Tidak perlu air mata, keringat atau tumpahan darah seperti generasi sebelum merdeka, generasi masa kini boleh menyemai semangat kemerdekaan dengan hanya menyelusuri dan meneroka tempat tinggalan sejarah dan tempat-tempat yang sarat dengan cerita sejarah yang boleh dijadakan teladan untuk semua.
Apa kata, sempena dengan cuti hujung minggu ini, anda luangkan masa melawati 5 tempat bersejarah di sekitar Negeri Selangor.
Bangunan ini merupakan hak-milik kepada seorang pengasas industri perlombongan berbangsa Cina bernama Tan Boon Chia dan terletak di Rasa, Kuala Kubu Bharu di daerah Hulu Selangor.
Tempat bersejarah ini mempunyai kira-kira 51 buah bilik dan telah siap dibina pada tahun 1918. Ketika Perang Dunia Kedua, bangunan ini telah dirampas oleh tentera Jepun dan menjadi tempat penderaan terhadap kaum Cina, yang mana merupakan satu tempoh getir yang sangat pahit untuk dikenang.
Tentunya tempat ini merintis semangat kemerdekaan yang jitu kerana setelah Jepun menyerah kalah, aktiviti penderaan yang kejam telah dapat dihentikan dan pemilikan bangunan tersebut telah dikembalikan kepada Tan Boon Chia. Namun setelah episod hitam tersebut, mereka tidak berpindah masuk semula ke dalam bangunan itu, dan ia tersergam megah sebagai bangunan simbolik jerih-perih semasa zaman pra-kemerdekaan dahulu.
Kota ini gah dibina di puncak Bukit Kota oleh Raja Mahadi pada tahun 1866. Bangunan yang berusia lebih 100 tahun ini telah menjadi saksi kepada perang saudara pada pertengahan kurun ke-19 antara Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman dan Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar bagi merebut hak pemilikan Sungai Klang dan tebing-tebingnya.
Bagi memudahkan pemantauan pergerakan musuh di Sungai Klang sebagai laluan utama, tempat bersejarah ini telah ditempatkan pada ketinggian yang strategik. Kini, Kota ini telah diselenggara dengan baik di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Klang dan beberapa kemudahan telah disediakan untuk kegunaan para pengunjung seperti kawasan parkir kereta yang luas dan tandas awam juga turut disediakan.
Kota Malawati tersergam megah di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor. Anda akan dapat menikmati pemandangan yang mengasyikkan meliputi hampir keseluruhan Kuala Selangor terutamanya pada waktu matahari terbenam.
Semasa Belanda menakhluki daerah Kuala Selangor, Kota ini telah ditukar nama kepada ‘Fort Altingburg’ kerana kedudukannya yang strategik. Pada hujung minggu dan cuti am, terdapat kemudahan trem disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung dari satu tempat ke tempat menarik lain yang terdapat di sekitar Kota warisan ini.
Bukit Belanda yang terletak di utara Bukit Selangor ini merupakan kubu pertahanan Belanda yang pertama. Tempat bersejarah ini digelar Bukit Belanda kerana pada suatu ketika dahulu, kerajaan Belanda yang diketuai oleh Van Brac telah menjadikan bukit ini sebagai kubu pertahanan dalam usaha untuk menewaskan Raja Hadi di Teluk Ketapang.
Pada asalnya, bukit ini diberi nama Utrecht bersempena dengan nama bahtera yang dikemudi oleh Van Brac namun ia kemudiannya ditukar kepada nama Bukit Belanda kerana rekaan kotanya yang merupakan ilham dari Sultan Ibrahim menerapkan unsur-unsur kebaratan (Belanda).
Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor terletak 40 km dari Bandar Diraja, Klang. Terdapat banyak jenis maklumat menarik boleh diperoleh yang berkaitan dengan kronologi sejarah di Kuala Selangor.
Muzium ini pada asalnya merupakan kediaman rasmi bagi Pegawai Daerah Kuala Selangor, namun telah diubah menjadi galeri bagi peminat sejarah yang ingin mengkaji tentang daerah Kuala Selangor. Menyedari pentingnya sejarah Kuala Selangor untuk dikongsi bersama, Lembaga Muzium Selangor mengambil inisiatif bersama Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor di Bukit Malawati.