Kalau nak merasa Homestay D’Garden Melaka, anda boleh datang dengan keluarga yang besar sebab di sini ada 6 bilik.
Biasanya ramai yang suka stay hotel tetapi jika sesekali datang dengan keluarga besar, elok pilih homestay macam ini. Boleh buat banyak aktiviti bersama.
Homestay D’Garden Melaka
Suasana macam kat rumah sendiri tetapi boleh tenang-tenang dengan suasana yang sedap dipandang. Dekorasi pun teratur elok, siap ada satu laman yang luas untuk anda buat aktiviti bersama.
Apa yang penting tempat ini selesa dan cantik! Ada swimming pool dan tempat BBQ, ini yang paling gembira pastinya anak-anak lah, ya.
Sangat sesuai kalau anda nak buat gathering ramai-ramai dengan keluarga. Confirm happening!
Bilik dan ruang tamu juga nampak kemas dan indah disusun dengan perabot yang simple tak berat.
Hah, nanti boleh lah booking awal-awal sebelum bertolak ke Melaka, risau tempat ini penuh. Nak-nak waktu cuti sekolah!
Lokasi:
Homestay D’garden. No 2, Jalan Bayan 7, Taman Bukit Katil, 75450 Melaka.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kenangan Paling Ohsem Kembara Kemboja 3 Travel Buddies.
Akhirnya rancangan untuk pergi mengembara bersama-sama dua lagi rakan, Umie Syazwani dan Wan Afifah menjadi kenyataan apabila kami selamat sampai di negara bersejarah, Kemboja pada 28 Mac 2018. Percutian yang sudah dirancang setahun yang lepas ini merupakan percutian 4 hari 3 malam dan sebagai backpackers, sudah tentu kami akan memilih tiket penerbangan dengan harga yang lebih murah. Seperti biasa, kami memilih penerbangan Air Asia dengan harga tiket promosi hanya RM155 untuk perjalanan pergi dan balik.
Ingin mengenali serta mempelajari adat dan budaya negara luar, Kemboja dipilih sebagai destinasi percutian kali ini kerana ianya terkenal dengan bangunan bersejarah yang berusia mencecah ribuan tahun. Lebih menarik, para pelancong dapat melihat sendiri keindahan senibina yang sangat unik hasil titik peluh masyarakat zaman dahulu.
Untuk memastikan percutian ini berjalan dengan teratur dan lancar, sudah pasti kami membuat sedikit kajian dari segi pengangkutan, penginapan, makanan serta tempat-tempat menarik dalam menghasilkan jadual perjalanan atau itinerary.
Kemudahan Penginapan Dan Pengangkutan
Kami memilih Onederz Hostel sebagai tempat penginapan sepanjang 4 hari 3 malam ini dimana ianya sangat disyorkan terutamanya kepada backpackers. Hostel yang selesa dengan harga 28.5 USD seorang untuk 3 malam. Manakala, dari segi pengangkutan pula sudah pasti kami memilih tuk-tuk dengan bayaran 15 USD seorang sepanjang berada di sana.
Silk Farm
Penerbangan mengambil masa lebih kurang dua jam. Alhamdulillah kami selamat tiba di Siem Reap International Airport dan pemandu tuk-tuk terus membawa kami ke Silk Farm. Di sini kami memperoleh pengalaman baru apabila dapat melihat sendiri kreativiti masyarakat di sana dalam menghasilkan kain sutera dengan proses-proses yang sangat terperinci.
Maka, tidak hairanlah kain sutera dijual dengan harga yang tinggi sesuai dengan cara pembuatannya yang rumit, daripada ulat yang diternak menjadi kepompong, melalui beberapa lagi proses sehingga terhasilnya sutera.
Cambodian Cultural Village
Seterusnya kami mengunjungi Cambodian Cultural Village yang merupakan sebuah taman tema serta muzium pelbagai etnik di negara Kemboja. Bercerita sedikit tentang sejarahnya, ia sebenarnya mula dibina pada tahun 2001 dan dibuka secara rasmi pada September 2003. Terdapat tujuh kawasan yang mewakili 19 kumpulan etnik di sini. Persembahan atau pertunjukkan yang diadakan termasuklah tarian apsara, perkahwinan tradisional, akrobat, permainan rakyat dan bermacam-macam lagi. Harga tiket masuk pula berharga 15 USD setiap seorang.
Angkor Wat
Pada hari yang kedua, kami pergi ke salah satu tempat menarik yang menjadi tarikan utama pelancongan di Kemboja iaitu Angkor Wat. Dengan tiket berharga 37 USD seorang, setiap pengunjung dibenarkan melawat pelbagai kuil di sekitar kawasan tersebut. Angkor Wat yang bermaksud “Kuil Kota” merupakan kuil yang paling indah dan terbesar antara kuil-kuil Angkor. Keseimbangan kuil ini bersama komposisinya serta kecantikkannya menjadi ia salah satu monument terbaik di dunia. Kami pun sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar-gambar menarik!
