Foto & Catatan : Nelly Omar
Kesempatan ke Switzerland atas urusan pengambaran 13 buah episod program pelancongan yang bertajuk ‘Helo Switzerland’ secara langsung membawa saya ke banyak tempat yang indah yang sebelumnya kurang terkenal di kalangan orang-orang kita. Perjalanan dari satu daerah ke daerah amat mengasyikkan. Semua tempat yang dilawati itu indah, masyaAllah. Nak melelapkan mata barang seminit dua di dalam keretapi yang membawa kami ke sana sini pun terasa rugi.
Geneva, Zurich, Lucerne, Interlaken dan Bern adalah antara bandar-bandar besar yang selalunya menjadi tumpuan pelancong. Tetapi apa yang saya mahu paparkan kali ini ialah sebuah daerah yang bernama Gstaad. Nama yang jarang-jarang didengar bukan. Jom ikuti kembara saya.
GOLDEN PASS
Sebelum itu mari saya ceritakan tentang kereta api popular ini. Ia bukan sebarang kereta api. Ini adalah Golden Pass Train. Memang betul, tidak sah ke Switzerland kalau tidak merasai pengalaman menaiki Golden Pass Train.
Menaiki gerabak klasik kereta api Golden Pass membuat kita rasa seperti golongan bangsawan zaman dahulu. Rekaan dalamannya masih mengekalkan ciri-ciri hiasan kereta api semasa zaman Victoria. Gerabak klasik ini adalah satu daripada jenis kereta api berpanorama yang disediakan oleh sistem kereta api Golden Pass.
Kami menaiki kereta api klasik ini dari Montreux untuk ke destinasi seterusnya iaitu di Gstaad atau sebutannya Stad sahaja. Dalam perjalanan tadi, kami melihat keindahan ladang anggur dan ketenangan Tasik Geneva.
Perjalanan yang mengambil masa sejam dua puluh satu minit itu akhirnya tiba d Saanen. Amboi,seminit pun nak berkira. Sudah semestinya kerana Switzerland amat menitik beratkan soal ketepatan waktu. Setibanya di sana sudah sedia menunggu dua buah van untuk membawa kami ke hotel HUUS Gstaad.
Semasa menerima itinerari perjalanan sebelum berlepas ke Switzerland, saya sudah membuat tinjauan mengenai hotel ini. Hotel yang terletak di lereng bukit ini boleh tahan Alhamdulillah cantiknya. Memang teruja benar rasanya.
Lembah Gstaad terdiri daripada lima buah perkampungan iaitu Saanen, Gstaad, Schonried, Gsteig yang disebut Steig dan Lauenen. Keseluruhan penduduk di sini juga tidak ramai, sekitar 7,500 orang sahaja, sama banyak dengan jumlah ternakan lembu yang ada di lembah ini. Boleh bayangkan tak? Kedengaran macam kelakar tetapi itulah kenyataannya.
Meskipun ia agak kecil namun lembah Gstaad mempunyai reputasi yang besar dalam industri pelancongan Swtizerland. Ia dikenali sebagai pusat peranginan yang menjadi tumpuan golongan ternama dari seluruh dunia. Saya dapat tahu Madonna juga memiliki kediaman peribadi di Gstaad ini. Tak sempat pula nak ziarah dia. Lain kali ye kak Donna.
Pada musim sejuk, Gstaad menjadi tumpuan mereka yang gemar bermain luncur salji. Semasa musim panas pula, kawasan ini dikunjungi oleh para pendaki gunung serta mereka yang suka berbasikal. Seronok dan rileks betul kehidupan mereka kan.
MOUNT WISPILE & ALPHORN
Selepas mendaftar masuk hotel, kami dibawa ke Mount Wispile. Di kaki gunung itu rupa-rupanya sedang berlangsung sebuah pertandingan ratu cantik. Haaa…jangan tak tahu. Bukan orang sahaja yang ada pertandingan ratu cantik, rupa-rupanya kambing pun ada pertandingan Kambing Tercantik. Pertandingan ini diadakan setahun sekali di Gstaad.
Penduduk Gstaad masih mengamalkan kehidupan tradisional dengan mengendalikan ladang serta ternakan sendiri walaupun tempat ini sudah menjadi lokasi pelancongan bertaraf dunia.
Sebagai menghargai hasil ternakan mereka, beberapa acara rakyat diadakan seperti pertandingan Kambing Tercantik. Para penternak akan membawa kambing mereka ke sini untuk dihakimi oleh para juri berpengalaman dalam bidang penternakan.
Dari kaki gunung ini, kami perlu menaiki kereta kabel untuk sampai ke puncak Mount Wispile. Dan dari atas gunung ini, kami dapat melihat bandar Gstaad yang berada di dalam Kanton Bern. Dan di sini juga kami bertemu dengan pemain Alphorn.
Alphorn merupakan alat muzik tradisional Switzerland yang diperbuat daripada kayu lembut seperti spruce atau pine. Pada zaman dahulu, pembuat alphorn akan mencari kayu yang bengkok di perdunya bagi memudahkan mereka membentuk alphorn.
Namun, pada zaman moden ini, para pembuat alphorn cuma mencantumkan dua kayu yang telah dibentuk. Untuk melengkapkan bentuk alphorn, sebungkah kayu keras diukir mengikut bentuk mulut cawan, sebagai muncungnya. Bentuk dan saiz alphorn berbeza di antara satu dengan lain,
Saya ada juga cuba meniup alphorn ini dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada pasangan adik-beradik, Kurt dan Martin yang mempunyai pengalaman 40 tahun bermain alphorn. Lucunya tiupan saya tidak keluarkan bunyi apa pun hatta bunyi angin. Bukan sebarang orang pandai meniup alphorn ini rupa-rupanya.
BOLLYWOOD TRAIL
Saya peminat filem Bollywood terutamanya lakonan Shah Rukh Khan. Kalau ke Gstaad jangan lupa menyelusuri Bollywood Trail. Pemandangan alam semulajadi Gstaad serta suasana persekitarannya yang tenang, menarik minat para penggiat filem dunia untuk membuat penggambaran di sini.
Terdapat 150 buah filem menjalani penggambaran di Gstaad dan Saanen. Antaranya, filem blockbuster Bollywood tahun 1995 iaitu Dilwale Dulhania Le Jayange, lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol.
Latar belakang menarik Gstaad yang dipaparkan dalam filem itu secara tidak langsung menarik minat ramai penggemar filem Bollywood untuk datang ke Gstaad. Justeru, pihak berwajib di sini menamakan kawasan-kawasan yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Bollywood sebagai Bollywood Trail. Antaranya ialah di tengah bandar Gstaad, stesen kereta api Saanen dan jambatan Saanen.
GLACIER 3000
Kalau tadi Mount Wispile, sekarang kita beralih ke Glacier 3000 dengan ketinggian 2,965 dari aras laut. Di sinilah satu-satunya kawasan di Bernese Oberland yang dijadikan kawasan untuk meluncur salji sepanjang tahun. Dengan 24 puncak gunung yang terdapat di sini, menjadikan tempat ini sentiasa dilitupi oleh salji.
Dengan menaiki kereta kabel selama 15 minit, kami dibawa ke ke puncak Glacier 3000. Pada ketinggian ini, saya melihat hamparan salji yang meliputi permukaan kawasan pergunungan Alpine ini. Ia memberi peluang kepada para pengunjung untuk menikmati suasana bersalji meskipun datang di luar musim sejuk.
Di sini, saya melihat keindahan pemandangan puncak 24 buah gunung termasuk Mont Blanc, Jungfrau, Eiger dan Matterhorn.
Glacier 3000 juga terdapat Alpine Coaster iaitu toboggan run tertinggi di dunia yang menuruni kawasan tinggi dengan kelajuan 40 kilometer sejam sambil berpusing dalam pusingan 520 darjah, 10 curam yang berlekok dan 6 kawasan bergelombang. Saya tak naik pun. Serammm…
Kembara ini memang mengujakan. Di sini juga terdapat Peak Walk, iaitu jambatan gantung yang diperbuat daripada kabel besi waja, yang pertama di dunia. Dari sini, pemandangan seluruh banjaran Alps boleh dilihat, walaupun anda gayat pada ketinggian.
Peak Walk by Tissot merupakan jambatan gantung untuk pejalan kaki yang pertama di dunia yang menghubungkan dua buah puncak gunung. Jambatan sepanjang 107 meter dan lebar 80 sentimeter ini merupakan tempat terbaik untuk menikmati pemandangan puncak Matterhorn, Mont Blanc, Eiger, Mönch and Jungfrau.
Ia di buka sepanjang tahun, bergantung kepada keadaan cuaca dan ia percuma untuk sesiapa yang melawat Glacier 3000.
GASSLIHOF FARM
Kalau nak merasa bagaimana kehidupan di lading, datanglah ke Gasslihof Farm. Ladang ini dimiliki oleh Mr. Walter dan isterinya, Daniela Sumi.
Penternakan lembu, pengeluaran daging dan produk tenusu merupakan tiga hasil pengeluaran terpenting di Gstaad. Malahan, para penternak lembu di sini begitu bangga sekiranya orang luar atau pengunjung tahu mereka ini mengembala lembu. Malahan, perkerjaan mereka telah menjadi salah satu tarikan utama sebagai aktiviti pelancongan. Di Gstaad sahaja terdapat 7,000 ekor lembu, 200 ladang ternakan, yang mana 80 buah ladang masih menggunakan proses pempasturan Alp.
Antaranya ialah Ladang Gasslihof yang turut menyediakan kemudahan tempat penginapan ala Bed and Breakfast. Pengunjung yang bermalam di sini, boleh terus menikmati gaya hidup peladang pada awal pagi esoknya dengan sama-sama memberi makan kepada lembu dan cuba memerah susu lembu.
Dan siapa tahu, jika bernasib baik, anda mungkin berpeluang untuk bersama-sama dengan peladang ini ketika membantu proses lembu melahirkan anak.
Jadi kepada sesiapa yang ingin merasai suasana yang aman dan menenangkan sila berkunjung ke Gstaad. Kehidupan ala kampung yang jauh dari hiruk pikuk bandar ini akan membuatkan anda rasa rileks dan bagi saya, kalau diizinkan Allah swt melawat Switzerland lagi, sudah tentu saya ingin berkunjung ke sini lagi kerana Switzerland di mataku, Gstaad di hatiku.