Gunung Kerinci merupakan puncak tertinggi di Sumatera dengan ketinggian 3,805 meter diatas permukaan laut (Mdpl) dan merupakan puncak volkano tertinggi di Indonesia. Gunung Kerinci ataupun digelar ‘Puncak Indrapura’ merupakan puncak tertinggi setelah Gunung Cartenz Jaya Wijaya yang terletak di Papua. Para pendaki khususnya pencinta gunung sudah pasti akan memasukkan Gunung Kerinci ke dalam salah satu list gunung impian yang akan didaki.
Gunung Kerinci yang dikenali juga sebagai ‘Atap Sumatera’ merupakan gunung yang fenomena di Indonesia dan termasuk dalam salah satu ‘seven summit Indonesia’. Gunung ini dikelilingi kawasan hutan tebal Taman Nasional Kerinci Seblat (TNKS) dan merupakan habitat semulajadi harimau serta badak sumatera. Di pintu masuk pendakian terdapat Satu Tugu yang di atas nya terdapat replika Harimau yang dikenali sebagai Tugu Macan. Ia sebagai simbolik di kawasan ini iaitu kawasan perlindungan untuk habitat Harimau sumatera.
Terdapat dua jalur pendakian untuk sampai ke puncak Kerinci, iaitu melalui Kersik Tuo atau Solok. Jalur Kersik Tuo merupakan jalur yang paling digemari dan banyak dilalui oleh para pendaki, manakala jalur Solok memiliki jalur pendakian yang agak ekstrim dan susah untuk didaki. Meskipun begitu jalur Kersik Tuo juga tidak boleh dipandang sebelah mata.
14 Ogos 2017, Isnin Kami berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki pesawat Air Asia. Tepat pukul 9.00 pagi kami tiba di Bandar Udara Internasional Minangkabau. Penerbangan yang memakan masa selama sejam hampir tidak terasa. Waktu di Kota Padang adalah lewat sejam dari Malaysia.
Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau merupakan lapangan terbang bagi daerah Sumatera Barat di Pulau Sumatra, Indonesia. Nama lapangan terbang ni diambil dari nama suku kaum terbesar di daerah tersebut, iaitu Minangkabau.
Line up trip kali ini terdiri dari pendaki-pendaki hebat yang menjadi idolaku dalam arena pergunungan iaitu Hafizzuddin (Fizue) selaku ketua rombongan, Zek, Wak, Fizin, Zura, Aimi, Fatin, Roza, Farah dan aku. Sebut sahaja mana-mana gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia ni, semua mereka dah tapau habis! Padu-padu belaka! Walaupun aku yang baru pertama kali bersua muka, tetapi jelas tergambar kemesraan mereka.
Untuk ke kaki gunung Kerinci, kami perlu menempuh perjalanan yang panjang dan penuh berliku dari Airport Bandara Minang yang terletak di Kota Padang ke Desa Kersik Tuo, Kayu Aro di daerah Jambi. Perjalanan mengambil masa selama 11 jam disebabkan terdapat beberapa masalah berkaitan mobil dan supir. Kami anggap sahaja ia sebagai cabaran yang harus ditempuh dan ia sedikit pun tidak mematahkan semangat kami untuk menggapai Atap Sumatera!
15 Ogos 2017, Selasa Pendakian ke puncak gunung Kerinci memakan masa selama dua hari 1 malam mulai dari Pos Kersik Tuo. Lebih kurang 30 minit perjalanan daripada homestay, sepanjang jalan kami dihidangkan dengan pemandangan indah ladang teh yang seluas mata memandang! Orang Jambi boleh berbangga! Kerana mereka mempunyai ladang Teh Kayu Aro, yang disebut tertua di Indonesia dan tertinggi kedua di dunia iaitu berada di ketinggian 1,600 mdpl setelah ladang teh Darjeling di Himalaya India yang berada di ketinggian 4,000 mdpl!
Ladang Teh Kayu Aro tetap hijau sepanjang tahun, berbeza dengan di Himalaya sana yang sering tertutup salji. Ladang seluas 3,020 hektar ni juga merupakan perkebunan teh dalam satu hamparan terluas di dunia! Hampir seluruh hamparan di lereng gunung ni ditumbuhi teh beraroma segar.
