Bila ada geng travel yang satu kepala memang seronok, apa lagi kalau dapat menjelajah ke negara-negara yang terkenal dengan keindahan pemadangan dan bentuk muka bumi yang berbeza dengan apa yang ada di benua Asia.
Pijot Nakal berkongsi pengembaraan dia dan dua lagi rakan sekolah ke tiga negara Scandinavian iaitu Sweden, Norway dan juga Finland. Memandu sendiri sepanjang berada di sana, membawa makanan dari Malaysia, tak dinafikan kos sepanjang mereka di sana agak mahal, tapi berbaloi kerana dapat melihat sendiri keindahan yang disebut-sebut depan mata.
Berkongsi gambar dan juga beberapa info yang boleh digunakan sebagai rujukan buat pengembara lain, ikuti pengembaraan tiga rakan ini ke negara Scandinivian yang punya keistimewaan tersendiri.
SCANDINAVIAN ROAD TRIP
06/10/22 – 23/10/22
SWEDEN NORWAY FINLAND
6259KM
Flight = RM3389
KUL-DOH-ARN (MAS/QATAR)
Sewa Kereta + insurance full coverage : RM5183.82 / 3 org = RM1727.95
Isi Minyak : RM2803.50 / 3 org = RM934.50
Parking : RM552.50 / 3 org = RM184.20
Toll = TBA (sampai skrg blm dpt bill)
Ticket Car Ferry : RM569.55 / 3 org = RM189.85
Penginapan : RM7745.92 / 3 org = RM2582
Cost makan : RM840.50 / 3 org = RM280.20
Ticket Viking Valley : RM100
Grand Total = RM9387.70 (blm termasuk toll ye)
Kitorg start drive dari Arlanda airport (Sweden), pulang balik kereta kat tmpt yg sama.
Bahan masakan kitorg bwk 15kg dari Malaysia memang hari2 masak jela sepanjang kat sana. Jimat banyak.
Pusing keliling 3 negara.
Antara tempat yg kitorg pegi boleh tengok gambar. Sy bg description sekali.
Kredit: Pijot Nakal
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Trip Ke Dabong Naik Kereta Pun Best, Port Aktiviti Ekstrem Tapi Harga Murah. Stay 3H2M Bajet Seorang Tak Sampai RM400!
Dabong kawasan pedalaman di Kelantan yang semakin mendapat tempat di hati pelancong dan pengembara. Port untuk membuat aktiviti ekstrem dengan harga yang cukup berpatutan.
Anda yang nak ke sana boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Gemas yang juga dikenali sebagai jungle train atau juga boleh memandu sendiri ke Dabong.
Paling best bila memandu bolehlah singgah untuk layan view kat sana tak kurang hebatnya, cantik dan menyegarkan. Tambah pula boleh meneroka ke tempat-tempat lain sepanjang perjalanan dan juga ke lokasi makanan sedap yang sering dikongsi di media sosial.
Sempena cuti hujung minggu yang panjang, Khairoul Hussen, isteri dan beberapa rakan telah membuat trip ke Dabong pada hujung bulan Januari yang lalu. Berkongsi itinerari lengkap dengan kos yang digunakan sepanjang percutian tiga hari dua malam mereka.
Memilih penginapan Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, memang seronok melihat perkongsian percutian mereka. Naik ATV, enjoy water rafting dan juga pengalaman membuat aktiviti zipline antara yang dilakukan ketika mereka di Dabong.
Nak tahu apa lagi yang menarik ada di Dabong, ikuti perkongsian lelaki ini:
ITINERARY PERCUTIAN BAJET PUTRAJAYA-DABONG
=======================
Durasi: 3 Hari 2 malam
Jumlah orang: 5 dewasa 1 kanak-kanak
Dabong merupakan lokasi popular bagi yang gemarkan keindahan alam semula jadi di samping melakukan aktiviti sukan lasak (extreme). Terletak di selatan daerah Kuala Krai, Kelantan. Dabong dihubungkan dengan jalan raya, jalan sungai dan rel keretapi dari pekan & bandar-bandar besar.
Daku ingin kongsikan itinerary percutian kami (diriku, isteriku Emy dan rakan sekerjaku Emily dan anaknya John, Ijan dan Ana) ke Dabong pada 21 hingga 23 Januari baru-baru ini.
PERSIAPAN AWAL
============
Pada awalnya, kami bercadang untuk mengunakan perkhidmatan keretapi yang boleh dinaiki di Stesen KTM Gemas. Akan tetapi, ekoran trip kami jatuh pada cuti hujung minggu yang panjang, tiket telah hampir habis dijual 2 bulan sebelumnya. Hanya tinggal tiket tempat duduk perseorangan yang berselerak dengan gerabak yang lain-lain.
Oleh demikian kami memilih untuk menggunakan jalan darat untuk ke Dabong. Disebabkan kami masing-masing tidak memiliki kenderaan 6 tempat duduk. Kami menyewa kereta jenis Mitsubishi Outlander, RM540 untuk 3 hari.
Kebaikan menggunakan kenderaan sendiri berbanding perkhidmatan keretapi adalah kami bebas untuk bergerak ke mana-mana jika ada keperluan ke kedai runcit atau kedai makan.
Kos minyak kami untuk 3 hari ni adalah RM180. Kami beruntung kerana pada waktu kami bergerak ke Dabong, kami tidak dikenakan bayaran tol ekoran pengumuman kerajaan yang tiada kutipan tol untuk semua tol seluruh negara bagi perayaan tahun baharu cina.
Syukur Alhamdulillah.
Untuk trip kali ini, kami telah memilih untuk tinggal di Jelawang Pipe Resort & Extreme Park . Kemudahan di sini serba lengkap selain kedudukannya di kaki Gunung Stong betul-betul berada di tepi Sungai Kenerong menjadikannya pakej lengkap kepada pencinta alam.
Kami tempah kediaman jenis 3 pipes muat utk 6 orang, 2 orang sebilik. Kos RM190 semalam termasuk sarapan pagi.
HARI PERTAMA
============
Kami bertolak seawal pukul 3:00 pagi dari Putrajaya kerana tidak mahu tersangkut dalam kesesakan dek orang ramai pulang ke Pantai Timur. Perjalanan kami kami mengambil masa lebih kurang 8 jam (perjalanan biasa 5 jam) dengan 2 lokasi hentian. Kami berhenti di Petron Kuala Lipis untuk menunaikan Solat Subuh dan Kedai Roti Canai London, Gua Musang untuk sarapan pagi. Kos sarapan kami 6 orang RM30.
Kami tiba di Dabong kira-kira pukul 9:30 pagi. Perancangan pagi itu hendak membuat aktiviti meneroka gua (caving), akan tetapi setibanya kami di Kompleks Gua Ikan, premis ditutup. Menurut seorang pengasuh (orang yang membawa pelancong), kompleks ini telah ditutup sejak September 2022 untuk tujuan pemeliharaan dan pemulihan gua.
Oleh kerana itu, kami terus ke Stesen Keretapi KTM Dabong untuk mengambil foto dan makan tengah hari di situ. Kos makan tengah hari adalah RM60 untuk 6 orang.
Kami sampai awal di Pipe Resort sekitar pukul 12:30 tengah hari. Kami terpaksa menunggu sehingga pukul 2 untuk kami masuk ke bilik penginapan. Sementara itu, kami hamparkan flying sheet dan berehat untuk menghilangkan lelah masing-masing.
Untuk hari pertama ini, kami hanya berehat di Pipe Resort dan kami kemaskan kawasan kediaman kami. Kami pasangkan meja, khemah, tikar hamparan dan sebagainya. Setelah itu, berendam dan berehat di batu sungai.
Seusai itu, kami keluar ke Adam Café untuk makan malam. Kos makan malam RM100 untuk 6 orang. Untuk aktiviti sebelah malam, kami hanya berehat di anjung tempat kami tinggal. Berborak, minum kopi dan bermain kad monopoly.
HARI KEDUA: AKTIVITI LASAK
======================
Hari kedua kami mulakan dengan bersarapan di Café Jelawang Resort seawal 8 pagi.
