Disebabkan pandemik COVID-19, beberapa cadangan telah dikemukakan supaya kemasukan pengunjung ke pantai peranginan Teluk Cempedak, Kuantan dihadkan terutamanya pada hujung minggu bagi memastikan aspek penjarakan fizikal dapat dipatuhi.
Cadangan itu difikirkan perlu dilakukan, ekoran keadaan minggu lalu mendapati jumlah pengunjung di situ mencecah sehingga 2,000 orang dan terlalu ramai ketika musim cuti perayaan sehingga berlaku kesesakan di laluan masuk ke pantai itu. Terkini, jumlah pengunjung di pantai peranginan Teluk Cempedak itu dihadkan kepada 1,000 orang pada satu-satu masa ketika hujung minggu, bagi memastikan pematuhan terhadap penjarakan fizikal, berkuat kuasa serta merta.
Bagi memastikan pelaksanaan SOP berjalan lancar, MPK, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan ditempatkan di laluan masuk dan sekitar Teluk Cempedak.
Diharap pengunjung dapat memberikan kerjasama kepada SOP ini dan dapat bersabar jika mereka perlu beratur lama bagi mengambil giliran masuk. Tindakan ini perlu diambil bagi memastikan kita dapat menjaga penjarakan fizikal bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Sumber: Bernama