Untuk mendaki Gunung Everest bukan perkara yang mudah. Setiap pendaki perlu menjalani latihan fizikal membina kekuatan otot kaki dan bebanan spesifik selama beberapa tahun bagi memenuhi keyakinannya untuk menawan puncak tertinggi dunia itu.
Setelah membuat persediaan ke Gunung Everest, perjalanan cabaran menuju puncak itu juga bukan mudah kerana pelbagai rintangan perlu diharungi seperti runtuhan salji atau gempa bumi.
Boleh dikatakan setiap pendaki akan mengalami gigitan fros. Tidak kurang juga yang terbunuh sebelum atau selepas menawan puncak disebabkan serangan penyakit altitud. Kebiasaannya pendaki menerima serangan penyakit itu di Banjaran Himalaya, Nepal.
.
.
Terdapat kira-kira lebih 200 mayat dilaporkan dalam keadaan baik yang masih berada di gunung itu yang tidak diturunkan. Menjadi kebiasaan, mayat pendaki yang tidak mempunyai sebarang insurans tidak boleh dibawa pulang namun permohonan untuk mengambil barangan peribadi oleh ahli keluarga pendaki boleh dilakukan melalui syarikat pengendali pendakian.
Kebanyakan pendaki yang menemui ajal di gunung ini bukanlah mereka yang amatur, sebaliknya mereka yang telah mempunyai pengalaman luas dalam dunia pendakian. Antaranya adalah Hannelore Schmatz yang merupakan wanita pertama terkorban ketika Ekspedisi Gunung Everest bersama suaminya, Gerhard pada tahun 1970.
.
Hannelore Schmatz merupakan seorang pendaki berpengalaman. Kumpulan ekspedisi itu turut disertai oleh 8 orang pendaki dan 5 orang sherpa (penduduk tempatan yang bertugas menjadi pemandu arah bagi para pendaki). Walau bagaimanapun, Hannelore dan suaminya terpaksa berpisah seketika kerana dipecahkan kepada dua kumpulan untuk mengikut laluan yang berbeza.
.
Sebelum kejadian yang meragut nyawa Hannelore, dia dikatakan sudah berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu. Malangnya, wanita itu dan seorang lagi pendaki terkorban ketika dalam perjalanan turun ke kem tempat berkumpul kumpulan pendaki tersebut.Mereka hanya kira-kira 92 meter sahaja lagi hendak sampai ke kem.
Menurut petikan dari portal iluminasi akibat terlampau penat, Hannelore dan rakan pendakinya, Ray Genet telah mengambil keputusan untuk berehat sebentar dan tidak mampu meneruskan perjalanan.
Sherpa yang mengiringi mereka telah memberi amaran kepada kedua-duanya agar meneruskan perjalanan ke kem berkumpul kerana pada ketinggian 8300 meter tersebut, ianya adalah sangat berbahaya. Kawasan tersebut juga dikenali sebagai Death Zon (Zon Maut) kerana suhu yang terlalu rendah.
Malangnya, amaran daripada Sherpa tersebut tidak diendahkan, mungkin merasakan mereka sudah cukup ‘pro’ dalam aktiviti pendakian. Pada malam tersebut, ribut salji yang dahsyat telah melanda. Kejadian itu menyebabkan cuaca menjadi sangat sejuk dan Hannelore dan rakannya telah terkorban kerana mengalami hypothermia.
.
Hannelore Schmatz menjadi wanita pertama dan rakyat Jerman pertama yang menjadi mangsa korban Gunung Everest. Mayatnya telah dipersetujui untuk tidak dialihkan atau di bawa turun kerana faktor keselamatan. Bagi pendaki yang pernah sampai ke puncak everest pasti akan melewati mayat Hanelore dengan pakaian yang dipakai masih elok dengan posisi tersadar di beg galas. Mayatnya dijadikan penanda aras kepada pendaki lain sebagai kawasan zon maut. Namun hari ini, jasad mayat Hannelore tidak lagi ditemui atau menjadi penanda aras kepada para pendaki sejak beberapa tahun kerana dikatakan telah ditiup ribut taufan.
.