Bayon Temple
Kami juga tidak ketinggalan melawati kuil Bayon yang dikenali sebagai sebahagian daripada destinasi terkenal dunia Angkor dengan menampilkan pencirian satu lautan besar berwajah yang melebihi 200 buah dan memandang dalam semua arah. Melihat kedatangan pelancong lain di sini menunjukkan bahawa ramai yang ingin lebih mengenali sejarah serta asal usul bangunan lama ini. Siapa kata tempat bersejarah ini bosan? Banyak sebenarnya perkara baru yang boleh kita pelajari.
Ta Phrom
Ini juga adalah kuil yang wajib dikunjungi apabila berada di Kemboja. Lokasi ini terkenal kerana pernah menjadi tempat pembikinan filem Hollywoood, Tomb Rider. Dengan usianya menghampiri 1000 tahun, ia adalah binaan yang sangat berharmoni dengan hutan. Batang dan akar pokok hutan pula saling menyokong binaan yang hampir runtuh dan kami dapat merasakan suasana di dalam kuil Ta Phrom agak dingin. Apa yang lebih menarik di sini adalah terdapat 3 spesies pokok tumbuh membesar yang berusia beratus tahun lamanya. Terpegun kami dibuatnya.
Phrase Cambodia Circus
Ini lah salah satu pengalaman yang menyeronokkan iaitu di Phrase Cambodia Circus. Apa yang terlintas di fikiran kami setelah mendengar nama lokasi ini ialah pertunjukan haiwan, tetapi sebenarnnya ia adalah sebuah persembahan lebih kurang seperti teater yang menggunakan aksi circus. Dikenakan bayaran tiket berharga 18usd, kami merasakan ianya sangat berbaloi.
Lotus Farm
Setelah puas mengelilingi kawasan kuil bersejarah, kami singgah di Lotus Farm pada hari ketiga pula. Tiada bayaran dikenakan, Lotus Farm merupakan satu ladang bunga teratai yang agak luas, dan ianya sesuai untuk dijadikan tempat fotografi dengan pemandangan yang tenang dan cantik.
Satu pengalaman baru apabila pemandu tuk-tuk kami mengajar cara-cara untuk memakan biji teratai atau lotus seeds. Agak pelik pada mulanya, tetapi sememangnya rasanya seperti kekacang. Sebenarnya memang ramai masyarakat di sana yang menjual biji teratai ini, bermakna ia boleh dimakan terus begitu sahaja. Pelik kan tetapi benar!
Night Market (Angkor Night Market- Pub Street- Old Market)
Masa untuk membeli ole-ole! Kami singgah di kawasan sekitar Angkor Night Market dengan tujuan mencari buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Suasana di situ agak meriah dengan berkonsepkan kehidupan ala-ala Barat. Dari segi pemakanan di Night Market pula, ianya agak meragukan dan kami hanya membeli Ice Blended buah-buahan dengan harga USD1 serta ais krim gulung yang merupakan salah satu menu popular di sana.
Selain itu, Night Market juga menjadi lokasi tumpuan kerana para pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan urutan dengan harga yang sangat rendah seperti 7 USD untuk urutan seluruh badan manakala 2 USD untuk urutan tapak kaki. Murah kan?
Kemudahan Makanan
Salah satu cabaran apabila mengembara ke negara Kemboja ini adalah agak susah bagi Muslim untuk mencari makanan Halal di sana. Bagi mereka yang mempunyai rancangan ingin meneroka negara Kemboja, kami sarankan anda untuk pergi Restoran The Siem Reap Backpackers dimana ia menyediakan semua hidangan Halal.
Selesai semua aktiviti, kami pulang pada hari keempat dengan membawa banyak kenangan manis serta pengetahuan baru terutamanya tentang sejarah dan budaya masyarakat di sana. Sememangnya pengalaman ini akan kami kenang selamanya. Terima kasih rakan-rakan backpackers dan terima kasih Kemboja! Semoga kita jumpa lagi pada masa akan datang.
Foto& Catatan: Azfarina Sulaiman
Baca ini juga: http://stg.libur.com.my/khas-untuk-wanita-ini-15-tips-kalau-nak-travel-solo/
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
6 Lokasi Wajib Terjah Di Penang Untuk Bergambar ‘Cantik’
Percutian untuk rakyat Malaysia ketika ini (wabak pandemik) hanya terhad untuk percutian dalam negara sahaja. Jangan rasa bosan ok! Malaysia pun tidak kurang menariknya destinasi yang ada untuk dikunjungi dan bercuti walaupun ke negeri yang sama saban tahun.
Mungkin anda sudah biasa ke Pulau Pinang untuk bercuti. Pulau Pinang merupakan antara negeri yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk makan-makan, beriadah dan berhibur. Setiap kali ke Pulau Mutiara ini, itinerari percutian anda mungkin berulang dan hanya berkunjung lokasi yang sama. Kali ini cuba kreatif sikit. Jika anda merancang hanya bercuti di Pulau Pinang, ini lokasi wajib singgah. Paling best dapat ambil gambar cantik-cantik!
- Street Art Di Lebuh Armenian
Bagai tidak sampai ke Pulau Pinang, jika tidak berkunjung ke lorong-lorong di sepanjang Lebuh Armenian. Pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri tarikan karya seni orang tempatan iaitu lukisan mural di dinding dan diinovasikan dengan imej bantuan sebenar. Dahulu kewujudannya hanya satu, kemudian terus bertambah, seterusnya di komersilkan menjadi destinasi wajib dikunjungi pelancong. Jangan lupa untuk mengambil gambar kenang-kenangan di mural Lebuh Armenian seperti Kids On Bicycle, Kid on Chair, Old Motorcycle, Minions, Skippy Cat, Bruce Lee, Magic dan banyak lagi.
- Entopia Penang
Berkunjung ke Entopia bagai berada di alam fantasi apabila dikelilingi dan dikerumuni rama-rama pelbagai spesies yang cantik dan berwarna-warni.Pengunjung ke sini boleh merasai pengalaman bersiar-siar dengan lebih 15,000 rama-rama serta berpeluang melepaskan serangga yang sudah dewasa itu ke habitatnya. Dikelilingi 200 spesies tumbuhan, air terjun, kolam dan gua buatan, pengunjung boleh merakamkan gambar kenangan bersama rama-rama serta menikmati makanan di restoran berlatarkan keindahan sebahagian Natureland dan rama-rama berterbangan.
Jika mahu merasai pengalaman ala ‘avatar’, Cocoon tempatnya apabila terdapat sebahagian ruang pameran gelap dikenali sebagai Pandora Forest, hanya disinari kerlipan lampu malap seperti berada di hutan pada waktu malam.
- Red House
Blue Boat House atau rumah biru yang terletak di Perth, Australia menjadi satu lokasi mesti dikunjungi pelancong jika ke bumi kanggaru itu. Di Pulau Pinang juga tidak kurang menariknya kerana ada destinasi tarikan sebegitu rupa iaitu dikenali sebagai Red House.
Daya penarik berupa rumah kecil berwarna merah ini terletak di Jeti Tan, Pengkalan Weld, Georgetown. Setiap hari lokasi ini menjadi tumpuan ramai pelancong dan juga penduduk tempatan untuk mengambil foto berlatarkan Red House ini sebagai gambar kenang-kenangan. Waktu lawatan ke Red House ini hanya dibuka pada jam 8 pagi hingga 10 malam sahaja setiap hari. Ia sebagai langkah menjamin tahap keselamatan penduduk dan pengunjung terutama yang berkunjung pada waktu malam hari dari berlaku kemalangan yang tidak diingini.
- Kampung Agong
Kampung Agong lokasi ekopelancongan, membangkit nostalgia kehidupan kampung Melayu tradisi lalu. Kampung Agong lokasi yang sangat disarankan untuk anda yang gemar bergambar berlatar belakangkan panorama desa selain merasai sendiri suasana kampung tradisi. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Paling utama, pastikan anda mengambil kesempatan untuk merakam gambar menarik di setiap sudut di sini.
Bayaran masuk dikenakan untuk masa dari jam 9 pagi hingga 7 petang. Nama Kampung Agong diberi bersempena dengan nama jolokan yang diberikan orang kampung kepada Ang Peng Tiam, 84, iaitu ‘Agong’ kerana beliau mempunyai sebidang tanah yang luas, kebun kelapa dan sawah padi.
- Muzium Peranakan Pulau Pinang
Terletak di sebuah rumah agam di Lebuh Gereja, Georgetown, Muzium Peranakan Pulau Pinang mempamerkan warisan budaya kaum Peranakan. Rumah agam tersebut pernah dimiliki oleh seorang usahawan berbangsa Cina yang bernama Kapitan Chung Keng Kwee pada abad ke-19.
Rumah agam ini telah lama dilupakan namun berjaya dibangunkan semula apabila seorang arkitek tempatan yang bernama Peter Soon membeli rumah agam tersebut dan melakukan kerja-kerja membaik pulih lalu menempatkan lebih 1,000 koleksi pameran artifak kaum Peranakan di Pulau Pinang. Menariknya tentang lokasi ini, ia pernah menjadi lokasi penggambaran filem hit, Crazy Rich Asians dan rancangan realiti Amazing Race.
