Bukit Banang yang terletak di pinggir bandar Batu Pahat, Johor dengan puncak setinggi 432.38 meter dari paras laut itu popular sebagai kawasan rekreasi orang ramai untuk berjoging dan mendaki, selain mempunyai pemandangan indah menghadap Selat Melaka.
Walaupun mempunyai tarikan ‘view’ di puncak yang sangat cantik, seperti bukit lain yang ada di Malaysia, Bukti Banang juga mempunyai lokasi dan bahaya tersendiri. Oleh itu, untuk pengunjung yang suka mendaki di sini dinasihatkan agar lebih peka dan berhati-hati untuk mendekati kawasan larangan dan bahaya. Tragedi maut yang menimpa seorang gadis di kawasan bukit ini mengejutkan pendaki lain ketika itu.
Pada jam 11.30 pagi 14 November 2020, seorang gadis berusia 20 tahun dikenali sebagai Aina Nabilah Yusof meninggal dunia selepas cedera parah di kepala dan badan akibat terjatuh ke gaung sedalam 80 meter. Mangsa yang juga pelajar universiti tempatan bersama rakannya mendaki bukit ini pada jam 9.30 pagi. Ketika berehat di puncak bukit, mangsa tergelincir ke dalam gaung sebelum mayat dibawa naik oleh bomba pada jam 3.46 petang.
Mangsa dipercayai melakukan aktiviti berbasikal sebelum menyambung aktiviti mendaki sempena cuti umum Deepavali bersama seorang lagi rakan. Ketika kejadian terdapat juga pendaki lain dan ternampak mangsa terjatuh sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Jabatan Perhutanan Negeri Johor memaklumkan bahawa lokasi wanita yang maut akibat terjatuh ke dalam gaung di Bukit Banang adalah kawasan larangan serta bukan tempat rekreasi di bawah pengurusan atau seliaan pihaknya. Mangsa dan pendaki lain dipercayai masuk ke kawasan pendakian melalui tanah persendirian untuk sampai ke lokasi yang terletak di Hutan Simpan Banang yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor (Akta 313). Semakan di lokasi kejadian mendapati ia berhampiran dengan menara telekomunikasi yang juga kawasan larangan kepada orang awam.
Sehubungan itu, kemasukan ke kawasan terbabit tanpa Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal adalah kesalahan mengikut Seksyen 47 Akta 313. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Jabatan Perhutanan Negeri Johor menasihatkan orang awam agar mematuhi perundangan dan peraturan ditetapkan berkaitan kemasukan ke mana-mana kawasan dalam Hutan Simpanan Kekal. Orang awam juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti pendakian dalam kawasan hutan memandangkan musim hujan sudah melanda negara di samping mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa.
Sumber: Bernama