Aktiviti pertama kami hari ini adalah menunggang ATV. Kos sebuah ATV adalah RM35 dan sebuah ATV boleh dinaiki 2 orang. Kami ambil 3 ATV. Untuk aktiviti ATV ini, kami telah dibawa merentasi kawasan ladang kelapa sawit dengan trek yang dikhaskan untuk ATV ini.
Setelah itu, kami terus melakukan aktiviti zipline/flying fox. Kos untuk seorang RM15. Selesai acara zipline kami berehat di bilik sementara menunggu aktiviti water rafting yang dijadualkan pada pukul 12 tengah hari.
Untuk aktiviti ini, kami dijemput oleh Bob, pemilik Stong Outdoor & Xventure dan dibawa menuju tempat mula water rafting di Sungai Kenerong.
Kos untuk water rafting adalah RM70 untuk dewasa dan RM40 untuk kanak-kanak. Selain itu, Stong Outdoor Venture turut membuat aktiviti water tubing.
Selesai aktiviti ini, kami kembali ke resort kira-kira pukul 4:30 petang. Petang itu kami hanya berehat di kawasan sekitar Resort dan bermain air sungai.
Makan malam kami hari ini di Ahmad Ikan Bakar. Kos semuanya adalah RM95.
HARI KETIGA: MASA UNTUK PULANG
===========================
Pagi itu kami sarapan seperti biasa. Kemudian kami berkemas untuk pulang. Kami check-out pada pukul 10. Perjalanan balik ke Lembah Klang agak sesak sedari Gua Musang mungkin ramai warga kota merancang untuk balik awal bagi mengelakkan kesesakan keesokan harinya.
Kami singgah di Azmi Steam Fish dekat Lipis untuk makan tengah hari. Kos RM150.
Disebabkan googlemap & waze menyatakan berlaku kesesakan teruk di bentong dan karak. Kami decide untuk guna laluan anternatif tanpa tol. Kami sekali lagi jimat di sini.
Kami sampai di Lembah Klang sekitar pukul 7 pada hari itu.
Sekian.
RINGKASAN KOS
==============
Aktiviti : RM585.00
Makanan : RM435.00
Penginapan: RM380.00
Kenderaan & Petrol: RM720.00
Jumlah keseluruahan: RM2,120.00 untuk 6 orang
Moga bermanfaat.
#Dabong #kelantan #travel #living
Kredit: Khairoul Hussen & Azuana Hamid
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Melbourne Yang Penuh Mengujakan. Terbang Bercuti Bersama AirAsiaX & Visit Victoria
Jemputan daripada Visit Victoria untuk menyertai AirAsia X Rediscover Melbourne hujung tahun 2022, awalnya seperti tidak dapat dipenuhi atas pelbagai perkara yang memerlukan saya untuk berada di pejabat. Sementelah saya telah pernah berkunjung ke Melbourne dan tinggal hampir dua minggu di sana. Banyak tempat tarikan pelancong sudah dilawati. Tetapi seketika melihat itenarari yang diberikan, ternyata, majoriti lokasinya belum pernah saya kunjungi.
Teruja! Bukan sahaja kerana tidak sabar berada di sana, tetapi juga kerana sudah dua tahun tidak terbang akibat pendemik yang melanda dunia. Terbang dengan AirasiaX juga bukanlah kali pertama. Proses pendaftaran berjalan lancar sehinggalah berada di dalam perut pesawat. Sebagai orang media, sebentar sahaja, kami sudah dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain. Jadi dengan siapa kita duduk, bukan satu masalah. Bagai sudah kenal lama, sepanjang penerbangan ada sahaja cerita kami sambil menikmati hidangan yang telah dipesan sebelum berangkat. Nasi Lemak Pak Nasser menjadi pilihan saya. Mengubat rindu. Inilah antara menu kegemaran saya kala terbang bersama AirAsia. Kini AirAsiaX menyediakan penerbangan setiap hari ke Melbourne.
Aktiviti Penuh Mengujakan Bermula Seawal Hari Pertama.
