Floating Market Made In Kelantan, Pulau Suri Pasar Terapung!

Share

Pasar terapung sangat sinonim dengan negara Thailand, tidak lengkap ke negara jiran tersebut kalau tidak singgah di pasar terapung. Namun ketika wabak pandemik ini, pintu sempadan masih ditutup dan mungkin ramai yang rindu akan pasar terapung tersebut.

Jika anda merindui suasana pasar terapung, sila la berkunjung ke Negeri Cik Siti Wan Kembang. Di Malaysia pun ada tau! Jangan lepaskan peluang ke pasar terapung di Pulau Suri, Tumpat. Untuk ke Pulau Suri pengunjung perlu menaiki sampan atau bot yang disediakan pengusaha tempatan. Jika dari Jeti Kuala Besar, perjalanan menaiki bot atau sampan berenjin hanya mengambil masa sekitar 15 minit sahaja manakala jika dari jeti Kok Majid, ia mengambil masa hampir 40 minit.

Baca perkongsian Mdm Surya yang berkesempatan ke pasar ini bersama keluarganya.


Bagi mereka yang pernah ke pasar terapung di Hatyai, jika anda rindukan suasana seperti itu, anda boleh ke Kelantan. Terdapat beberapa pasar terapung di negeri Kelantan dan salah satunya adalah Pantai Suri Floating Market yang terletak di Tumpat.

Pasar terapung ini mula dibuka pada tahun 2016. Tiada jalan darat untuk ke sana ye. Jalan utama hanyalah melalui jalan air. Jadi, kita perlu menaiki bot untuk ke sana, berbeza dengan pasar terapung di Hatyai yang mana kita boleh menaiki kenderaan atau berjalan kaki sahaja.

Waktu operasi:
Masa: 8.30 pagi – 4.00 petang.
Hari: Sabtu sahaja.

Terdapat 2 jeti utama untuk ke Pantai Suri:
1.Jeti Kuala Besar (RM2 seorang) mengambil masa sekitar 15 minit.
2.Jeti Kok Majid (RM5 seorang) mengambil masa hamper 40 minit.

Ini adalah tambang untuk sehala ye. Dalam perjalanan kami ke Pantai Suri, kami dapat melihat satu lagi pasar terapung yang baru dibuka, berdekatan dengan Pantai Suri tetapi kami tidak pula singgah ke sana. Jadi, kami tidak dapat pastikan nama pasar tersebut.

Oleh kerana saya dan suami telah merancang untuk ke Pulau Suri, kami memaklumkan pada keluarga di sana lebih awal. Adik saya menyewa satu bot untuk kami 3 keluarga ke sana. Jadi, saya tidak tahu berapa bayaran sewa yang adik saya bayar kepada kawannya. Minyak bot pun adik saya yang beli sendiri. Tuan punya bot hanya memandu bot untuk bawa kami ke destinasi yang kami mahu pergi. Sementelah adik saya juga agak mahir mengendalikan bot, jadi kami ke pasar terapung tanpa perlu beratur panjang untuk menunggu giliran menaiki bot.

Kami menaiki bot dari Jeti Kampong Laut yang mana jaraknya lebih jauh untuk ke Pantai Suri. Ketika kami melepasi jeti Kok Majid dan jeti Kuala Besar, kami dapat lihat ramai yang sedang menunggu di jeti. Yelah, minggu cuti sekolah kan.

Seronok melihat bot – bot pergi dan balik mengangkut penumpang untuk ke Pantai Suri dan juga pasar terapung yang baru di situ. Apa yang menakutkan kami sepanjang berada di dalam bot adalah kerana kami tiada jaket keselamatan. Paling kami takut ketika bot berselisih dengan bot lain kerana akan menghasilkan gelombang besar. Nasib baik pemandu bot kami hanya bawa perlahan sahaja jadi efek melabung tu tidak dirasai sangat. Tetapi jika anda menaiki bot di di kedua – dua jeti yang saya telah nyatakan di atas, jangan risau kerana setiap bot dilengkapi dengan jaket keselamatan.






Setibanya di Pantai Suri, adik saya juga yang bayarkan tiket masuk. Hanya RM1 untuk dewasa. Kanak – kanak free sahaja. Walaupun ramai peniaga yang meniaga di dalam bot mahupun di gerai – gerai, lebih ramai lagi pengunjung yang beratur untuk membeli makanan. Tak sanggup saya nak beratur panjang. Kami nak cari tempat untuk duduk pun agak lama dengan pengunjung yang agak ‘crowded’.

Kerusi dan meja ada disediakan tetapi hanya ada beberapa sahaja. Kami bawa ‘banner’ dari rumah untuk dijadikan alas tempat duduk, ala – ala berkelah. Jadi tak perlu menunggu giliran untuk duduk cuma untuk bergambar di ‘signboard’ Pantai Suri, perlu beratur. Punyalah ramai pengunjung pada hari itu. Jadi, kami tidak dapat menikmati semua makanan yang dijual di di sana. Apapun, makanan yang di jual sangat menyelerakan dan menepati citarasa kami.

Kerana terlalu ramai pengunjung dan kami malas nak beratur lagi untuk mencuba banyak lagi makanan, kami terus ke bot dan adik saya meminta kawannya untuk membawa kami pusing – pusing ke pulau – pulau yang berada di dalam perjalanan pulang dan antara yang menarik adalah Pulau Sri Tanjung. Terdapat chalet juga di situ ya. Kami singgah pula di Kampung Kok Majid kerana ada pasar pagi di sana. Badan sudah terasa sangat letih, kami bergerak pulang.





Apa yang menariknya, oleh kerana kami sewa sendiri bot, jadi kami dapat bersiar – siar melihat kehidupan penduduk yang menetap di beberapa pulau kecil di sana. Seronok dapat melihat kehijauan di sepanjang sungai Kelantan. Ada juga kami berselisih dengan remaja dan kanak – kanak yang mengendalikan sendiri bot.

Mungkin itu adalah pengangkutan utama mereka. Mungkin selepas ini, adik – adik saya boleh beli 1 bot, buat ‘part time’ jd tour guide di sana. Hihi. Lagipun, tidak lama lagi, persisir sungai di Kampung Laut akan menjadi tempat tarikan pelancong kerana Masjid Kampung Laut (yang kini terletak di Nilam Puri) akan ditempatkan semula di tempat asalnya. Perjalanaan kami ke Kelantan menaiki kereta api, bas ekspres dan bot sangat mengujakan terutama anak – anak kami yang memang gemar menaiki pengangkutan awam.

 

Oleh
Admin