Emirates memperkenalkan polisi pelepasan kepada semua tempahan tiket yang dikeluarkan mulai 7 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020.
Ia membolehkan pelanggan di seluruh rangkaiannya membuat pilihan untuk menukar tarikh perjalanan tanpa bayaran perubahan dan pengeluaran semula tiket. Langkah itu membolehkan pelanggan membuat keputusan dengan tenang sama ada untuk menukar cadangan perjalanan akibat penularan COVID-19.
Situasi itu kekal dinamik dan Emirates akan terus mencari pendekatan untuk menawarkan fleksibiliti, keselesaan dan ketenangan kepada para pelanggan. Emirates juga dalam kenyataannya yang dikongsikan Bernama mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dengan melaksanakan prosedur menyahjangkit yang ditambah baik selepas penerbangan melibatkan destinasi paling terjejas dengan COVID-19. Emirates Skywards juga akan menyediakan lebih fleksibiliti kepada ahlinya yang terjejas akibat penularan itu menerusi langkah sekatan perjalanan dan pengurangan penerbangan.