iBox Glass Museum, Muzium Kaca Unik Di Pulau Mutiara

Share

Pulau Pinang menawarkan pelbagai macam keistimewaan yang pasti membuatkan sesiapa saja teruja sekiranya berkesempatan menjejaki kaki ke sini. Selain percutian tepi pantai, kunjungan ke Pulau Mutiara membolehkan pelancong mengenali budaya dan menyaksikan pelbagai bangunan warisan yang unik. Bahkan anda turut berpeluang mengunjungi pelbagai tarikan yang tidak kurang menariknya seperti muzium kaca.

Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa turut teruja jika berada di muzium ini. Itu gambaran jujur sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam iBox Glass Museum.

iBox Glass Museum diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai muzium kaca pertama di Malaysia, iBox Glass Museum memberi kelainan berbanding muzium lain yang selalunya kelihatan suram dan tidak ceria. Reka bentuk luaran muzium ini yang unik membuatkan ramai tertanya, apa yang terdapat di dalamnya.

Cukup mempersonakan tatkala kaki melangkah masuk ke iBox Glass Museum ini, dekorasi berasaskan kaca yang berwarna-warni dan datang dalam pelbagai bentuk melatari segenap ruang muzium. Setiap pengunjung yang datang ke sini bakal disambut oleh kakitangan muzium untuk diberi penerangan dari sejarah penubuhan muzium hingga ke sesi D.I.Y (do it yourself).

Pelbagai produk menarik yang dihasilkan daripada kaca dipamirkan di sini seperti jam dinding, cermin muka, hiasan dinding, panel penghadang dan banyak lagi. Pengunjung dibenarkan untuk membeli apa jua produk yang dipamirkan di muzium ini untuk di bawa pulang sebagai kenangan. Tanpa bayaran dikenakan kepada pengujung, iBox GlassMuseum dibuka setiap kecuali Ahad dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

Ilham Kreatif

Pada sesi D.I.Y (do it yourself) pengunjung tidak kira dewasa atau kanak-kanak diberi kesempatan untuk mempamirkan bakat dengan melukis dan mewarna di atas botol kaca yang dileperkan. Pewarna khas diperkenalkan agar hasil kreatif yang dihasilkan tampak cantik di atas permukaan kaca.

Lokasi: iBox Glass Museum, 80-O Jalan Mt.Erskine, 10470 Tanjong Tokong, Pulau Pinang | www.iboxglass.com

Oleh
Husna