Gunung Berapi Kerinci, Indonesia Meletus. Pendaki, Pelancong & Penerbangan Di Minta Berwaspada

Share

Gunung berapi Kerinci, Jambi di Pulau Sumatra, Indonesia meletus pada petang kelmarin (rabu)  dan menghamburkan debu panas. Susulan itu pihak berkuasa menasihati syarikat penerbangan mengelakkan kawasan berkenaan.

Gunung Kerinci mungkin agak kurang popular dalam kalangan pendaki tempatan berbanding Gunung Rinjani dan Gunung Semeru. Gunung Kerinci terletak di Jambi, bersempadan dengan wilayah Sumatera Barat. Berdiri megah di Pergunungan Bukit Barisan, gunung itu terletak kira-kira 130 kilometer di selatan Padang.

Gunung yang tersergam indah itu dikelilingi hutan tebal Taman Nasional Kerinci Seblat yang merupakan habitat semula jadi harimau serta badak Sumatera. Selain itu, Gunung Kerinci adalah gunung berapi tertinggi di Sumatera dengan ketinggian 3,805 meter. Puncak tertinggi di Gunung Kerinci dikenali Puncak Indrapura. Dikenali juga sebagai Atap Sumatera, Gunung Kerinci menjadi fenomena dalam kalangan pendaki Indonesia kerana merupakan salah satu gunung dalam kelompok tujuh puncak tertinggi di Indonesia atau lebih dikenali Seven Summits Indonesia.

Mula Meletus

Menurut ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia, saudara Kasbani, gunung berapi itu menghamburkan abu dan asap setinggi 800 meter dari puncak gunung atau 4,605 meter di atas permukaan laut. Letusan seterusnya dijangka boleh menjejaskan operasi penerbangan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun letusan itu tidak memberikan ancaman kepada penduduk di kawasan tersebut. Namun, pihak berkuasa mengklasifikasikan letusan di peringkat 11, iaitu pada peringkat waspada dan memberi amaran kepada penduduk serta pelancong untuk berada sekurang-kurangnya 3 kilometer dari kawah gunung berapi; Gunung Kerinci.

“Masyarakat di sekitar Gunung Api Kerinci dan pengunjung atau pelancong tidak boleh mendaki ke kawasan kawah yang ada di puncak Gunung Api Kerinci, iaitu dalam radius 3 kilometer dari kawah aktif,” ujarnya.

Kasbani menambah, kejadian letusan itu telah menyebabkan kepulan debu kini mencapai ketinggian lebih 800 meter dari puncak gunung itu, atau sekitar 4.605 meter di atas permukaan laut.

Sementara itu, pengendali dan pengawal pengangkutan udara juga diingatkan supaya menghindari ruang udara di kawasan bencana susulan situasi semasa berkenaan.

“Laluan penerbangan di sekitar Gunung Kerinci perlu dielak kerana letusan abu itu boleh mengganggu penerbangan,” ujar Kasbani.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna