami bergerak untuk menaiki cruise menuju Seorrento.
Queenscliff-Sorrento Feri
Perjalanan selama 35 minit untuk ke jeti Queenscliff dan perjalanan di atas cruise selama 90 minit kami gunakan untuk melihat pemandangan indah Victoria. masa selama 45 minit perjalanan feri dari Queenscliff ke Sorrento, katanya kalau bernasib baik boleh nampak ikan lumba-lumba. Namun semuanya bergantung kepada nasib kerana mereka merupakan habitat liar dan bukan dipelihara. Walau apa pun pengalaman menaiki feri sememangnya cukup menarik sambil menikmati pemandangan indah Port Philip Bay.
MENYUSURI MILLIONAIRE’S WALK
Turun dari Cruise kami dibawa ke Sorrento. Kawasan elit yang menempatkan rumah-rumah serba mewah menghadap laut yang terkenal dengan nama Millionnaire’s Walk. Menyusuri laluan ‘Millionnaire’s Walk’ melalui kawasan belakang rumah-rumah mewah yang indah sambil melepaskan pandangan ke laut lepas memang melekakan. Bunga-bunga liar yang menghiasi laluan menjadikan suasanan sangat indah.
ARTHURS SEAT EAGLE (GONDOLA RIDE)
Sorrento dan rumah mewah kami tinggalkan untuk ke Arthurs Seat Eagle, salah satu lokasi perlancongan wajib datang di Melbourne. Menaiki gondola berkonsep terbuka memang lain daripada yang lain. Dari ketinggian gondola bermula, kita akan dapat melihat pemandangan indah Mornington Peninsula dan Port Philip. Oh ya dari gondola juga kita boleh nampak sayup jauh di sana bandar Melbourne. Jika membawa keluarga dan anak-anak, pastinya pengalaman akan menjadi antara memori terindah buat mereka.
MEMANJA DIRI DI PENINSULA HOT SPRINGS
Hot Spring, Kolam air panas mungkin akan memberikan gambaran pertama yang biasa-biasa bagi orang kita. Tetapi segalanya amat berbeza di sini. Dalam cuaca yang sejuk 11’C, kami dibawa untuk memanjakan diri di Peninsula Hot Spring . Bukan kolam air panas biasa. Bagi saya ia sangat istimewa. Dengan lanskap yang indah, sangat berbaloi dikunjungi apa lagi kolam air panas ini telah memenangi anugerah ‘ Best Natural Hot Spring and Spa’ .
Menyediakan lebih 50 kemudahan dan pengalaman spa, anda boleh pilih kemudahan mandi dari kolam air panas, reflexology walk, Turkish hamam, dan kolam di atas bukit dengan pemandangan 360′ darjah Mornington Peninsula. Bukan itu sahaja, ada juga kemudahan seperti geothermal pool, ice cave, sauna, kafe, pentas untuk majlis-majlis rasmi dan wellness centre.
Apa yang boleh saya katakan kawasan ini menjanjikan pengalaman paling istimwa dan kerana itulah walau hujan turun renyai-renyai, kami tetap tidak mahu melepaskan peluang menikmati pengalaman mandi di kolam air panas dan masuk ke gua ais. Jika berpeluang, anda juga patut mencuba kerana bakal menjanjikan pengalaman yang sangat best!
Penisular Hot Spring kami tinggalkan untuk ke penginapan seterusnya. Rye Hotel yang mengetengahkan konsep suites yang mengeliling kolam menyediakan bilik yang sangat luas dan selesa apa lagi bila perlu duduk sendirian. Selesai mandi, kami bersiap lagi untuk makan malam. Kali ini kami dibawa ke Intercontinental, Soreento.
MAKAN MALAM DI DI THE ATRIUM
Masuk ke ruang dalam The Atrium at Intercontinental, Sorrento. yang serba mewah sememangnya sangat menarik. Hiasan dalam yang moden memberikan mood yang lebih segar dan mengujakan.
Kami terus ke meja yang telah disediakan. Memilih menu dan makan dengan penuh khusyuk. Maklum sahaja kalau lepas berendam, perut pastilah menjerit kelaparan. Semua makanan sedap dan saya memilih hidangan ikan salmon. Segar dan sedap sekali. Selesai makan malam kembali ke hotel untuk berehat.
Malam itu kami tidur cepat kerana awal pagi kami perlu bertolak ke Melbourne. Esoknya kami bersarapan di hotel. Segar selepas menghirup secawan kopi dan bersarapan ala-barat. Kami kemudian bergerak kembali ke Kota Melbourne.
Apa aktiviti dan lokasi kami seterusnya? Jangan lupa ikuti catatan siri ke-2 menampilkan keseronokan menjelajah kota Melbourne. Menyaksikan teater Harry Porter di Princess Theatre Melbourne. Juga menyusuri sepanjangan jalan-jalan yang dihiasi bangunan cantik sehinggalah ke lorong-lorong seni yang menampilkan lukisan hebat dan luahan rasa anak-anak seni sehingga menjadi antara lokasi street art terbaik di dunia.
#airasiax #visitmelbourne #visitvictoria
Catatan: Ida Abd Aziz
Baca: Melbourne Yang Penuh Mengujakan. Terbang Bercuti Bersama AirAsiaX & Visit Victoria
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI