Biarpun negara dilanda cuaca panas, keadaan itu sedikit terubat sebaik melihat deretan bunga Bunga ‘Tecoma’ mirip bunga Sakura di Jepun tumbuh lebat di banyak lokasi di Malaysia.
Di Sabah juga fenomena bunga ‘sakura’ ini muncul di beberapa laluan sepanjang jalan Persisiran Tawau (Highway Tawau) sehingga menarik perhatian ramai.
Kebiasaannya, sakura atau nama saintifiknya Tabebuia Rosea (Tabebuia Pentaphylla) berasal dari Amerika Selatan itu sinonim dengan negara Jepun selain negara empat musim lain.
Bagaimanapun, bunga berwarna merah jambu dan putih ini boleh dilihat tumbuh dengan subur di beberapa kawasan di sepanjang jalan Persisiran Tawau berkenaan selain beberapa lokasi sekitar bandar ini.
Warga Tawau memgambil peluang merakamkan gambar sempena musim pokok bunga di daerah ini. Musim bunga ini dikatakan berlaku setiap sekali atau dua tahun sekali.
Kehadiran landskap unik itu menjadikan kawasan Bandar Tawau bertukar wajah seakan musim bunga sakura di Jepun. Secara tidak langsung keadaan ini dapat menyejukkan mata mereka yang melalui sepanjang jalan Persisiran Tawau ini.
Namun, saban hari dikatakan jumlah pengunjung semakin meningkat. Sampah sarap juga dikatakan semakin banyak ditinggalkan pengunjung. Untuk anda yang bercadang datang bersiar-siar melihat fenomena bunga ‘sakura’ ini, pastikan menjaga kebersihan lokasi tersebut ya. Sayang la, jika tempat dah cantik, tapi sampah pula menggunung.
Sumber: Sabahpost