Feri Langkawi Terkandas Selamat Di Tunda Ke Jeti Kuala Kedah, Semua Penumpang Selamat!
Oktober 24, 2022
Share
Petang semalam Sebuah feri yang membawa seramai 547 penumpang dan kru kapal dari Kuala Kedah ke Langkawi tersangkut akibat air laut surut. Namun kesemua penumpang dan anak kapal yang berada dalam Feri tersebut telah selamat dan feri telah pun berjaya ditunda ke Terminal Feri Kuala Kedah pada Ahad Malam.
Pegawai operasi sektor Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Ahmad Azizan Ahmad, berkata feri Express Bahagia 98 ditunda oleh bot tunda milik salah sebuah syarikat kargo dan selamat merapati jeti pada jam 9.25 malam.
Menurut Ahmad Azizan, seramai 272 orang penumpang berjaya dibawa keluar secara berperingkat oleh bot PERKASA 1224 Maritim Malaysia, bot ronda PSC 19 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan daripada beberapa bot nelayan tempatan sekitar Kuala Kedah dan Yan.
Manakala baki penumpang selebihnya selamat tiba dengan feri yang ditunda.
“Feri itu terkandas disebabkan air surut, jadi agensi penguatkuasa tidak dapat merapati feri… jadi, kena tunggu air pasang dahulu baru boleh rapat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi memindahkan penumpang turut berdepan kesukaran kerana beberapa kali enjin bot PERKASA 1124 tersekat disebabkan air cetek dan permukaan lantai laut yang berselut.
Katanya, turut sama dalam operasi adalah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.
Dalam kejadian jam 4.15 petang Ahad feri penumpang yang membawa 547 penumpang dan kru terkandas di posisi 1.2 batu nautika dari muara Kuala Kedah.