Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi meletus lagi kemarin hari melepaskan kepulan asap volkanik kira-kira 6,000 meter ke udara lalu melitupi kawasan tempat tinggal berhampiran.
Letusan ini dilaporkan berlaku pada 3 Mac lalu, pukul 5.22 pagi waktu tempatan (6.22 pagi waktu Malaysia). Kali terakhir Gunung Merapi ini meletus adalah pada 13 Februari 2020 yang lalu.
Baca sini: https://www.libur.com.my/gunung-merapi-meletus-indonesia-keluarkan-amaran-kepada-pelancong/
Susulan kejadian ini, lapangan terbang antarabangsa di Bandar Solo yang terletak sejauh kira-kira 40 kilometer dari gunung berapi itu diarahkan tutup buat sementara waktu.
Difahamkan, Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan Geologi Yogyakarta merekodkan letusan ini berlangsung selama 450 saat atau 7.5 minit.
Agensi Gunung Berapi Indonesia memberi amaran kepada penduduk agar tidak berada dalam zon larangan yang berjarak tiga kilometer sekitar Gunung Merapi bagi mengelakkan risiko bahaya akibat aliran bahan piroklastik.
Terletak di kepulauan Jawa, Indonesia, gunung yang berukuran 2,968 meter ini juga pernah meletus beberapa kali termasuklah baru-baru ini. Namun letusan pada kali ini diyakini lebih besar berbanding sebelumnya. Ia menjadi kegusaran penduduk sekitar kerana gunung berapi ini kerap sangat meletus sejak akhir-akhir ini.
Dalam 500 bilangan gunung berapi yang terdapat di Indonesia, Gunung Merapi merupakan gunung yang paling aktif. Kes letusan yang terbesar yang berlaku pada tahun 2010 telah mengorbankan seramai 353 nyawa dan menyebabkan kira-kira 280,000 penduduk terpaksa berpindah.