Memiliki anak dan zuriat sendiri menjadi impian setiap pasangan yang sudah berkahwin. Walau bagaimanapun ada ramai pasangan yang telah berkahwin dalam tempoh yang lama namun belum dikurniakan rezeki anak. Pelbagai cara dan ikhtiar yang dilakukan oleh mereka antaranya mengunjungi beberapa lokasi ‘ajaib’ yang telah diberitahu dari mulut ke mulut kononya mampu membantu mendapatkan anak.
Seperti di negara kita sendiri, Tasik Dayang Bunting dan Gua Kelamin menjadi bualan ramai lokasi yang sering ‘makbulkan’ permintaan pasangan yang belum memiliki zuriat menjadi kenyataan.
Tasik Dayang Bunting
Percutian ke Pulau Langkawi dikatakan tidak lengkap jika tidak menikmati panorama Tasik Dayang Bunting yang indah dan mendamaikan dengan menaiki bot laju hampir 30 minit. Perjalanan menempuh ombak begitu berbaloi apabila disajikan pemandangan semula jadi yang begitu memukau dan cantik. Biarpun hampir dengan laut, air di tasik ini tidak masin dan menjadi tumpuan pelancong melakukan pelbagai aktiviti air. Tasik Dayang Bunting mendapat pengiktirafan UNESCO dan dikategorikan sebagai salah satu geopark di Langkawi.
Semasa dalam perjalanan, anda dapat melihat bentuk muka bumi pulau seakan-akan seperti wanita yang sedang hamil sedang berbaring dan dari situlah pulau ini mendapat nama. Terdapat mitos mengatakan wanita yang sukar hamil, jika meminum air tasik di sini akan dikurniakan anak. Tetapi, pengunjung diberi peringatan agar menggunakan jaket keselamatan apabila berada dalam air kerana tasik ini mempunyai kedalaman 10 meter.
Gua Kelamin
Pulau Tioman diiktiraf antara pulau tercantik di Malaysia. Walaupun terletak di daerah Rompin, Pahang, namun Pulau Tioman tetap boleh dianggapkan sebagai naungan Johor kerana terletak tidak jauh dari daerah ini, iaitu hanya mengambil masa kira-kira dua jam menggunakan bot ekspres dari Jeti Mersing. Ada beberapa kampung yang terdapat di Pulau Tioman antaranya Tekek, Paya, Juara, Air Batang, Salang, Mukut, Nipah dan Genting.
Terletak di Kampung Genting, ada sebuah gua yang terbentuk akibat hakisan ombak memiliki bentuk yang unik dikenali sebagai Gua Kelamin. Gua Kelamin turut dikatakan sebagai lokasi yang ‘ajaib’ kerana dapat makbulkan permintaan pasangan untuk memiliki zuriat. Tidak dapat dipastikan bagaimana caranya, namun pasangan yang mengunjungi Gua Kelamin dan belum memiliki zuriat dikatakan bakal menerima ‘rezeki’ itu.
Jika anda adalah individu yang berjaya memiliki anak selepas mengunjungi dua lokasi ini, tahniah diucapkan. Apa pun, ini semua mungkin hanya kebetulan dan mitos sahaja. Jangan terlampau taksub mempercayai sehingga membelakangkan agama. Pasti ada jawapan yang lebih sainstifik dan boleh diterima akal disebalik apa yang terjadi.