Galeri ‘Skybridge’ yang terletak di menara tinjau jambatan angkat atau ‘Drawbridge’ di Kuala Terengganu sudah mula dibuka untuk kunjungan pelawat. Sempena pembukaan galeri itu juga pihak TI Properties Sdn Bhd menawarkan promosi harga tiket yang rendah kepada pengunjung.
Drawbridge merupakan jambatan angkat pertama di Asia Tenggara mula dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 1 Ogos lalu. Jambatan ikonik bernilai RM248 juta itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir, Kuala Nerus. Sebelum ini, jambatan berkenaan dibuka untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun lalu sempena sambutan perayaan Aidilfitri.
Untuk keselesaan antara 70 hingga 80 orang dihadkan berada di atas skybridge berkenaan dalam satu-satu masa. Pengunjung pasti teruja kerana dapat mengabadikan kenangan di salah satu ikonik pelancongan di Terengganu itu. Pembukaan galeri ini dijangka turut memberi impak kepada pemain industri pelancongan lain termasuk bot penambang.
Sumber: Bernama