- Dark Mansion Museum
Merupakan muzium 3D Glow in the dark yang menggunakan warna kesan cahaya khas agar pengunjung boleh menikmati lukisan yang sama dengan dua mood yang berbeza. Terdapat lima konsep berlainan iaitu My Toy Story-A Fun-Ride On Childhood, Mysterious Tropical Pandora, Masterpiece of Edger Mueller-“Water and Fire” World-Class Painting, The Infinity Room dan Stars and Moonlight. Rakam sebanyak mana foto kenangan anda berlatar belakangkan efek cahaya dan warna yang pelbagai di Dark Mansion Museum ini.
image via google
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Sampai Perlis La Kalau Tak Singgah Gua Kelam
Perlis yang merupakan negeri terkecil di utara Semenanjung, menyimpan pelbagai khazanah hutan yang amat berharga. Taman Negeri Perlis merupakan hutan sekunder yang terdiri daripada Hutan Simpanan Kekal Mata Ayer dan Hutan Simpan Kekal Wang Mu.
Lokasinya yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand juga antara sebab utama taman negeri ini merupakan destinasi yang perlu dilawati kerana terletak berhampiran lokasi destinasi membeli-belah Padang Besar dan Wang Kelian.
Ia juga merupakan hutan simpan tertua di negara ini dengan sebahagian besar Banjaran Nakawan terdiri daripada formasi batu kapur berusia kira-kira 500 juta tahun. Puncak tertinggi yang terdapat di Taman Negeri Perlis ini merupakan Gunung Perlis yang mempunyai ketinggian 733 meter. Jika berada di Gunung Perlis, anda sebenarnya berada di titik paling hujung di utara Semenanjung Malaysia.
Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini termasuk meneroka Gua Kelam. Taman Negeri Perlis juga terkenal dengan pembentukan gua batu kapur yang mempunyai laluan air bawah tanah iaitu Gua Kelam.
Sejarah Gua Kelam
Ada yang kata Gua Kelam merupakan laluan orang bunian pada masa dahulu. Tetapi kebenarannya Gua Kelam pada satu ketika dahulu menjadi salah satu tapak aktiviti perlombongan. Sejarah perlombongan di sini dianggarkan berusia kira-kira 100 tahun dahulu dan kawasan itu merupakan satu-satunya aktiviti perlombongan dalam gua yang dijalankan di negara ini. Hampir semua kesan peninggalan aktiviti perlombongan dapat dilihat dalam keadaan baik kerana barangan yang terdapat di situ tidak mengalami proses pereputan.
Namun hari ini, rata-rata pengunjung yang datang ke Gua Kelam adalah untuk menghayati keindahan alam serta berkelah bersama keluarga, selain melakukan aktiviti mandi sungai yang begitu menyeronokan.
Pengunjung boleh memilih lokasi untuk mandi-mandi di bahagian luar atau disebalah dalam di sebalik Gua Kelam. Jika hari hujan, pengunjung disarankan tidak sesekali untuk mandi di kawasan ini kerana arus air yang mengalir sangat deras dan boleh mengacam keselamatan.
Gua Kelam di namakan sempena dengan keadaan suasananya yang kelam menyelubungi gua ini dan kedudukannya di kaki bukit, selain suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini. Kelam mengikut loghat utara bermaksud gelap.
Menurut sejarah, nama Gua Kelam adalah gelaran yang diberikan oleh pelombong bijih timah sempena kegelapan gua itu sendiri. Mereka terpaksa menggunakan lampu karbid untuk menerangi kawasan dalam gua. Gua Kelam menyediakan laluan interpretasi gua sepanjang 1.5 km meliputi jalan di atas simen, tanah dan laluan anak sungai.
Maka untuk memudahkan pengunjung merentasi ke dalam gua ini, kemudahan sebuah jambatan gantung dengan cahaya lampu malap berwarna-warni yang menarik telah disediakan.
Ada aliran air bawah tanah sepanjang lebih kurang 400 meter mengalir melalui banjaran batu kapur dapat dilihat semasa melalui gua ini. Ia merupakan fenomena semulajadi yang terbentuk dengan sendirinya. Cukup mengkagumkan! Kalau bernasib baik anda berpeluang melihat pelbagai spesies haiwan seperti ular, kelawar atau labah-labah.
Secret Garden
Melepasi jambatan gantung di mulut Gua Kelam, mata pengunjung bakal dihidangkan dengan panorama hijau yang cantik dan menarik. Kawasan tersebut diberi nama Secret Garden dilatari dengan persekitaran landskap yang begitu terancang. Terdapat pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti ‘hub’ untuk bersantai, tapak perkhemahan, laluan penjalan kaki, dan kerusi rehat. Luangkan masa mengambil gambar kenang-kenangan bersama yang tersayang disekitar taman ini sebelum keluar dari gua.
Sumber Foto: Perlis Attractionsinmalaysia
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI