Perjalanan untuk sampai ke puncak Gunung Semanggol yang terletak di daerah Kerian, Perak amat mencabar mental dan fizikal kami yang pergi dalam satu kumpulan seramai lapan orang. Bermula dengan laluan ladang kelapa sawit dan suasana sekeliling yang gelap membuatkan perjalanan cukup mencabar.
Seawal jam 5 pagi kami sudah bertolak bagi memastikan perancangan untuk sampai ke puncak sebelum matahari naik.
Dek kerana melalui ladang kelapa sawit, cahaya bulan yang mengambang tidak dapat menyinari laluan kami kerana dihalangi dengan pelepah pokok sawit. Mengambil masa hampir 30 minit akhirnya kami sampai ke penghujung ladang sawit.
Dari situ kami meneruskan pendakian di kawasan batu kapur pula. Pemilihan kasut sukan amat penting kerana untuk memelihara kaki daripada kulit melecet atau pun tergeliat.
Laluan kawasan batu kapur juga bagi kami begitu sukar kerana jalannya yang tidak rata dan terpaksa mendaki sedikit.
Setelah merintangi laluan kawasan batu kapur, kami menyeberangi sungai kecil untuk misi sampai ke puncak Gunung Semanggol. Tidak dapat dinafikan bunyi cengkerik di sekeliling amat menenangkan di tambah pula dengan suhu yang dingin, memberi semangat kepada kami untuk menawan gunung.
Hayati keindahan alam
Sewaktu perjalanan ada salah seorang daripada ahli kumpulan mengalami keletihan kerana laluan yang penuh ranjau. Mujurlah keperluan seperti air dan gula-gula telah di bawa kerana kami tahu keperluan ini amat penting ketika misi mendaki gunung atau bukit.
Walaupun kami semua telah bersedia dari awal, keadaan yang tidak dijangka ini tidak dapat dielakkan untuk aktiviti lasak seperti ini.
Bagaimanapun ketika di pertengahan perjalanan, ada satu lagi laluan yang amat mencabar berbanding laluan yang dilalui sebelum itu. Keadaan permukaan tanah yang licin membuatkan kami perlu sama-sama bertolak ansur.
Nasib kami agak baik kerana ada disediakan tali. Hal ini kerana tanah yang begitu licin mencabar permukaan tapak kasut untuk mengimbangi badan kami.
Sewaktu dalam perjalanan itu juga, kami dapat melihat binatang seperti kelip-kelip yang menyinari di suatu sudut kawasan. Sungguh perasaan ini merasa nikmat kebesaran Tuhan Yang Maha Kuasa.
Pada jam 6.30 pagi kami solat dipertengahan jalan dan seterusnya kami meneruskan perjalanan dan sampai ke puncak gunung setinggi 390 meter kira-kira jam 7 pagi.
Di atas puncak gunung, kami dapat melihat keindahan alam ciptaan ALLAH yang begitu menakjubkan. Dapat melihat matahari terbit antara yang paling dinantikan. Bukan sahaja suasana sekeliling sahaja yang mendamaikan tetapi kehijauan alam begitu mengasyikkan.
Bahkan kami dapat melihat kawasan sawah padi dan kampung yang berdekatan dari atas dan ia betul-betul membuatkan kami begitu teruja.
Walaupun ini hanyalah aktiviti yang singkat buat kami, terpancar kepuasan di wajah masing-masing setelah penat mengharungi perjalanan selama dua jam untuk sampai ke puncak.
Pastinya aktiviti lasak ini akan diteruskan lagi di lokasi yang berlainan kerana bukan sahaja dapat mengisi masa lapang tetapi meningkatkan stamina.
————————————————————————
Perkongsian pengalaman oleh pembaca Sinar Harian, Mohamad Zulfazdli Mohamad Hisam