Trip selama lapan hari tujuh ini jatuh pada penghujung musim bunga. Berada dalam suhu antara 11’c-22’c, kami sejak awal sudah diingatkan tentang keadaan cuaca yang tidak menentu. Agak sejuk dan berangin. Bagi anda yang ingin berkunjung ke Melbourne ketika musim begini amat digalakkan untuk membawa baju yang sedikit tebal.
Kami tiba di Melbourne waktu pagi. Setelah segala proses mengambil bagasi selesai, sehagian kami membeli sim kad telefon. Ya lebih murah untuk digunakan sepanjang berada di sana. Sambil menunggu kenderaan yang akan membawa kami, kami diberi secawan kopi . Aduhai, bagi pencinta kopi seperti saya, ini salah satu tarikan pertama untuk jatuh cinta dengan bumi Victoria. Menghirup kopi dalam suasana dingin pagi memang memberi satu energi baru setelah berada lapan jam dalam penerbangan.
GEELONG & THE BELLARINE / GEELONG WATERFRONT
Keluar dari Airport, sudah sedia menanti kenderaan dari Explore Australia Tours. Kami terus berangkat menuju lokasi pertama di luar kota Melbourne. Kami berangkat ke Geelong. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit ini membawa kami ke kawasan santai dengan pemandangan replika seni yang dikenali sebagai ‘Bollards’, hasil seni dari pelukis terkenal Jan Mitchell.
Langit yang biru dan laut yang terbentang luas menyambut kedatangan kami. Jika ke sini kita boleh temui lebih dari 100 replika bollards dengan pelbagai warna dan corak. Kami menyusuri Rippleside Park, Limeburners Point dan Botanic Gardens. Cuaca yang cantik dan cerah serta berangin tidak terasa meletihkan. Apa Istimewanya Geelong Arts & Culture Trails ini? Di sini kita boleh memuat naik app yang disediakan untuk melihat replika bollards tersebut bergerak. Benarkah? Ya, dan tanpa sedar ia membuatkan kami leka. Terlupa seketika keletihan.
MINI GOLF DRIVING RANGE CHALLENGE AT CURLEWIS GOLF
Melihat iternari ini dalam list yang diberi. Sejak dari Malaysia lagi saya sudah teruja. Teruja ingin menghayun kayu golf penuh bergaya. Berangan sambil ketawa. Kami kemudiannya dibawa ke Mini Golf Driving Range Challenge di Curlewis Golf. diiktiraf antara Top 50 Australian Golf Course terbaik , The Range @Curlewis ini mempunyai 18 laluan driving range dan akademi latihan golf lengkap dengan makanan.
Paling seronok kami juga diberi task untuk melakukan aktiviti di sini. Sebagai beginer kami semua sangat teruja penuh dengan ketawa dan jeritan apabila pukulan kami masuk tepat ke lubang yang dituju. Mana tidaknya kerana kami dibahagikan kepada grup dan pemenangnya akan mendapat hadiah. Jadi masing-masing cuba untuk membuat pukulan tepat dengan sekali pukulan.
Selesai beraktiviti kami dihidangkan dengan minuman segar serta sneks berupa roti dan kek. Buat kaki golf, ini antara lokasi yang patut anda tuju. Sebelum meninggalkan kawasan ini, kami juga dibawa ke lapangan golf yang turut disediakan hotel dan chalet penginapan yang sangat menarik. Jadi kepada kaki golf tempat ini pasti menjadi salah satu destinasi patut dituju.
MAKAN TENGAHARI DI JACK RABBIT VINEYARD
Kami kemudiannya dibawa makan tengahari diJack Rabbit Vineyard. Kawasan atas bukit yang mempunyai pemandangan indah menghadap laut lepas.
BELLARINE SMOKEHOUSE
Ikan Salmon tentunya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Kalau melancong ke luar negara, mencuba variasi makanan laut adalah antara perkara yang selalu menjadi pilihan. Kami dibawa ke Bellarine Smokehouse yang mengambil berada tidak jauh dari lokasi kami makan tengahari. Bellarine Smoke house menyediakan ‘smoked fish’ secara tradisional dan kualiti rasanya sangat dijaga.
Kami juga diberi smoked salmon dan barramundi untuk dicuba. Ternyata rasanya sangat sedap. Buat penggemar salmon seperti saya, walaupun sudah kenyang tetap teruja mencuba. Apa lagi mereka sudah menyediakan hidangan untuk kami cuba. Selain ikan salmon, Bellarine Smokehouse juga menyediakan ikan barramundi, NZ Ora King Salmon, King Fish, Victorian Rainbow Trout dan belut. Terbuk
R GEELONG HOTEL & MAKAN MALAM DI FISHERMAN’S PIER
Petang menjelang tiba, kami akhirnya dibawa mendaftar bilik di R Geelong Hotel. Setelah seharian ke sana dan ke sini, sememangnya tidak sabar untuk menyegarkan diri. Kala pintu dibuka, teruja seketika. Apa tidaknya bukan sekadar bilik malah lebih seperti apartment satu bilik yang dilengkapi dengan dapur dan ruang makan dan ruang tamu yang luas.
Walau diberi masa yang singkat untuk berehat, tetapi cukup untuk saya merebahkan badan sebentar atas tilam yang empuk. Kemudiannya mandi dan bersiap untuk menikmati hidangan makan malam di Fisherman’s Pier. Restoran yang terletak berhampiran port boat ini rupanya adalah restoran yang telah mendapat Anugerah Restoran Seafood Terbaik selama 40 tahun berturut-turut! Ah, memang teruja betul apa lagi setelah mandi, perut kembali lapar. Saya juga sudah berangan mahu memesan menu berasaskan ikan dan makanan laut. Pasti segar dan enak. Kerana restoran ini tidak jauh dari hotel penginapan, kami berjalan kaki berama-ramai.
Santai dalam cuaca petang yang indah. Angin laut yang bertiup agak dingin tak terasa kami sudah menghampiri restoran yang dituju. Benarlah sesuai dengan gelarannya diterima, setiap ruang tempat duduk sudah penuh. Selesai menikmati makan malam, kami pulang ke bilik. Sambil menikmati hidangan
Banyak lagi tempat menarik yang akan kami kongsikan dalam story yang seterusnya. Jangan lupa nantikan part 2 ya.
SARAPAN DAN KE QUEENSCLIFF
Hari kedua sudah mula, kami bersarapan di kafe berhadpan hotel. Cafe’Go menyajikan hidangan sarapan ‘mat saleh’ yang tidak asing bagi orang Malaysia. Laju sahaja masing-masing membuat pesanan.
Dan kerana kami akan memulakan perjalanan yang agak jauh jadi setelah bersarapan kami bergerak untuk menaiki cruise menuju Seorrento.
Queenscliff-Sorrento Feri
Perjalanan selama 35 minit untuk ke jeti Queenscliff dan perjalanan di atas cruise selama 90 minit kami gunakan untuk melihat pemandangan indah Victoria. masa selama 45 minit perjalanan feri dari Queenscliff ke Sorrento, katanya kalau bernasib baik boleh nampak ikan lumba-lumba. Namun semuanya bergantung kepada nasib kerana mereka merupakan habitat liar dan bukan dipelihara. Walau apa pun pengalaman menaiki feri sememangnya cukup menarik sambil menikmati pemandangan indah Port Philip Bay.
MENYUSURI MILLIONAIRE’S WALK
Turun dari Cruise kami dibawa ke Sorrento. Kawasan elit yang menempatkan rumah-rumah serba mewah menghadap laut yang terkenal dengan nama Millionnaire’s Walk. Menyusuri laluan ‘Millionnaire’s Walk’ melalui kawasan belakang rumah-rumah mewah yang indah sambil melepaskan pandangan ke laut lepas memang melekakan. Bunga-bunga liar yang menghiasi laluan menjadikan suasanan sangat indah.
