Fenomena ‘Blue Moon’ Berlaku 31 Oktober 2020, Ada Cakap Petanda Buruk. Ini Fakta Sebenar Ya!

Share

Fenomena bulan pelbagai warna kerap muncul di ruang langit kita tidak kira di mana anda berada. Ada kala juga setengah-setengah fenomena jarang untuk dilihat dan menyebabkan ramai yang tidak akan melepaskan peluang untuk ke pelbagai destinasi yang boleh melihat fenomena menarik itu dengan lebih jelas.

Pada 31 Oktober 2020 ini, menurut beberapa portal berita dalam dan luar negara, akan muncul fenomena 'Blue Moon' atau Bulan Biru. Namun ada yang risau jika fenomena tersebut muncul dek percaya dengan kisah-kisah mitos yang pernah didengar. Bulan Biru, petanda buruk untuk umat manusia? Ini penjelasan lengkap daripada sumber Facebook Ini Sains Beb!

Pada 31 Oktober 2020 akan datang, dilaporkan akan berlaku fenomena 'Blue Moon' atau 'Bulan Biru'. Merujuk kepada screenshot di bawah, kita lihat ada yang beranggapan pada ketika itu Bulan akan kelihatan berwarna biru, iaitu satu peristiwa yang tidak pernah berlaku sejak sekian lama, dan akan diikuti dengan peristiwa buruk yang bakal melanda.


Benarkah? Sebenarnya 31 Oktober 2020 memang akan berlaku satu fenomena yang dinamakan 'Bulan Biru'. Walaubagaimanapun, ia tidak bermaksud cahaya bulan akan kelihatan biru, dan ia bukanlah peristiwa yang tidak muncul sejak sekian lama. Apatah lagi mengaitkannya dengan kemunculan hanya pada tahun-tahun terburuk bagi manusia.

Apakah sebenarnya 'Bulan Biru' ini?
'Bulan Biru' pada hakikatnya hanyalah gelaran yang diberikan kepada bulan purnama dengan kriteria tertentu. Ia berkait dengan ungkapan Bahasa Inggeris 'once in a blue moon' yang merujuk kepada peristiwa yang jarang berlaku. Terdapat 2 takrifan paling terkenal yang menyebabkan sesuatu Bulan purnama itu digelar sebagai 'Bulan biru'.

1) BERMUSIM: Bulan purnama ketiga di dalam satu musim. Di dalam tempoh satu tahun tropika, terdapat 4 musim. Setiap satu musim adalah sepanjang 3 bulan. Ini bermakna, satu musim kebiasaannya akan mempunyai 3 bulan purnama.
Jika satu musim itu mempunyai 4 bulan purnama, maka bulan purnama yang ketiga digelar sebagai 'Bulan Biru'. Contoh yang berlaku di tahun 2019:

  • Ekuinoks: 21 Mac 2019
  • Bulan purnama :~ 21 Mac 2019
  • Bulan purnama :~ 19 April 2019
  • Bulan purnama :~ 19 Mei 2019
  • Bulan purnama :~ 17 Jun 2019
  • Solstis: 21 Jun 2019

Dalam contoh di atas, sepanjang musim tersebut (di antara Ekuinoks sehingga Solstis), terdapat 4 bulan purnama. Maka, bulan purnama ketiga itu (19 Mei) dikenali sebagai Bulan Biru.

2) BULANAN: Bulan purnama kedua di dalam satu bulan kalendar masihi. Di dalam satu bulan kalendar masihi, kebiasaannya akan mempunyai satu bulan purnama. Tetapi jika di dalam satu bulan kalendar itu mempunyai 2 bulan purnama, maka bulan purnama kedua itu digelar sebagai 'Bulan Biru'.

  • Contoh terdekat 'Bulan Biru' mengikut takrifan Bulanan akan berlaku pada hujung bulan Oktober 2020 ini. Bulan purnama yang pertama telah berlaku pada 2 Oktober 2020 lepas. Ia akan diikuti oleh bulan pernama kedua di dalam bulan yang sama, iaitu pada 31 Oktober 2020. Ini digelar Bulan Biru!





image via google

Kenapa ada 2 takrifan yang berbeza?

  • Pada awalnya, 'Bulan Biru' merujuk kepada takrifan bulan purnama ketiga di dalam satu musim. Walaupun begitu, gelaran 'Bulan Biru' yang menggunakan takrifan bulan purnama kedua di dalam satu bulan lebih terkenal sekarang ini.
  • Ini terjadi akibat dari salah faham seorang penulis Astronomi iaitu James Hugh Pruett di dalam satu artikel yang disiarkan di dalam majalah Sky & Telescope pada tahun 1946 berkenaan 'Bulan Biru'.
  • Salah faham Pruett menyebut bahawa 'Bulan Biru' itu merujuk kepada Bulan purnama kedua yang berlaku di dalam satu bulan kalendar masihi. Kesilapan tersebut telah diperbetulkan kemudiannya, namun sudah terlambat kerana takrifan asalnya telah tersebar dan digunapakai secara meluas.
  • Rentetan dari kesilapan tersebut, mana-mana bulan purnama kedua yang berlaku di dalam satu bulan kalendar masihi dikenali sebagai 'Bulan Biru' sehinggalah ke hari ini.
  • Bagaimana dua bulan purnama boleh berlaku dalam satu bulan kalendar?
  • Kita tahu dalam setahun terdapat 365 atau 366 hari iaitu bersamaan dengan 12 bulan (month). Bilangan hari di dalam setiap bulan berbeza-beza (29 , 30 dan 31 hari dan kadang-kala hanya 28 hari). Kebiasaannya hanya terdapat 12 fasa Bulan purnama di dalam tempoh tersebut.
  • Walaubagaimanapun, apa yang kita perlu fahami di sini adalah, bulan melengkapkan 1 kali kitaran setiap fasa sekitar 29.5 hari. Dalam tempoh setahun, keseluruhan kitaran Bulan hanya mengambil masa 354 hari sahaja (29.5 hari x 12 bulan). Ini bermakna, ada ketikanya terdapat 13 bulan di dalam satu tahun. Ia bukan magik, ia hanyalah kiraan falak.
  • Bolehkah cahaya Bulan kelihatan berubah menjadi warna biru?
  • Sebenarnya boleh. Tetapi ia hanya boleh berlaku seandainya lapisan atmosfera Bumi dipenuhi dengan zarah-zarah besar seperti abu daripada letusan gunung berapi. Ini menyebabkan berlakunya serakan Mie (Mie scattering) di atmosfera sehingga menyebabkan cahaya Bulan kelihatan berwarna biru.
  • Ia dilaporkan pernah berlaku semasa letusan kuat gunung berapi Krakatau (1883), El Chichon (1983), St. Helens (1980) dan Pinatubo (1991).
  • Jadi jelas di sini menunjukkan bahawa pada 31 Oktober 2020, peristiwa 'Bulan Biru’ yang dihebahkan adalah tidak benar. Cahaya Bulan berubah menjadi warna biru tidak akan berlaku sekiranya tidak ada peristiwa yang mempengaruhi kandungan atmosfera ketika itu.

Hakikatnya, peristiwa 'Bulan Biru' ini bukanlah tak pernah berlaku langsung. Ia adalah fenomena yang memang boleh dicerap dari masa ke semasa tanpa elemen konspirasi atau membawa alamat malapetaka akan berlaku. Wallahu A'lam.

Oleh
Husna