Gangguan Sistem Di KLIA Contoh Sebenar Kenapa Kita Perlu Ada Insurans Perjalanan

Share

Baru-baru ni kita dikejutkan dengan satu kejadian yang amat jarang berlaku di dalam sejarah penerbangan tanah air apabila sistem operasi di kedua-dua lapangan terbang utama negara iaitu KLIA dan KLIA2 menghadapi gangguan.

Gangguan yang berlaku bukan kecil, ia menyebabkan hampir keseluruhan sistem pengoperasian kedua-dua lapangan terbang tersebut tidak berfungsi – menyebabkan banyak kelewatan penerbangan berlaku sehingga pihak MAHB terpaksa mengerahkan beratus-ratus pekerja mereka untuk turun membantu penumpang dan beroperasi secara manual.

Anda bayangkan, lapangan terbang yang kebiasaannya menerima jumlah penumpang yang ramai terpaksa beroperasi secara manual? Pasti menimbulkan keadaan yang kelam-kabut tetapi tahniah kepada pihak MAHB dan juga penumpang kerana berjaya menangani masalah tersebut dengan baik dan tiada insiden yang tidak elok berlaku di antara kedua-dua pihak.

Perhatikan senarai pesawat yang ditulis atas papan putih ini. Kebiasaannya akan dipaparkan di Sistem Paparan Maklumat Penerbangan. Tetapi ekoran sistem terjejas, senarai ini terpaksa ditulis di atas papan putih untuk semakan penumpang.
Orang ramai terutamanya penumpang ramai yang terjejas ekoran daripada gangguan sistem yang berlaku di KLIA & KLIA2.
Tiket Malaysia Airlines yang hanya ditulis tangan sahaja.
Sistem pengoperasian manual terpaksa digunakan semasa krisis di KLIA & KLIA2 baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, sedarkah anda, terutamanya penumpang bahawa kelewatan penerbangan yang berlaku boleh dibuat tuntutan daripada syarikat insurans sekiranya anda mengambil polisi perlindungan daripada mereka?

Ceritanya, untuk musibbah yang menimpa penumpang ekoran gangguan sistem di KLIA dan KLIA2 baru-baru ini, adalah ya – anda boleh membuat tuntutan insurans perjalanan yang meringankan beban anda yang mengalami kerugian disebabkan hal tersebut.

Saya petik kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh CEO Etiqa Insurans & Takaful minggu lalu, Kamaludin Ahmad yang berkata kelewatan disebabkan gangguan sistem di KLIA dan KLIA2 diberikan pengecualian kepada pelanggan mereka dan tuntutan pelanggan akan dilaksanakan.

Sekalipun, kes seperti gangguan sistem di lapangan terbang bukan sebahagian daripada perlindungan ditawarkan kepada pelanggan, namun pengecualian diberikan memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah menabung berbulan lamanya untuk bercuti dan kejadian tidak diduga seperti ini pasti akan membebankan pelanggan.

Terima kasih Etiqa Insurans & Takaful kerana sudi untuk membantu semua nasib penumpang yang tergendala.

Jadi di sini saya lihat, adalah satu case study yang sebenar kepada semua rakyat Malaysia akan kepentingan memiliki insurans perjalanan tidak kira ke mana sahaja destinasi tujuan anda.

Untuk pengetahuan semua, insurans seperti Etiqa Insurans & Takaful hanya menerima tuntutan untuk kelewatan penerbangan yang disebabkan situasi seperti mogok, cuaca buruk dan kerosakan mekanikal penerbangan namun kerosakan sistem di KLIA dan KLIA2 diberikan pengecualian – ini adalah berita yang sangat baik.

Pengecualian seperti ini saya lihat akan memberikan satu impak positif kepada semua rakyat Malaysia akan kepentingan dan kesedaran memiliki insurans perjalanan kerana kita tidak tahu apa akan terjadi semasa perjalanan kita – sama ada terlewat, kandas atau sebagainya.

Jadi kepada anda, ingatlah kejadian ini sebaiknya, dapatkan insurans perjalanan kalau ingin mengembara ke mana-mana sekalipun. Sediakan payung sebelum hujan kerana malang tidak berbau.

Sumber: Etiqa bayar tuntutan penumpang terjejas di KLIA

Oleh
Epul