Kerajaan Malaysia mendedahkan sektor pelancongan merupakan antara yang paling terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.
Dalam Laporan LAKSANA Ketujuh Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, statistik menunjukkan setiap empat dari sepuluh pekerjaan dalam sektor pelancongan terkesan akibat pandemik itu.
Selain itu, beliau berkata, data terkini Jabatan Perangkaan bertarikh 29 Mei 2020, merekodkan kadar pengangguran negara pada suku pertama 2020 pada tahap 3.9%.
"Memandangkan betapa seriusnya cabaran COVID-19 kepada ekonomi kebanyakan negara, ini merupakan peningkatan yang masih di dalam kawalan berbanding 3.3% pada suku sebelumnya. Sebagai perbandingan, kadar pengangguran Suku Pertama di negara Filipina adalah 5.3% (peningkatan daripada 4.5% pada suku sebelumnya), Sepanyol 14.41% (peningkatan daripada 13.78% pada suku sebelumnya), dan New Zealand 4.2% (daripada 4.0% pada suku sebelumnya)," katanya.
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan telah mengambil langkah drastik dalam usaha sistematik untuk mengawal kadar pengangguran dari terus menjunam. Antara usaha yang dijalankan termasuklah membuka beberapa sektor ekonomi yang kritikal untuk negara secara berperingkat, serta pengenalan program Subdisi UPAH dan Program Pengekalan Pekerjaan di bawah Pakej Prihatin. Tanpa program-program ini, besar kemungkinan kadar pengangguran adalah lebih tinggi.
Sumber: astroawani