Garage 51: Port Lepak ‘Brader Workshop’

Share

Inspirasi Kafe Culture Dengan Identiti Siling Tinggi Seperti Kilang Pembuatan

Di awal pembukaan, Garage 51 dikenali sebagai ‘the hidden food outlet inside workshop territory’. Ini membuatkan ia amat terkenal di kalangan pencinta ubahsuai kereta yang inginkan jamuan santai di Subang Jaya.

Nama kafe ini dipetik dari nombor lot kedai yang digunakan iaitu lot 51. Tambahan, lokasinya yang terletak disekitar pusat membaiki kereta, maka terciptalah Garage 51. Menurut pemiliknya,  Kar Heng, Garage 51 dihias mengikut tema industri. Ia dapat dilihat melalui susun atur premisnya yang menggunakan kontena dibawa khas daripada syarikat perkapalan dan diubah agar sesuai untuk dijadikan tempat penyediaan makanan yang lazat serta istimewa buat pelanggan yang hadir.

Membangkitkan lagi tema yang cuba dizahirkan, beberapa buah tong drum turut digunakan untuk membentuk kerusi empuk bagi kegunaan pelanggan. Ia juga menjadi salah satu spot kegemaran bagi mereka yang ingin mengabadikan gambar instaworthy.

Pelanggan boleh menikmati hidangan yang lazat samada di bawah atau di atas yang mana bahagian atas dikenali sebagai hot seat dikalangan pengunjung.
Sekali imbas, ia bagaikan botolyang digunakan untuk menyimpan minyak, tetapi ia sebenarnya adalah air ‘skyjuice’ yang dihidangkan kepada pelanggan.
Jangan terkejut, tong drum ini dijadikan sebagai tempat duduk yang dipadankan dengan sofa yangempuk untuk keselesaan tetamu Garage 51.
Pemilihan lampu industrial neon menyerlahkan lagi konsep pilihan pemilik kafe.
Selain daripada ruang duduk di dalam, kafe ini turut menyediakan tempat duduk yang selesa di bahagian luar premis.

Menurut pemilik, dekorasi Garage 51 merupakan ilham kerinduan suasana kafe culture semasa melanjutkan pelajaran di Melbourne, Australia. Rekabentuk kafe ini menampilkan struktur yang mempunyai siling tinggi. Ia membuatkan kafe ini nampak seakan-akan sebuah kilang pembuatan tetapi selepas dihias dan disusun atur dengan kemas, ia amat sesuai untuk dijadikan sebagai tempat untuk meluangkan masa senggang bersama rakan-rakan terutamanya saat menunggu kereta yang sedang diservis.

Ruang tambahan hot seat

“Pelanggan saya selalunya akan memilih untuk duduk dibahagian atas kontena kerana ia merupakan salah satu idea unik semasa di peringkat awal perancangan pembukaan kafe ini dan saya tidak menyangka ia akan menjadi hot seat,” ujarnya.

Lokasi kafe ini juga amat strategik iaitu terletak di antara dua buah kolej swasta iaitu Monash Universiti dan Sunway Universiti. Ramai juga pengunjung kafe terdiri daripada pelajar pusat pengajian ini. Oleh itu, harga untuk setiap hidangan yang ditawarkan di kafe ini amat berpatutan dan mesra pelanggan. Anggaran harga bagi setiap menu bermula daripada serendah RM13 hingga RM25 sahaja.

Kepelbagaian menu barat dan timur

Kebanyakkan menu yang disaji berkonsepkan makanan luar negara yang dibawa khas dan telah diolah mengikut citarasa tempatan seperti dari Australia dan Jepun. Salah satu menu menarik di Garage 51 adalah hidangan nasi Jepun yang dihidangkan dengan ayam tempura, cendawan tumis dan telur onsen.

Selain itu, kafe ini turut menyajikan menu unik yang diberi nama ‘The Messy Family’. Ini adalah salah satu strategi pemilik kafe untuk memberi peluang kepada pelanggan menikmati hidangan secara bersepah tetapi rasanya amat sedap dan sebaik sahaja ia masuk menyinggah ke deria rasa, anda pasti akan terlupa dengan hiasannya yang bersepah kerana tenggelam di dalam nikmat kesedapan yang disajikan oleh Kafe Garage 51.

INFO KAFE
PREMIS:Garage 51
LOKASI:Subang Jaya
HIDANGAN:Ilham resipi dari Melbourne, Australia mengikut acuan tempatan
WAKTU OPERASI:10.00am -10.00pm (Dibuka setiap hari)

Pembuka selera: Mochatella: Kiub Kopi + Nutella + Susu
Hidangan utama: Pilihan Nasi Jepun: Ayam Tempura + Cendawan Tumis, Telur Onsen dan homemade sos.
Penaik rasa: Roti bakar + potongan buah avokado + hirisan ikan salmon + sos pesto.
Minuman: Susu kocak + Nutella + Taburan bijirin koko dan jagung.
Oleh
Epul