Perlis yang merupakan negeri terkecil di utara Semenanjung, menyimpan pelbagai khazanah hutan yang amat berharga. Taman Negeri Perlis merupakan hutan sekunder yang terdiri daripada Hutan Simpanan Kekal Mata Ayer dan Hutan Simpan Kekal Wang Mu.
Lokasinya yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand juga antara sebab utama taman negeri ini merupakan destinasi yang perlu dilawati kerana terletak berhampiran lokasi destinasi membeli-belah Padang Besar dan Wang Kelian.
Ia juga merupakan hutan simpan tertua di negara ini dengan sebahagian besar Banjaran Nakawan terdiri daripada formasi batu kapur berusia kira-kira 500 juta tahun. Puncak tertinggi yang terdapat di Taman Negeri Perlis ini merupakan Gunung Perlis yang mempunyai ketinggian 733 meter. Jika berada di Gunung Perlis, anda sebenarnya berada di titik paling hujung di utara Semenanjung Malaysia.
Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini termasuk meneroka Gua Kelam. Taman Negeri Perlis juga terkenal dengan pembentukan gua batu kapur yang mempunyai laluan air bawah tanah iaitu Gua Kelam.
Ada yang kata Gua Kelam merupakan laluan orang bunian pada masa dahulu. Tetapi kebenarannya Gua Kelam pada satu ketika dahulu menjadi salah satu tapak aktiviti perlombongan. Sejarah perlombongan di sini dianggarkan berusia kira-kira 100 tahun dahulu dan kawasan itu merupakan satu-satunya aktiviti perlombongan dalam gua yang dijalankan di negara ini. Hampir semua kesan peninggalan aktiviti perlombongan dapat dilihat dalam keadaan baik kerana barangan yang terdapat di situ tidak mengalami proses pereputan.
Namun hari ini, rata-rata pengunjung yang datang ke Gua Kelam adalah untuk menghayati keindahan alam serta berkelah bersama keluarga, selain melakukan aktiviti mandi sungai yang begitu menyeronokan.
Pengunjung boleh memilih lokasi untuk mandi-mandi di bahagian luar atau disebalah dalam di sebalik Gua Kelam. Jika hari hujan, pengunjung disarankan tidak sesekali untuk mandi di kawasan ini kerana arus air yang mengalir sangat deras dan boleh mengacam keselamatan.
Gua Kelam di namakan sempena dengan keadaan suasananya yang kelam menyelubungi gua ini dan kedudukannya di kaki bukit, selain suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini. Kelam mengikut loghat utara bermaksud gelap. Bunyinya agak menyeramkan, ditambah pula dengan misteri bahawa dahulunya gua ini pernah didiami oleh orang Zaman Batu. Apa pun, sebenarnya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana melawat ke Gua Kelam sangat mengujakan! Cuma berhati-hati ketika musim hujan, kerana aliran air sungai ketika itu sangat deras dan boleh membahayakan nyawa.
Menurut sejarah, nama Gua Kelam adalah gelaran yang diberikan oleh pelombong bijih timah sempena kegelapan gua itu sendiri. Mereka terpaksa menggunakan lampu karbid untuk menerangi kawasan dalam gua. Gua Kelam menyediakan laluan interpretasi gua sepanjang 1.5 km meliputi jalan di atas simen, tanah dan laluan anak sungai.
Maka untuk memudahkan pengunjung merentasi ke dalam gua ini, kemudahan sebuah jambatan gantung dengan cahaya lampu malap berwarna-warni yang menarik telah disediakan.
Ada aliran air bawah tanah sepanjang lebih kurang 400 meter mengalir melalui banjaran batu kapur dapat dilihat semasa melalui gua ini. Ia merupakan fenomena semulajadi yang terbentuk dengan sendirinya. Cukup mengkagumkan! Kalau bernasib baik anda berpeluang melihat pelbagai spesies haiwan seperti ular, kelawar atau labah-labah.
Melepasi jambatan gantung di mulut Gua Kelam, mata pengunjung bakal dihidangkan dengan panorama hijau yang cantik dan menarik. Kawasan tersebut diberi nama Secret Garden dilatari dengan persekitaran landskap yang begitu terancang. Terdapat pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti ‘hub’ untuk bersantai, tapak perkhemahan, laluan penjalan kaki, dan kerusi rehat. Luangkan masa mengambil gambar kenang-kenangan bersama yang tersayang disekitar taman ini sebelum keluar dari gua.
Sumber Foto: Perlis Attractionsinmalaysia