Hamparan teh dengan Gunung Kerinci yang menjulang biru di belakangnya sungguh menyejukan mata ditambah dengan udara dingin di pagi hari. Sebahagian desa Kayu Aro juga menjadi hamparan ladang sayuran yang subur. Di sisi kiri-kanan jalan terlihat hamparan ladang sayuran para petani.
Kami memulakan pendakian pada pukul 9.30 pagi. Sepanjang jalur pendakian, terdapat 6 perhentian yang terdiri dari 3 pos pendakian dan 3 shelter pendakian. Jalur pendakian Gunung Kerinci memang tidak mudah. Trek pendakian Gunung Kerinci sendiri disebut sebagai jalur air. Pada awalnya kami akan melalui pintu rimba, iaitu pintu masuk menuju ke trek pendakian Gunung Kerinci.
Ads
Nak mendapatkan sesuatu yang indah itu memang tidak mudah. Trek perjalanannya becak dengan lumpur, basah dan licin. Ayuhlah membajak sawah di tengah hutan! Yang pakai kasut baru dan masih bau kedai, harap bertenang lah layan trek macam ni! Hahaa
Trek dari pos satu ke pos dua masih ok lagi, di mana jalur berupa jalan yang agak landai dan sedikit pacak yang didominasi akar-akar pohon yang besar. Bagi mengekalkan momentum, kami berhenti berehat sekejap je di sini. Tak boleh berhenti terlalu lama disepanjang pos 1, 2 dan pos 3 kerana ia merupakan jalan yang masih dilalui harimau sumatera.
Perjalanan diteruskan ke Pos 3 dengan jalan menegak dan didominasi akar pepohon dengan tanah padat yang licin. Ternyata jarak antara Pos 2 ke Pos 3 itu agak lumayan jauh dan medannya sudah banyak memacak. Pos 3 berada pada ketinggian 2,225 mdpl.
Kemudian, jalan yang terus menegak mulai memerah keringatku! Geng-geng pendaki handal dan padu berdesup iaitu Zek, Roza, Fatin, Kak Aimi, Fizin & Zura sudah jauh mendahului aku. Tinggallah kami geng-geng dibelakang yang masih lagi setia disisi Fizue, Farah dan Wak.
Perjalanan daripada pos 3 menuju ke Shelter 1 mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Kelihatan landskap hutan juga sudah berubah ke Mossy Forest. Suasana di dalam hutan Kerinci lebih kurang seperti hutan di Malaysia. Keadaan trek juga sudah mula memberi cabaran yang tersendiri buat para pendaki. Suasana semakin dingin, kabus tebal, tanjakan padu dan licin telah kami lalui. Untuk sampi ke Shelter 1 jaraknya agak jauh. Tidak seperti jarak antara ketiga-tiga Pos yang kami lalui sebelumnya.
Dalam pendakian ni, kami mengupah guide dan porter untuk membawa barang seperti khemah, beg tidur, bekalan makanan dan pakaian. Guide kami ada 2 orang. Kami wanita hanya memikul beg galas kecil bersaiz 20 hingga 30 liter sahaja. Beg kecil tu diisi dengan lampu suluh, baju hujan, makanan tenaga seperti coklat, gula-gula dan air minuman. Tu pun dah pewai terok juga! hahaa… Lelaki semua katang belaka & gagah perkasa bawa beg sendiri jer!
Oh ya, sepanjang pendakian ni, hanya kami satu-satunya team dari Malaysia. Jarang juga kami nampak pendaki dari negara lain. Mungkin Gunung Kerinci tidak begitu popular berbanding Gunung Rinjani ataupun Semeru! Bila pendaki Indonesia tegur kami sepanjang trek, semua rasa teruja sebabnya bila sebut je nama Malaysia, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran rakyat tempatan ni adalah Upin Ipin! Betul betul betul! Lepas tu habis la segala watak mereka sebut, Kak Ros, Opah, Abang Roi, ayam goreng dan lain-lain. Ishhh aku sendiri pun tak tengok Kartun Upin Ipin tu! Memang satu fenomena betul kat sini! Hahaaa..Terbaekkk weyhh!
Shelter 1 merupakan tempat yang aman untuk mendirikan khemah dengan ketinggian 2,505 mdpl. Shelter 1 merupakan tempat terbuka yang mampu menampung sebanyak 15 buah khemah dengan pemandangan lereng Gunung Kerinci yang menjulang gagah.
Perjalanan menuju ke Shelter 2 dijangkakan akan mengambil masa yang lebih lama, iaitu sekitar 2-3 jam. Jadi kami fuel up energy masa di shelter 1 kerana perjalanan selepas ini dijangkakan lebih mencabar. Kami buka pek makanan yang kami bawa dan makan di sini. Carbo loading katanya! Lepas ni nak pakai lebih banyak tenaga, jadi memang perlu makan yang cukup.
Ads
Kami mula bergerak dari Shelter 1 lebih kurang pukul 1.30 pm. Hujan mula turun dengan lebat mengiringi pendakian. Kami semua dah standby pakai baju hujan siap-siap! Jalur pendakian menuju Shelter 2 semakin menaik, licin dan curam. Pendek kata, memang tak kasi chance lansung. Tak de diskaun dah!
Masa ni aku dah pewai teruk juga. Jadi aku percepatkan langkah dengan harapan nak sampai ke campsite cepat! Yang lain pun bergerak dengan pace masing-masing. Harus diingatkan jika berjalan di dalam hutan, jangan jalan berseorangan. Jadi aku tinggalkan Farah dengan Wak! Ini adalah gunung pertama yang didaki oleh Farah. Aku yakin Wak mampu menjaga Farah dengan baik! Jadi aku jalan berdua je la dengan Fizue! Thanks abang gogo sebab teman dan mampu bersabar dengan aku!
Akhirnya aku dan Fizue sampai di shelter 2 agak awal dalam pukul 4.00pm. Area campsite di Shelter 2 agak terhad dan hanya mampu mendirikan beberapa biji khemah. Tapi yang bagusnya di sini masih ada pokok-pokok yang agak tinggi dimana ada kelebihan mampu menghalang khemah daripada terkena tiupan angin kencang.
Dalam pukul 5.00 petang khemah kami siap dipasang. Boleh la beristirehat seketika. Malam tu dinner kami makan maggi sup! Lepas dah makan malam, kami pun dapat berehat dengan tenang. Dalam pukul 8.00 malam dah siap-siap nak tidur sebab pukul 2.00 pagi dah nak bersiap gerak ke puncak!
Tapi malam tu aku tak dapat tidur pun sebabnya tapak khemah kami tak rata dan senget! Memang asyik melurut je sampai ke hujung bucu khemah! Licin. hahaa.. Nak tido pon kene hiking lagi dalam khemah! Jadi suster ngesot pula! Adehhh… Lagipun suhu udara malam tu sangat sejuk sampai ke tulang rusuk! Dah pakai jaket tebal dengan sarung tangan dan berselubung dalam sleeping bag pun masih menggigil! Bertabah je la.
16 Ogos 2017, Rabu Pendakian ke puncak bermula pada pukul 2.30 pagi. Berbekalkan cahaya lampu suluh, kami meredah kepekatan hening pagi dengan suhu yang begitu sejuk. Masing-masing memakai jaket tebal, sarung tangan, penutup kepala dan pelindung muka. Semuanya lengkap bagi memastikan kami berada dalam keadaan selesa sepanjang mendaki ke puncak yang memakan masa lima hingga enam jam.
Dari shelter 2 menuju ke shelter 3 kami berjalan menegak melewati jalan yang berupa terowongan panjang yang curam. Sesekali tangan menyentuh dinding terowong terasa seperti menyentuh ais. Ya, amat dingin. Hanya cahaya head lamp lah yang menjadi penerang kami menerobos di terowongan panjang, curam dan lembab itu. Bagi aku trek menuju ke shelter 3 ni yang paling susah dan mencabar yang pernah aku daki! Benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal!