ARTHURS SEAT EAGLE (GONDOLA RIDE)
Sorrento dan rumah mewah kami tinggalkan untuk ke Arthurs Seat Eagle, salah satu lokasi perlancongan wajib datang di Melbourne. Menaiki gondola berkonsep terbuka memang lain daripada yang lain. Dari ketinggian gondola bermula, kita akan dapat melihat pemandangan indah Mornington Peninsula dan Port Philip. Oh ya dari gondola juga kita boleh nampak sayup jauh di sana bandar Melbourne. Jika membawa keluarga dan anak-anak, pastinya pengalaman akan menjadi antara memori terindah buat mereka.
MEMANJA DIRI DI PENINSULA HOT SPRINGS
Hot Spring, Kolam air panas mungkin akan memberikan gambaran pertama yang biasa-biasa bagi orang kita. Tetapi segalanya amat berbeza di sini. Dalam cuaca yang sejuk 11’C, kami dibawa untuk memanjakan diri di Peninsula Hot Spring . Bukan kolam air panas biasa. Bagi saya ia sangat istimewa. Dengan lanskap yang indah, sangat berbaloi dikunjungi apa lagi kolam air panas ini telah memenangi anugerah ‘ Best Natural Hot Spring and Spa’ .
Menyediakan lebih 50 kemudahan dan pengalaman spa, anda boleh pilih kemudahan mandi dari kolam air panas, reflexology walk, Turkish hamam, dan kolam di atas bukit dengan pemandangan 360′ darjah Mornington Peninsula. Bukan itu sahaja, ada juga kemudahan seperti geothermal pool, ice cave, sauna, kafe, pentas untuk majlis-majlis rasmi dan wellness centre.
Apa yang boleh saya katakan kawasan ini menjanjikan pengalaman paling istimwa dan kerana itulah walau hujan turun renyai-renyai, kami tetap tidak mahu melepaskan peluang menikmati pengalaman mandi di kolam air panas dan masuk ke gua ais. Jika berpeluang, anda juga patut mencuba kerana bakal menjanjikan pengalaman yang sangat best!
Penisular Hot Spring kami tinggalkan untuk ke penginapan seterusnya. Rye Hotel yang mengetengahkan konsep suites yang mengeliling kolam menyediakan bilik yang sangat luas dan selesa apa lagi bila perlu duduk sendirian. Selesai mandi, kami bersiap lagi untuk makan malam. Kali ini kami dibawa ke Intercontinental, Soreento.
MAKAN MALAM DI DI THE ATRIUM
Masuk ke ruang dalam The Atrium at Intercontinental, Sorrento. yang serba mewah sememangnya sangat menarik. Hiasan dalam yang moden memberikan mood yang lebih segar dan mengujakan.
Kami terus ke meja yang telah disediakan. Memilih menu dan makan dengan penuh khusyuk. Maklum sahaja kalau lepas berendam, perut pastilah menjerit kelaparan. Semua makanan sedap dan saya memilih hidangan ikan salmon. Segar dan sedap sekali. Selesai makan malam kembali ke hotel untuk berehat.
Malam itu kami tidur cepat kerana awal pagi kami perlu bertolak ke Melbourne. Esoknya kami bersarapan di hotel. Segar selepas menghirup secawan kopi dan bersarapan ala-barat. Kami kemudian bergerak kembali ke Kota Melbourne.
Apa aktiviti dan lokasi kami seterusnya? Jangan lupa ikuti catatan siri ke-2 menampilkan keseronokan menjelajah kota Melbourne. Menyaksikan teater Harry Porter di Princess Theatre Melbourne. Juga menyusuri sepanjangan jalan-jalan yang dihiasi bangunan cantik sehinggalah ke lorong-lorong seni yang menampilkan lukisan hebat dan luahan rasa anak-anak seni sehingga menjadi antara lokasi street art terbaik di dunia.
#airasiax #visitmelbourne #visitvictoria
Catatan: Ida Abd Aziz
Baca: Melbourne Yang Penuh Mengujakan. Terbang Bercuti Bersama AirAsiaX & Visit Victoria
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pesona Ranu Kumbolo: Syurga Dunia Bualan Pelancong
Pernah dengar tentang Ranu Kumbolo? Jika anda seorang pendaki tegar pasti anda tahu tentang Gunung Semeru yang terletak di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, Indonesia. Ranu Kumbolo merupakan syurga dunia yang sering menjadi bualan ramai pendaki yang dalam perjalanan ke puncak Semeru, mahupun di kalangan mereka yang gemarkan aktiviti lasak.
