Anda rasa teruja tak jika diberitahun dinosaur pernah wujud di negara anda sebelum ini?
Ini menakjubkan pabila sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Kelantan mendakwa menemui tujuh fosil tapak kaki dinosaur yang dianggarkan berusia ratusan hingga jutaan tahun di Bukit Panau, di Tanah Merah Kelantan.
Bukit Panau juga sebelum ini terkenal dengan nilai sejarah tersendiri dan merupakan sebahagian khazanah negara terdapat di Kelantan. Lokasi itu dikaitkan dengan kisah pahlawan terdahulu, antaranya dikatakan menjadi lokasi Hang Tuah duduk bertapa, menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan untuk memperjuangkan kedaulatan negara. Terletak di sempadan Pasir Mas-Tanah Merah, bukit yang berketinggian 255 meter itu juga turut dikatakan pernah dijadikan sebagai petunjuk bagi pelaut antarabangsa kerana ia mudah diakses dari Laut China Selatan.
Berbalik kepada penemuan fosil Tapak kaki dinosaur berkenaan, ia dipercayai dari spesis Sauropod dianggarkan berusia 66 hingga 160 juta tahun. Spesis ini dikenal pasti berdasarkan morfologi tapak kaki dan kesan trek yang disahkan pakar dinosaur dunia daripada Jepun. Dinosaur Sauropod adalah sejenis reptilia berkaki empat dalam kategori herbivor yang memakan tumbuh-tumbuhan.
Berdasarkan bukti tapak kaki dijangka haiwan ini memiliki tubuh besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, panjang sehingga 22 meter dan berat sekitar 30 hingga 40 tan. Spesis dinosaur ini dikenal sebagai haiwan terbesar hidup di muka bumi ini.Kewujudan dinosaur di Bukit Panau sudah dijangka banyak ahli geologi berdasarkan struktur muka bumi kawasan dikaitkan dengan kawasan di Thailand Selatan yang mengandungi fosil haiwan pra sejarah itu.
Aktiviti dan penyelidikan berkaitan kewujudan dinosaur di Kelantan bermula pada Mei 2017 sebelum pihaknya menemui fosil tapak dan laluan trek dinosaur dari sub kumpulan Saurapod di Bukit Panau.Tujuh tapak kaki fosil berukuran purata 72 sentimeter panjang dan lebar dengan purata 66 sentimeter yang tercetak di atas batu pasir Kuarsa dari formasi Panau seluas 60 meter persegi. Penemuan ini membuktikan satu masa dulu, dinosaur pernah hidup di lokasi yang sekarang dikenali sebagai Tanah Merah, Kelantan. Bagaimanapun, tarikh penemuan fosil berkenaan tidak dinyatakan. Mengikut geologi Bukit Panau ini, dinosaur Saurapod ini hidup di persekitaran daratan khususnya berdekatan sungai berliku, bagaimanapun secara terperinci pihak penyelidik Universiti Malaysia Kelantan masih perlukan kajian mendalam kerana data yang diperlukan belum mencukupi.
Sumber: Bernama