Gua Gomantong Sandakan, Gua Penghuni ‘Keluarga Lipas’ Terbanyak Di Sabah?

Share

Gua Gomantong merupakan gua batu kapur terletak di Hutan Simpan Gomantong, Sandakan dengan keluasan 3297 hektar yang berada di dalam daerah Kinabatangan Negeri Sabah.






Gua Gomantong dilindungi Jabatan Perhutanan Sabah kaya dengan penghasilan semula jadi sarang burung layang-layang yang cukup bermutu tinggi yang mendapat permintaan masyarakat antarabangsa. Ia turut menjadi sumber pendapatan masyarakat sekitar sejak beberapa keturunan lagi. Gua ini juga diiktiraf sebagai Pengurusan Gua Sarang Burung Terbaik Di Dunia oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF). Disebabkan itu juga, sejak abad ke-13, gua ini telah membekalkan sarang burung terbaik untuk Maharaja China.








Dari pintu gua, bau asid amonia daripada najis dan kencing kelawar cukup kuat menusuk hidung.Gomantong memiliki dua kompleks gua, dinamakan Simud Hitam dan Simud Putih. Di siling gua tinggal berjuta-juta ekor kelawar, sementara di lantainya pula dilitupi lipas, kumbang, tikus dan pelbagai spesies ular. Serangga dan binatang ini tidak mengganggu pengunjung yang memasuki gua berkenaan kerana kehadiran mereka hanyalah untuk kelangsungan hidup dengan memakan tahi dan bangkai kelawar. Ada yang mengatakan lipas yang ada dalam gua ini merupakan yang paling banyak wujud di bumi. Buktinya anda boleh melihat sendiri dengan berkunjung ke Gua Gomantong ini.




Pengunjung tidak perlu khuatir dengan tahap keselamatan untuk masuk ke gua ini kerana laluan lantai di situ, dibina daripada kayu yang kukuh binaannya. Laluan ini akan membawa pengunjung menerokai sekitar gua tanpa gangguan binatang berbisa. Bagi mereka yang fobia dengan serangga ini, mungkin peluang terbaik mencuba mengatasi masalah itu sekiranya berkunjung ke Gua Gomantong, Sandakan Sabah. Ada berani?

image via sabahpost.net / google

Oleh
Husna