Jadi untuk berkenalan dengan ‘Ranu’ yang membawa maksud tasik atau danau ini, ia memerlukan perancangan bijak. Bukan main redah sahaja kerana perjalanan ke Ranu Kumbolo sangat menguji ketahanan mental dan fizikal. Tak kiralah sama ada kaki gim atau sebaliknya, kalau persiapan tidak kena cara, pasti mengundang insiden tidak diduga.
Terletak di ketinggian 2400 meter daripada paras laut, perjalanan ke Ranu Kumbolo mengambil masa kira-kira lima jam waktu trekking. Itu pun jika anda cukup stamina dan tidak berhenti terlalu lama di setiap pos rehat. Jika tidak, pasti masa perjalanan mengambil masa lebih lama. Tip untuk kekal bertenaga, jangan lupa bawa air minuman secukupnya dan beli beberapa paket madu yang banyak dijual di setiap pos rehat. Tidak mahal harga sepaket hanya Rp2,000. Percayalah madu ini memang sangat membantu kerana ia meningkatkan stamina.
Sejujurnya, perjalanan menuju ke Ranu Kumbolo bukanlah perjalanan yang mudah, namun berbaloi kerana kanvas alam yang menanti memukau pancaindera. Sukar dilafazkan dengan kata-kata. Cukup indah ditambah suasana hening yang mendamaikan fikiran. Satu perkara yang diidamkan oleh setiap pendaki apabila menjejak kaki sini ialah menyaksikan keindahan mentari di saat ia menyapa pagi.
Biarpun badan terasa penat, otot-otot mula sakit-sakit, jangan sesekali lepaskan saat-saat indah ini. Pengalaman menyaksikan sang mentari terbit dari balik dua bukit di pinggiran tasik, pasti sukar dilupuskan daripada ingatan. Biarpun cuaca sejuk mencengkam tubuh badan, namun cetusan rasa kepuasan mengatasi segalanya. Indah bumi ciptaan tuhan!
Teruja sepanjang perjalanan ke Ranu Kumbolo
Keterujaan ke lokasi perkhemahan ini sebenarnya bermula seawal perjalanan, iaitu ketika menaiki jip untuk ke Ranu Pani, pos pendaftaran dan gerbang ke Taman Nasional Bromo Tengger Semeru. Sebelum memulakan pendakian, anda perlu mendengar taklimat keselamatan terlebih dahulu. Seronok mendengar kisah-kisah yang dikongsi oleh renjer hutan. Banyak juga info berguna untuk dijadikan panduan.
Dari pos Ranu Pani ini anda perlu berjalan kaki sejauh lima sampai tujuh kilometer menyusuri lereng bukit yang ditumbuhi dengan Bunga Edelweis. Kemudian anda akan tiba di Watu Rejeng. Dari sini anda sudah boleh melihat pemandangan lembah dan bukit yang ditumbuhi pohon cemara dan pines.
Semakin tinggi pendakian, semakin sejuk cuaca, jadi pakai pakaian yang sesuai jika tidak mahu menggigil kesejukan. Sepanjang perjalanan, terdapat empat pos rehat yang membolehkan anda melepaskan lelah. Ada gerai-gerai kecil yang menjual minuman, buah-buahan, makanan ringan dan juga madu. Satu perkara yang anda perlu tahu, semangat untuk sampai ke Ranu Kumbolo akan berkobar-kobar setiap kali berselisih dengan pendaki-pendaki yang mula turun dari gunung.
Mereka memberikan kata-kata semangat agar tidak mudah berputus asa. “Semangat, semangat! Pasti kamu boleh,” itu ucap mereka. Setibanya di Ranu Kumbolo, carilah tempat atau tapak yang dirasakan ideal untuk mendirikan khemah. Kalau gunakan khidmat porter, tak perlu susah-payah sebab mereka yang akan lakukan semua. Sambil menunggu, bolehlah melihat ribuan bintang menghiasi langit. Selamat bereksplorasi!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI