Siapa tidak kenal dengan Pulau Komodo yang dihuni ribuan biawak komodo. Walaupun dihuni oleh reptilia ‘menggerunkan’ ini, namun ramai pelancong tetap mengambil peluang untuk melawat pulau yang dikatakan antara kelompok tercantik di Indonesia.
Pernah viral seketika apabila Pulau Komodo mahu ditutup kepada pengunjung disebabkan mulai tahun 2020 setelah habitat biawak tersebut sering diancam oleh pengujung seperti masalah sampah dan menyeludup biawak. Pada September lalu, Indonesia memutuskan untuk membatalkan idea rancangan menutup pulau itu kerana populasi spesies haiwan mendiami pulau itu masih dalam kawalan dan terjaga. Menurut data kerajaan Indonesia, lebih 1,700 Komodo Dragon mendiami di pulau itu.
Oleh sebab tidak jadi ditutup, kerajaan Indonesia merancang membuka sebuah muzium khas untuk Komodo Dragon atau biawak gergasi, di Pulau Komodo sebagai tarikan terbaru. Jurucakap daerah Marius Jelamu berkata selain sebagai usaha memulihara keindahan pulau itu, ia juga bertujuan menarik ramai lagi pelancong dan sebagai pusat penyelidikan.
Muzium itu bakal dilengkapi kemudahan audio visual untuk membantu pelancong memahami proses pembiakan haiwan berkenaan. Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat mengenai ekosistem dan biodiversiti di pulau itu, dan dokumen saintifik mengenai sejarah serta tapak pelancongan antarabangsa yang dinobatkan sebagai antara tujuh keajaiban dunia.
Marius berkata penubuhan muzium itu juga perlu untuk mendidik orang ramai mengenai pembiakan haiwan itu, selain akan menjadi pusat penyelidikan untuk pakar.
Pulau Komodo terletak dalam Taman Negara Komodo adalah habitat kepada biawak komodo yang digelar sebagai naga. Biawak komodo (Varanus Komodoensis) atau kerap disebut komodo adalah biawak terbesar di dunia. Panjangnya mencapai tiga meter dengan berat antara 70 hingga 150 kilogram
Pulau Komodo merupakan kawasan yang memberi peluang kepada pelawat melihat biawak komodo di habitat asalnya. Kunjungan ke pulau tersebut cukup istimewa kerana pengunjung dapat melihat haiwan yang jarang ditemui dan terancam itu.
Sumber: Bernama