Sesekali perasaan gayat dan putus asa menerpa disebabkan perlu memanjat tebing yang tinggi dengan akar-akar kayu. Pacak dia memang padu, sehingga lutut bertemu dagu! Ada ketikanya, laluan yang ditempuh terlalu sempit sehingga memaksa kami naik ke tebing curam dan berpaut pada pokok. Nasib baik Fizue gigih guide aku mana nak pijak, mana nak pegang! Kalau tak memang kelaut aku! hahaa..
Dah sampai di shelter 3 memang rasa lega! Lepas dah satu hazab! Kami berhenti seketika untuk solat subuh. Aku berdoa minta perlindungan pada Allah dan supaya kami semua berjaya sampai ke puncak dan turun dengan selamat!
Summit Attack Atap Sumatera Sewaktu melihat ke arah puncak, tampak cahaya berbaris bagai ular meliuk-liuk. Itu adalah pendaki-pendaki lain yang sedang berjalan perlahan menuju puncak. Kami semua awalnya berjalan beriringan namun lambat laun mulai berpecah mengikut kelajuan masing-masing. Namun kami sudah sepakat untuk saling menunggu di puncak.
Ads
Pendakian ke puncak ini, kami berjalan di lereng berbatuan yang loose dan pasir kasar. Jika tersalah langkah boleh tergolek dan agak berbahaya. Di tambah bila angin berhembus kencang, abu dan pasir berterbangan sehingga kadang masuk ke mata dan menganggu pernafasan. Trek pendakian ke puncak Indrapura tidak boleh dipandang enteng. Yang diperlukan sekarang adalah kekuatan mental, semangat dan keinginan yang kuat untuk mengharungi rintangan yang ada. Oleh itu, kami terus memerah kudrat yang berbaki untuk sampai ke puncak.
Langit cerah pertanda sang fajar telah tiba. Di bawahnya samar terlihat lapisan gunung dengan bulatan putih. Itulah Danau Gunung Tujuh. Subhanallah!… pemandangan yang sangat indah. Tampak jelas garis horizon dari ketinggian ini. Sungguh sempurna lukisan alam di hadapanku ini. Disini aku tidak berhenti lama kerana aku bersendirian sementara teman-teman lainnya sudah di depan dan ada juga yang dibelakang. Walaupun tak dapat menikmati sunrise di puncak, tapi aku dapat layan sunrise sorang-sorang di sini. Sunrise yang sangat indah di waktu fajar di lereng gunung.
Untuk sampai ke puncak, kami harus berjalan di celah tanah atau ‘longkang’ agar terhindar dari terpaan angin kencang. Muat-muat boleh dilalui seorang pendaki sahaja. Di kiri dan kanan ‘longkang’ adalah tebing yang tinggi.
Tugu Yudha Setelah beberapa jam mendaki tibalah kami di Tugu Yudha, iaitu berupa dataran padang pasir yang luas terletak di bawah puncak gunung kerinci. Tugu Yudha ini sangat terkenal dengan ceritanya. Ada pendaki bernama Yudha yang mendaki gunung kerinci bersama adiknya.
Mereka berkhemah di shelter 3 sebelum ke puncak. Ketika mahu ke puncak, tiba-tiba kabus tebal menyelimuti pemandangan yang membuat jalur trek tidak kelihatan. Pendaki lain mengingatkannya agar menunda pejalanan ke puncak, namun dia tetap degil dan nekad mengharungi kabus tebal tersebut. Kemudian dia terjatuh dan hilang bahkan jasadnya tak ditemukan sampai sekarang.
Untuk mengenang beliau maka tepat di bawah puncak utama kerinci didirikan sebuah tugu yang di beri nama Tugu Yudha. Setiap pendaki pasti akan melalui tugu ini bila hendak ke puncak kerinci.
Lepas dari tugu Yudha kami harus mendaki trek berbatu curam dan menegak untuk sampai di puncak. Impian untuk menggapai atap Sumatera semakin hampir! Dekat di mata namun jauh di kaki! Oh puncak Kerinci kami datang! Disini bukan hanya kaki yang bekerja, bahkan tangan juga. Ia agar setiap langkah tidak melurut dengan batuan longgar dan tidak stabil, jadi tangan harus mencengkam batu dengan kuat.
Berjalan perlahan namun pasti, aku keseorangan meniti ke puncak! Walaupun penat, sekarang bukan masanya untuk aku berputus asa! Namun tekad sudahku tetapkan, harus terus mendorong batas kemampuan untuk sampai ke puncak Indrapura. Satu hal yang membuatku bersemangat waktu itu adalah, akan berdiri di Puncak Tertinggi Sumatera, Gunung berapi tertinggi di Indonesia!
Kemudian, ada seorang pendaki yang baru turun dari atas mengatakan puncak sudah berada di depan mata. Perkataan itu membuatkan semangatku bangkit kembali. Segera aku mempercepatkan langkah dan tepat pukul 8.00 pagi, tibalah aku di puncak Gunung Kerinci! Yeayhhh….
Atap Sumatera! Sangat bersyukur akhirnya kami semua berjaya sampai di Atap Sumatera di ketinggian 3,805 meter diatas permukaan laut (Mdpl)! Alhamdulillah! Terasa diri ini begitu kerdil berdiri di lereng kawah di Puncak Gunung Berapi tertinggi di Indonesia! Kawah aktif dengan luas 400 x 120 meter dengan kedalaman 600 meter sedang mengepulkan gas belerang pekat. Rasa amat gerun dan teruja! Perasaan yang sukar untuk digambarkan bila dah berada di atas ni! The best feeling ever!
Ni adalah gunung berapi ketiga yang berjaya aku jejaki selepas Rinjani dan Bromo. Kawah dia lebih kurang macam Bromo, tapi ni lebih besar, dengan jurang yang sangat dalam dan ngeri!
Langit berwarna biru cerah waktu itu. Gumpalan awan berlapis-lapis di bawah kami. Terasa luar biasa kami dapat berdiri di ketinggian 3,805 meter. Sepertinya tepat dinamakan ‘Negeri di Atas Awan’ kerana posisi kami berdiri saat ini lebih tinggi dari gumpalan awan. Di puncak Kerinci ni, kami boleh melihat pemandangan indah Kota Padang, Jambi, Gunung Tujuh, lautan hindi dan trek berbatu yang kami lalui tadi! Sungguh asyik dan lumayan pemandangannya!
Rasa sungguh terharu bila berada di puncak Gunung Kerinci dengan segala perjuangan melewati trek esktremnya. Mendaki Gunung Kerinci akan menjadi momen hidup yang tidak akan kami lupakan. Suatu kebanggaan atas keberhasilan dari perjuangan yang panjang. Jalur gemilang kami keluarkan dan berkibar megah di Puncak Indrapura!
Terima kasih sahabat yang menjadi teman sepanjang mengharungi suka duka perjalanan ini. Gelak tawa dan ramah mesra membuatkan ku terasa bagaikan sudah lama mengenali antara satu sama lain. Moga ketemu lagi di lain masa. Akhir kata, jangan mati dulu sebelum sampai ke puncak Gunung Kerinci!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Indonesia kaya dengan tempat-tempat cantik dan menarik untuk diterokai. Daerah Malang, Jogja, Bandung dan Jakarta menjadi pilihan Arieff Putra untuk trip Trans Java selama sembilan hari lapan malam.
Menggunakan train untuk bergerak dari satu daerah ke daerah yang lain memang menyeronokkan. Menikmati pemandangan hebat di daerah Malang dan seterusnya ke Jogja. Menyambung pula perjalanan ke Bandung yang terkenal sebagai pusat peranginan dan pusat membeli belah seterusnya mengakhiri trip di Jakarta sebelum pulang kembali ke Malaysia.
Terasa tak puas mengembara ke bumi Indonesia, menurut Arieff trip trans java itu memang hebat. Ikuti perkongsiannya:
TRANS JAVA INDONESIA 9H8M
Malang – Jogja – Bandung – Jakarta
-Saja kami nak share sikit trip kami baru-baru ni buat trans java versi yang tak terlalu lama . Overall Indonesia memang superb , 9hari 8malam tu rasa macam sekejap je .
Day 1 ( Malang )
– Landed di Juanda
-Naik travel pergi ke Malang
– Pergi ke Alun-alun Batu
Day 2 ( Malang )
– Tumpak Sewu Waterfall ( Nasib tak baik , hari tengah Hujan )
– Rainbow Village
Day 3 ( Bromo , Jogja )
– Pukul 12 malam bergerak ke bromo
– Pukul 3 sampai di bromo ( sediakan kelengkapan yang sekucupnya , sebab cuaca dalam 2 celcius camtu , nanti menggigil
– Enjoy Beautiful Bromo
– Proceed Ke Jogja Via Train
– Jalan-jalan Malioboro
Day 4 ( Jogja )
– Kalibiru
– Taman Sari
– Hutan Pinus
Day 5 ( Jogja )
– Candi Prambanan
– Pantai Timang
– Proceed ke Bandung Via Train
Day 6 ( Bandung )
– Kawah Putih
– Perkebunan Teh Ranca Bali
Day 7 ( Bandung )
– Tangkuban Perahu
-Grafika Cikole
– Cafe Di Dago ( Sejukkkk tempat kat sini )
Day 8 ( Jakarta )
– Proceed Jakarta Via Train
– Monas
-Pusing-pusing area Pasar Abang
– Tak ada idea dah nak jalan katne dekat jakarta ni , just amik pengalaman sampai kat sini je .
Day 9 ( Jakarta )
– Balik ke malaysia dan flight delay , bukan AirAsia la kalau flight tak delay
TRANSPORT :
– Motor : Buat jalan-jalan dalam town dan penuju destinasi , kami kemana-mana naik motor je . Jadi sedikit kematu la bontot .
– Kereta Api : Dari setiap daerah ke daerah yang lain . Semua kami book executive seat , so tak ada masalah seat tegak la .
– Grab : Ni lepas sampai kat stasiun kereta api , so kami nak transport semua luggage kami untuk drop kat hotel .
Untuk melancong ke negara orang dengan bajet yang rendah perlu persiapan yang rapi dan kena pandai hadap segala situasi.
Seorang gadis yang merupakan pelajar UTHM, Izyan Afiqah Abu Bakar, 24, telah bercuti ke Boracay, Manila dan Baguio dengan bajet RM838 sahaja.
Memang murah untuk percutian 8 hari. Ini perkongsian dia dengan Libur.
image-2
Itinerary Boracay-Manila-Baguio City
Bajet ini termasuk tiket penerbangan Air Asia, hostel, aktiviti, transportation dan lain-lain (van, boat, bus, tricycle, jeepney, LRT, taxi, uber).
Antara rahsia utamanya, makanan bawa dari Malaysia je. Jadi semua total RM838 untuk 8 hari dan dapat cover 3 tempat di Philippine.
Time nak tukar duit pun kena bijak juga. Pastikan rate yang dapat pulangan banyak. Rate atau kadar time tukar waktu tu, 100 Peso = RM8.80.
image-3
Ini breakdown kos percutian disana mungkin boleh dijadikan rujukan.
1st day
Tiket flight Air Asia KL-Manila-Kalibo-Manila-KL (RM100) *beli awal setahun
8.20 am – 12.15 pm : Flight KL to Manila
Beli Simcard Globe unlimited for 7 days dkt airport (300 Peso)
Shuttle bus from Terminal 3 to Terminal 4 (20 Peso)
5.35 pm – 6.40 pm : Flight Manila to Kalibo
Van + boat to Jetty Boracay (250 Peso)
Environment fee (100 Peso)
Terminal fee (75 Peso)
Tricycle 100/2 (50 Peso)
Check in Boracay Backpacker for 3 night (RM128)
Bukan mudah untuk mengembara ke negara yang belum pernah kita jejaki terutama apabila mengembara berseorangan. Namun disebabkan minat dan semangat jiwa yang menebal untuk menerokai dunia dan melihat keindahan ciptaan-Nya, Mohd Shahrir Mohd Arshad telah berkongsikan kembara solo beliau ke Ke Pulau Samosir, Danau Tob dan Medan.
Baru berumur 29 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, turut pernah lawati ke Paris, Amsterdam, German, Belgium, Switzerland, Cape Town, Perth, Vietnam, Indonesia dan Thailand.
Bagaimanakah keindahan di Pulau Samosir, Danau Toba dan Medan? Jom kita hayati kisah kembara solo beliau di bawah.
Berkelana Ke Pulau Samosir, Danau Toba& Medan
Kembara kali ini agak berlainan dari sebelumnya, di mana kali ini hanya berseorangan kebumi garuda di Sumatera Utara,Indonesia. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Kualanamu, Medan hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja.Sejurus sampai di Lapangan Terbang Kualanamu. Pastinya Danau Toba menjadi pilihan untuk beristirehat kerana keindahan alam semulajadinya yang sering menjadi bualan ramai. Bagi yang pertama kali ke sini jangan risau sejurus keluar dari lapangan terbang pasti ade beberapa orang yang akan menyapa untuk bertanyakan ke mana destinasi yang ingin dituju kerana terdapat beberapa buah bas transit yang disediakan untuk sekitar kawasan di Medan.
Bagi perjalanan menuju ke Danau Toba anda haruslah menaiki bas transit ke Terminal Amplas terlebih dahulu sebelum menaiki Bas ke Parapat di mana letaknya jeti Tiga Raja yang menyediakan bot atau feri untuk ke Pulau Samosir di Danau Toba. Perjalanan dari Terminal Amplas menuju ke Parapat mengambil masa lebih kurang 5 jam perjalanan. Bagi saya jika menaiki kenderaan awam seperti bas ini anda dapat merasakan suasana seperti masyarakat tempatan selain dapat melihat keadaan sekitar di sepanjang perjalanan. Di sepanjang perjalanan menuju ke Parapat anda akan melalui keadaan berbukit dan kawasan kampung di pedalaman Medan pastinya ia sesuatu yang tidak dapat saya lupakan selain dapat berbual dengan beberapa orang penduduk disana.
Saya meneruskan perjalanan menuju ke lokasi seterusnya yang terletak lebih 40 km ke Pangururan, di mana terletaknya Air Terjun Efrata. Dengan keadaan lalaluan yang berbukit hampir setiap ketika saya berhenti di tepi jalan untuk merakamkan gambar pemandangan di sekitar kawasan berkenaan. Mulut acapkali menyebut subhanallah atas kebesaran ciptaan tuhan yang ESA. Untuk pertama kali ke sini, anda tidak perlu risau tentang makanan halal, di sepanjang jalan menuju ke lokasi Air Terjun ini terdapat beberapa gerai yang menyajikan masakan islam terutamanya di kawasan pekan Pangururan atau anda boleh mendapatkan snek halal di kedai serbaneka berdekatan. Setelah lebih dua jam perjalanan akhirnya saya tiba di kawasan Air Tejun Efrata. Menurut penjaga kawasan Air Terjun ini kebiasaanya kawasan ini akan dipenuhi pengunjung biasanya pada hari Ahad atau cuti umum. Saya melepaskan seketika penat lelah disini sebelum pulang ke Samosir. Bagi yang ingin datang jangan lepaskan peluang untuk mandi-manda di kawasan ini. Antara tempat menarik di kawasan ini ialah, Menara Tele untuk menyaksikan keindahan Danau Toba dari aras tinggi dan kawasan Air Panas yang sentiasa mendapat perhatian disini.
Dalam perjalanan menuju balik ke Hotel, saya singgah di Tomok, sebuah lagi perlabuhan yang berdekatan dengan kawasan Hotel, disini anda juga boleh mengenali masyarakat batak melalui Muzium yang disediakan disini. Jika anda ingin mendapatkan buah tangan atau cenderahati disinilah tempatnya pastikan anda pandai tawar menawar untuk mendapatkan harga barangan yang terbaik. Aktiviti malamnya pula saya ade persembahan kebudayaan dari masyarakat setempat di Hotel tempat saya menginap jadi aktiviti malam juga terisi dengan pendedahan budaya masyarakat setempat.
