Nampaknya selepas Pulau Langkawi berjaya dalam fasa gelembung pelancongan, kerajaan akan membuka tiga destinasi pelancongan lain bermula 1 Oktober ini.
Ketiga-tiga destinasi berkenaan ialah Pulau Tioman, Genting Highlands dan Melaka.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, perkara tersebut antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Parlimen.
Kerajaan mensasarkan tempoh pembukaan destinasi baharu itu pada 1 Oktober depan, namun tempoh dua minggu akan diberikan kepada operator pelancongan untuk membuat persiapan rapi terutamanya membabitkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Tambah Nancy, ini berikutan prestas baik yang dipamerkan pada fasa pembukaan Pulau Langkawi yang telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong sejak 16 September lalu.
Selain daripada aspek pematuhan SOP, jumlah pelancong ke pulau lagenda itu turut menunjukan prestasi memberangsangkan.
“Ketibaan penerbangan di Langkawi sejak 16 hingga 19 September merekodkan sejumlah 6,622 pelancong dan jumlah pelancong (yang tiba) melalui feri adalah 3,483 orang. Ini adalah angka yang kita perolehi secara tepat,” tambahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata destinasi pelancongan yang akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.
Sektor pelancongan negara sebelum ini antara yang terkesan selepas pandemik COVID-19 melanda negara.
Industri pelancongan dan kebudayaan negara dilaporkan telah mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat penularan pandemik COVID-19.
Artikel Berkaitan:
Selain Island Hopping & Selaman Skuba, Ini Beberapa Idea Aktiviti Pulau Menarik Boleh Anda Lakukan!
Gaya Mewah & Lebih Privasi. Ini 12 Resort Tepi Pantai Paling Best Untuk Staycation Di Langkawi!