“Ada antara kami akan mati, kami miskin, kami tiada nilai di sisi siapa-siapa,” itu luahan golongan gelandangan di India yang makin tersepit.
Hampir dua minggu negara India melaksanakan perintah berkurung dalam usaha mengekang wabak COVID-19. Dianggarkan sejumlah 4 juta orang rakyatnya menerima nasib malang. Ia ekoran ketiadaan sumber makanan dan tempat berlindung. Golongan ini bukan sahaja terdedah dengan ancaman maut wabak ini kerana tiada tempat berlindung yang sempurna malah mungkin akan mati kebuluran.
Pihak-pihak yang membela golongan bawahan pula tidak kurang juga mengkritik tindakan pemerintah meskipun itu merupakan usaha kerajaan dalam membendung penularan jangkitan dalam kalangan rakyat. Tindakan pemerintah India untuk melaksanakan perintah berkurung selama 21 hari, bagaimanapun, disifatkan sebagai satu keputusan yang dibuat tanpa berfikir panjang.
Di pusat perlindungan gelandangan, petugas berdepan depan cabaran yang amat besar seperti ruang yang terhad dan kekurangan sanitasi. Jika salah seorang daripada mereka bergejala, maka penularannya sangat sukar untuk dikawal.
Dalam pada itu, difahamkan, terdapat beberapa buah bandar seperti Delhi dan Chennai menyediakan rumah tumpangan kepada gelandangan sementara di sebahagian kawasan seperti di Mumbai, golongan itu terkandas di jalanan.
Di sebelah timur bandar Kolkata pula, rumah perlindungan gelandangan milik kerajaan mula penuh dan usaha untuk mengamalkan penjarakan sosial dilihat mustahil untuk dilaksanakan.
Memetik laporan Reuters, kerajaan telah mengumumkan sejumlah AS$22.6 bilion menerusi pelan rangsangan yang menyediakan dalam bentuk bantuan tunai dan pelan keselamatan makanan. Namun, menurut kebanyakan aktivis, pelan rangsangan yang diumumkan itu tidak jelas dari segi mekanisme dan jumlah yang diperuntukkan kepada golongan gelandangan.
Sumber: astroawani