Indonesia mengeluarkan amaran kepada pelancong dan penduduk supaya tidak berada berhampiran Gunung Merapi berikutan letusan yang berlaku pada Khamis pagi semalam.
Gunung berapi paling aktif yang terletak di kepulauan Jawa, Indonesia itu meletus pada jam 5.16 pagi waktu tempatan (6.16 pagi waktu Malaysia). Ia memuntahkan abu sehingga 2,000 meter, yang pada mulanya tenang namun mulai memuntahkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan pelancong dan penduduk tempatan.
Video ketika gunung itu sedang meletus banyak dikongsikan dilaman youtube.
Setakat ini tiada laporan mengenai mangsa yang terkorban dan tercedera dalam insiden tersebut, juga tiada arahan untuk penduduk sekitar kawasan gunung supaya berpindah. Walaupun letusan berlaku seketika, pihak berkuasa tetap meletakkan amaran pada tahap waspada.
Terletak di sempadan antara wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta, gunung berapi itu aktif sejak kebelakangan ini dengan letusan terakhir dilaporkan pada 4 Januari 2020 lalu. Indonesia antara negara yang sering dilanda bencana letusan gunung berapi dan gempa bumi kerana terletak di ‘Lingkaran Api Pasifik’. Pada 2018, negara itu dilanda sebanyak 11,577 gempa bumi, yang mengorbankan banyak nyawa.