Sipiso-Piso Di Berastagi
Setelah dua malam di Pulau Samosir, keesokan harinya saya ke Berastagi, sebuah lagi kawasan yang sering menerima pengunjung yang ramai. Untuk kesini pula perjalanan mengambil masa lebih kurang 3-4 jam. Sebelum sampai ke Berastagi pastikan anda singgah di Air Terjun Sipiso-Piso sebuah lagi tempat menarik di Sumatera Utara. Air Terjun yang setinggi 120 meter ini merupakan Air Terjun tertinggi di Indonesia. Bagi pengembara solo, anda boleh menaiki teksi untuk kesini atau menaiki angkutan kota yang jauh lebih murah dan meminta pemandu teksi/angkutan tersebut untuk berhenti di simpang Merek. Setelah setengah jam disini saya meneruskan perjalan ke Berastagi lebih kurang 2 jam lagi perjalanan menuju kesana.
Pajak Buah atau Pasar Buah Berastagi sangat popular kerana anda boleh mendapatkan buah-buhan yang segar dengan harga yang murah, Selain itu cenderahati juga di jual disini. Sesekali ade juga peniaga yang akan menjual buah strawberry yang sangat murah dan manis rasanya. Bagi pengunjung yang ingin menaiki kereta kuda menegelilingi kawasan Berastagi inilah masanya nyata para pelancong yang membawa anak-anak tidak melepaskan peluang bersiar-siar di kawasan ini dan juga mengambil foto kenang-kenangan. Berdekatan dengan kawasan Pajak Buah ini terdapat sebuah Taman Awam iaitu Bukit Kubu, yang juga menjadi tumpuan ketika waktu hujung minggu.
KOTA MEDAN WISATA TERKENAL
Kembalinya dari Danau Toba dan Berastagi pastikan anda bermalam di Medan. Bagi yang ingin mencari deretan restoran dan kedai makanan yang menyajikan pelbagai masakan anda harus berkunjung ke Merdeka Walk di tengah kotaraya Medan. Dari masakan tradisional hingga ke masakan barat semua anda boleh dapatkan disini. Usai makan malam anda boleh berkunjung ke Menara Air di kota Medan antara mercu tanda Kota Medan. Di Kota Medan ini antara pengangkutan utama yang terdpaat disini ialah Becak (Motosikal Beca) dan Angkuta Kota (Van Penumpang) kadar tambang bagi setiap kenderaan ini bergantung kepada jarak jauh hotel ke kawasan yang hendak anda tuju.
Kunjungan ke Medan pasti tidak lengkap jika anda tidak berkunjung ke Istana Maimun, istana lama kesultanan Melayu Deli yang dibina sejak tahun 1888 lagi. Rata-rata pengunjung yang berkunjung kesini akan menyarung busana tradisional Melayu Deli yang disewakan untuk mereka mengambil gambar sebagi tanda kenang-kenangan. Tidak jauh dari Istana Maimun ini berdiri teguh Masjid Raya juga menjadi ikon kebangaan Kota Medan. Selain daripada Istana Maimun bangunan Masjid ini juga adalah peninggalan dari Kesulatanan Melayu Deli yang dibina sejak tahun 1906. Antara bangunan lama yang masih kekal sehingga kini ialah Kantor Pos Indonesia atau Pejabat Pos Indonesia di tengah bandaraya Kota Medan.
Seperti biasa antara tips perjalanan kali ini ialah , pastikan anda membuat rujukan sebelum ke sesuatu destinasi untuk memudahkan perjalanan anda. Pastikan juga anda menukar duit sebelum tiba ke sesuatu destinasi mungkin kadar tukaran wang tidak sama dengan negara asal anda dan akhir sekali rancang perbelanjaan anda tak salah berbelanja Cuma pastikan kuota bagasi anda mencukupi semasa melakukan penemapahan tiket kapal terbang bagi mengelakan caj berlebihan.
Kota Medan juga Danau Toba destinasi yang pastinya meningalkan 1001 satu kenangan buat saya. Insyallah jika ada umur yang panjang pasti akan datang kembali kesini.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!