Hukum Solat Dalam Kereta, Apa Kata Mufti?

Share

Bagi pelancong yang beragama muslim, solat adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan tidak kira masa dan tempat. Tak kira sama ada sedang berkerja atau bercuti, solat mesti diutamakan.

Tapi sewaktu dalam perjalanan untuk bercuti atau bermusafir, terutamanya ketika menaiki kereta, adakah dibolehkan untuk kita menunaikan solat didalamnya?

Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, solat yang boleh dilakukan dalam keadaan berada di atas atau dalam sesebuah kereta adalah solat sunat sahaja. Untuk solat fardhu pula, para ulama menyatakan bahawa hendaklah seseorang itu turun dari keretanya untuk melaksanakan solat.

Ini kerana, seseorang yang menaiki kereta itu tidak menjadi kesukaran buat dirinya untuk berhenti dan keluar menunaikan solat di luar kereta. Hal ini mengambil kira suasana di negara kita yang begitu kondusif dalam menyediakan kemudahan tempat solat seperti surau-surau yang terdapat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, dan sebagainya.

Berbeza dengan keadaan seseorang itu yang sedang menempuh perjalanan menaiki kapal terbang atau keretapi. Dalam isu ini, adalah dibolehkan untuk seseorang itu solat di dalamnya sama ada untuk solat sunat atau solat fardhu sekalipun.

Ini mengambil kira tempoh perjalanan yang panjang secara adatnya dengan menaiki kenderaan seperti ini, tambahan pula seseorang itu tidak ada cara untuk turun dari kenderaan seperti ini semata-mata untuk menunaikan solat melainkan hanya dapat turun sesampai sahaja kenderaan ini ke destinasi yang dituju.

Jadi, kesimpulannya hukum menunaikan solat sunat di dalam kereta adalah dibolehkan. Manakala solat fardhu pula adalah tidak dibolehkan melainkan dalam keadaan dharurat dan sekiranya keadaan setempat memudahkan kita untuk menunaikan solat di tempat yang lebih selesa berbanding solat di dalam kereta, hendaklah ia lebih diutamakan. Ini mengambil kira sifat solat yang mempunyai syarat- syarat dan rukunnya yang perlu diraikan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Oleh
Epul